Thursday, July 7, 2011

Boling satukan minda, fizikal


Ayra Nur Jehan Aminuddin dan abangnya, Amir Din Imran bercita-cita menjadi pemain boling profesional.


APA kepuasan yang diperoleh daripada bermain boling? Adakah berdasarkan jatuhan pin ataupun ada kepuasan lain yang boleh diraih?

Sudah jatuhan pin bukan segala-galanya. Boling membuatkan si pemain menjadi lebih fokus, yakin dan jitu pada matlamat yang ingin dicapai. Simbolik pencapaian tersebut mungkin boleh dilihat daripada jumlah jatuhan pin itu sendiri.

Maka boling antara sukan terbaik yang boleh menjadi pilihan para pelajar untuk memberikan mereka kekuatan fizikal dan minda bagi menjalankan tanggung jawab secara keseluruhan.

Hakikat itu juga dipersetujui Penyelaras Program Pembangunan Boling Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat (SMKJE), Bandar Baru Bangi, Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim.

Ujarnya, SMKJE merupakan satu antara 27 buah sekolah yang telah mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ia telah melahirkan 20 wakil boling yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima yang telah dipilih secara teliti menerusi beberapa perlawanan peringkat sekolah.

Baru-baru ini, Mega berpeluang melihat sendiri latihan tiga daripada 20 wakil pemain boling yang dibangunkan di bawah Program Pembangunan Boling atau nama rasmi kumpulan mereka JESS (Jalan Empat Secondary School).

Afiq Iskandar Aziz, 14, dan pasangan adik beradik, Amir Din Imran Aminuddin, 17, serta adiknya, Ayra Nur Jehan, 13, merupakan antara pemain yang berjaya digilap dari program tersebut.

Menurut Wan Nor Ashikin, boling dipilih sebagai sukan untuk SBT kerana ia merupakan satu sukan yang mementingkan ketelitian, fokus, teknik dan kemahiran yang baik.

“Pelajar di SMKJE merupakan pelajar yang terpilih, mereka yang masuk ke sekolah ini adalah yang mendapat keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan 5A.

“Jadi pelajar ini mudah diajar dan senang memahami apa yang diperturunkan oleh jurulatih. Boleh saya katakan bahawa sukan ini lebih menggunakan minda.

“Jadual latihan mereka langsung tidak mengganggu waktu belajar. Sebanyak 10 sesi dirancang dan kami pihak sekolah juga amat beruntung kerana mendapat kerjasama yang baik dari ibu bapa pelajar-pelajar tersebut.

“Malahan ibu bapa juga sanggup mengeluarkan modal membiayai bola boling anak dan lain-lain perbelanjaan, itu komitmen yang sangat-sangat kami hargai,” ujarnya.

Wan Nor Ashikin menambah, syarat untuk mereka kekal sebagai SBT ialah menyertai kejohanan terbesar peringkat antarabangsa sebagai wakil Malaysia sebanyak tiga kali.

Dua beradik cemerlang boling dan pelajaran

Bagi Ayra Nur Jehan yang merupakan pelajar tingkatan satu di SMKJE, penglibatan dia dan abangnya dalam sukan boling setelah salah seorang saudara mereka meraih pingat emas dalam sukan itu.

“Apabila saudara saya mengajak kami adik beradik berlatih bersama-samanya secara tidak langsung minat tersebut bercambah dalam diri kami,” jelasnya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik.

Lebih menggembirakan apabila minat tersebut dikongsi seluruh ahli keluarga. Lalu ia dijadikan riadah hujung minggu di samping mengasah teknik dan skil untuk menjadi baik dan lebih baik lagi.

Ayra Nur Jehan yang turut bercita-cita menjadi pemain boling professional negara mengakui, sukan tersebut menjadikan dia lebih fokus dalam urusan lain. Malah ia membantu dari segi kecerdasan dalam pelajaran.

Antara pencapaian yang diraih Ayra baru-baru ini ialah memenangi Malaysian Open kategori Girl’s Graded di tempat kedua.

Tempah bola boling sendiri

Bagi Afiq Iskandar Aziz, 14, penyertaannya dalam program pembangunan boling sekolah adalah berdasarkan minat juga galakan ibu bapa dan rakan-rakan.

“Bagi saya ia satu sukan untuk mengisi masa lapang sekali gus menambah daya fokus.

“Sesi latihan yang telah dirangka iaitu dua kali seminggu tidak langsung mengganggu pelajaran,” katanya yang merupakan anak sulung dari tiga beradik.

Afiq juga beruntung kerana minatnya tersebut mendapat sokongan ibu bapa sepenuhnya.

Demi memberikan permainan yang terbaik pada setiap kejohanan, Afiq menempah bola boling yang mengikut sukatan jarinya sendiri.

“Pemilihan bola boling yang bersesuaian amat penting kerana ia mempengaruhi prestasi balingan, jadi tiada salahnya membuat pelaburan ke arah tersebut,” katanya yang merupakan pelajar tingkatan dua di SMKJE.

Afiq juga tidak menafikan yang dirinya bercita-cita untuk mencapai peringkat tertinggi dalam sukan boling.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: