Thursday, July 7, 2011

Melahirkan filem maaruf


Filem-filem iran boleh menjadi contoh kepada pembikin filem tempatan dalam menghasilkan filem yang maaruf. - Gambar hiasan


SEJAK tersiarnya klip video Gambit Saifullah Marilah Menari yang memaparkan aksi artis baru Prima Yin dan Shahz Jazlan, banyak kritikan dan komen diutarakan di media cetak oleh mereka yang prihatin terhadap nilai agama dan budaya.

Video selama empat minit 18 saat itu sesungguhnya tidak dapat diterima oleh mereka yang berpegang teguh kepada nilai agama, budaya dan jati diri ketimuran.

Bukan sahaja isi dan konsepnya, malah kepada aspek pakaian, gerak aksi pelakon, semiotik, paparan sesetengah shot visualnya dan aura yang dilahirkan daripada menonton video tersebut.

Namun pandangan ini amat berbeza dengan 'komen kaki' dalam youtube video tersebut. Daripada 182 komen yang dapat dibaca ketika itu sebahagian besarnya menganggap video tersebut 'ok' dan tidak nampak lucahnya. Sebahagian besar mengatakan isu video tersebut sengaja diperbesarkan oleh pihak media.

Antara komen yang diberikan:

* x de lucah mana pun...gersang sikit jer...wartawan media ja yang kecoh sangat; lucah? mengarut betul...; media cetak yg buat berita ni jadi sensasi...kesian ngan pengarah ni...memang tertekan dia org nak hadapi akibat ketidakmatangan media; ok ja ako tgk; x de lucah mana pun...biase2 je...kecoh gila media...;

* Gambit, honey...u did a great job on this video...just ignore what people said, coz they dont noe what they talking about...if this people aroun u make noise about this again, u just said to them AAK (ada aku kisah)...great job honey, luv d video...; Best lyrik ni...video pun best.

Kebanyakan komen adalah menggunakan bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang di akhir-akhir ini menjadi perbincangan hangat di kalangan pencinta dan pejuang bahasa.

Daripada bahasa dan saluran media yang digunakan, andaian dapat dibuat siapakah mereka ini. Inilah segolongan wajah generasi kita yang lahir daripada acuan sistem pendidikan yang mementingkan kecemerlangan lahiriah ala Barat.

Sebahagian mereka sudah tidak memiliki kemahiran membaca dan menulis jawi. Buta sejarah dan buta geografi. Pengetahuan dan ilmu tentang bahasa, sastera dan budaya tidak perlu kerana ilmu-ilmu tersebut tidak memiliki nilai komersial dan tidak menyerlahkan penampilan diri sebagai 'individu moden'.

Pemahaman dan penghayatan kepada jati diri, sivik dan kenegaraan semakin terhakis. Inilah harga yang perlu dibayar.

Maka tidak hairan kalau elemen 'seni mungkar' menyelinap masuk ke dalam beberapa buah filem dan video yang dihasilkan oleh segelintir pembikin filem kita. Walau pun perkara-perkara yang berkaitan dengan 'seni mungkar' ini telah diperkatakan oleh banyak pihak, namun ia masih tidak surut-surut.

Namun apakah langkah konkrit yang boleh dicadangkan untuk mengatasi masalah 'kebanjiran seni mungkar' yang dihasilkan oleh segelintir pembikin filem kita agar bentuk seni tersebut sedikit demi sedikit berubah wajah menjadi 'seni maaruf'? Seni yang memiliki pematuhan syariah.

Seni biasanya dirujuk sebagai sesuatu yang cantik, indah, bersih, halus, benar, lembut dan segala macam sifat yang mengarah kepada kebaikan. Pada hakikatnya segala sifat yang baik ini memang sudah ada dalam diri manusia kerana sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (at-Tin: 4).

Daripada sudut jasmani manusia dicipta dalam bentuk paling indah daripada unsur yang terlalu seni dan teramat halus sifatnya.

Daripada sudut rohani pula, manusia telah dicipta di atas fitrah yang hanif iaitu sifat semula jadi yang sukakan kepada kebaikan, keindahan, kebersihan, kehalusan, kesucian dan kepada perkara-perkara yang lurus iaitu yang benar.

Maka dengan sifat-sifat yang telah tersedia ada itu manusia seharusnya dapat melahirkan segala macam bentuk seni yang membawa kepada yang maaruf bukan kepada yang batil.

Sebagai sebuah seni, filem seharusnya dapat mengangkat martabat manusia untuk menjadi insan kamil selaras dengan fitrah ia dicipta untuk menjadi khalifah di muka bumi.

Tujuannya untuk mengabadikan diri kepada Allah bagi memakmurkan dan mensejahterakan seluruh makhluk di alam jagat raya ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: