Monday, July 25, 2011

Dewi warna-warni Jaspal


GAYA kasual dan santai yang sentiasa memenuhi cita rasa jejaka yang gemarkan penampilan santai kasual.


MENGGUNAKAN pilihan warna-warna gelap serta fabrik denim atau corak berkotak yang pelbagai, ia bagi mencipta personaliti dan gaya dalam dres maxi.

Demikian antara gambaran koleksi musim panas Jaspal kali ini dimulakan dengan warna-warna gelap tetapi, masih menyerlahkan kewanitaan pemakainya.

Kegilaan kepada corak monokrom pula tampil dalam rekaan jumpsuit dan dres feminin yang menyerlahkan bentuk tubuh, menyuntik keyakinan dalam busana klasik hitam putih sama ada pilihan dres labuh atau padanan skirt pendek.

Bagi penggemar motif bunga-bungaan, emosi kewanitaan pasti terserlah dalam pilihan dres pendek dan jumpsuit yang mendedahkan bahu dan dihiasi cetakan bunga-bungaan yang mekar, sesuai digayakan untuk menghadiri parti berkonsepkan taman.

Tidak dinafikan fabrik renda semakin menjadi pilihan masa kini, justeru, dres pendek yang dibuat menggunakan fabrik renda direka khas agar sesuai untuk apa sahaja acara.

Selain dres, seluar panjang dan pendek daripada fabrik renda putih mulus merupakan pilihan yang turut menyerlahkan sisi kelembutan dan fesyen tanpa cela.

Gaya vintaj

Penampilan vintaj yang tidak ditelan zaman, kini tampil dalam rekaan-rekaan khas buat gadis vintaj yang menyerlahkan siluet sepanjang zaman dalam dres maxi kuning yang sesuai digayakan untuk acara siang dan malam.

Blaus dengan cetakan arnab rona merah jambu pasti menjadi kegemaran gadis, manakala seluar midi yang suatu masa dahulu kian dilupakan pula semakin menjadi pilihan kini.

Koleksi Jaspal kali ini juga mempersembahkan palazo dalam pelbagai pilihan fabrik dan cetakan sama ada polka dot, jalur dan bunga-bungaan. Alunan kelembutan palazo merupakan gaya terkini yang longgar, malah semakin besar rekaannya, semakin hip penampilan pemakainya.


GAYA petang yang ringkas dan chic sesuai untuk menghadiri acara petang bersama rakan.


Fabrik denim juga menjadi pilihan ramai terutamanya kalangan gadis sama ada dalam pilihan blaus, seluar dan skirt pendek, dres labuh dan pendek. Yang pasti, semuanya ada di Jaspal.

Dres maxi magnitud sesuai bagi mereka yang mahu tampil berani dan bergaya dalam rekaan yang turut disediakan dalam cetakan berkotak. Corak itu turut tampil dalam rekaan kemeja yang juga sesuai digayakan bersama palazo.

Bagi mereka yang mahu tampil rileks dan bersahaja, pilihan kemeja T pasti memenuhi cita rasa. Cetakan bergaya dalam corak yang comel dan bersahaja mahupun sekadar jalur melintang mewujudkan emosi ceria dan remaja.

Tidak lengkap sekiranya koleksi kali itu melupakan blaus tanpa corak dan rona polos bagi mereka yang gemarkan kesederhanaan dalam penampilan. Justeru, pilihan warna terkini dalam navi dan ungu sesuai disemat ke dalam seluar bagi mencipta keanggunan.

Top knit pula sesuai bagi mereka yang ingin tampil sederhana tetapi, masih mampu mencuri perhatian si jejaka. Fabrik polos dalam rona-rona pilihan terkini seperti turquoise, hijau, oren, putih mutiara serta ungu dan hijau lembut yang dipakai sedikit longgar menyerlahkan refleksi keselesaan.

Tidak dilupakan pilihan seluar pendek yang menimbulkan sensasi dalam warna coklat dan kelabu hued yang dipadankan dengan kemeja mahupun kemeja T yang pantas mencipta gaya formal mahupun kasual.

Kelembutan para gadis juga terserlah dalam pilihan skirt paras lutut yang lembut dan beralun mengikut rentak kaki dan tiupan angin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: