![]() |
| |
BAYANGKAN rumah yang disewa keluarga ini dengan RM100 sebulan sebenarnya tidak layak dipanggil sebuah rumah pun. Tanpa kemudahan asas seperti air dan elektrik dan tandas yang bersih ia sekadar pondok buruk yang tidak menjanjikan apa-apa keselesaan.
Bagi Kamaruzzaman Abu Hassan, 37, jika ada pilihan dia sudah tentu mahukan kediaman yang selesa.
Tetapi apakan daya, disebabkan kesempitan hidup dia dan isterinya, Che Rokiah Hassam, 27, bersama lima anak mereka berusia lima hingga 10 tahun terpaksa menjadikan pondok buruk itu sebagai tempat berteduh.
Rumah serba daif berukuran 100 kaki persegi itu ada satu ruang untuk dapur dan satu lagi sebagai ruang tamu. Hanya tikar getah yang basah dan kusam serta rasa melekit apabila kaki memijak membaluti lantai simen yang sudah pecah.
Ditambah dengan bau hapak akibat keadaan lembap dan basah ekoran bumbung yang bocor menambahkan lagi ketidakselesaan kediaman keluarga itu. Ia sudah semestinya tidak sesuai langsung dihuni oleh sesiapa sahaja terutamanya anak-anak kecil.
Bumbung yang bocor menyebabkan ruang itu basah apabila hujan dan berpanas apabila atap zinknya di timpa cahaya terik matahari.
Ruang kecil itu hanya diletakkan sebuah katil dua tingkat untuk mengalas anak-anak waktu mereka tidur. Terdapat sebuah televisyen di penjuru katil hasil pemberian insan yang simpati. Lubang-lubang yang terdapat di dinding batu disumbat dengan kain-kain buruk untuk menghalang cahaya matahari atau hujan.
Kamaruzzaman yang berasal dari Kajang, Selangor, merupakan operator biasa di sebuah kilang di Bandar Baru Bangi, Selangor, dengan pendapatan sekitar RM700 sebulan manakala Che Rokiah dari Kelantan merupakan suri rumah sepenuh masa.
Ditanya kenapa sanggup mendiami rumah seperti itu, Kamaruzzaman berkata, hanya itu sahaja yang dia mampu sediakan untuk keluarganya.
‘‘Saya bukannya orang senang. Masa saya dan isteri masuk ke rumah ini, tuan rumah tidak menyediakan kami air dan elektrik.
‘‘Bagi bekalan air kami terpaksa mengambil dari rumah sebelah. Cukup bulan kami bayar RM30 atau RM40.
‘‘Bekalan elektrik baru sahaja saya masukkan seminggu lalu. Itupun kena bayar RM250. Saya masukkan kerana saya takut anak-anak saya terpijak lipan atau ular dalam rumah.
“Sebelum ini kami gunakan lilin pada waktu malam,” jelasnya.
Kenyataan Kamaruzzaman memang benar. Di luar rumahnya berderet-deret baldi lama yang digunakan untuk menampung air bagi kegunaan keluarganya seperti memasak dan mandi secara terbuka.
Di bahagian belakang rumah pula ada sebuah tandas yang uzur.
Tambah Kamaruzzaman, hidupnya lebih tesepit apabila kilang tempatnya bekerja tidak lagi membenarkan kerja lebih masa.
‘‘Susah nak dapat kerja kilang sekarang. Mereka lebih suka ambil orang asing. Gaji lebih murah,” jelas anak sulung daripada tiga adik-beradik ini.
Ditanya kenapa tidak melakukan kerja sampingan bagi menambah pendapatan, katanya, perkara itu sukar kerana dia tiada kebolehan dan tidak berpelajaran.
Adat manusia yang hidup di dunia, pastinya yang sedikit berada akan melupakan mereka yang kekurangan, itu yang berlaku terhadap Kamaruzzaman apabila tidak diendahkan oleh saudara-mara sendiri.
‘‘Tapi itu semua tidak mengapa. Lebih baik begini, saya tidak kacau orang. Selagi ada kudrat, saya akan lakukan pekerjaan yang halal, saya tidak mahu meminta sedekah.
‘‘Pusat zakat ada beri tetapi masih tidak mencukupi. Mana nak tanggung anak-anak, belanja sekolah, makan dan baju mereka, sakit pening mereka lagi,” katanya.
Kamaruzzaman berkata, kalau ada pilihan, dia berharap sangat untuk mendapatkan sebuah rumah yang lebih selesa dan sesuai untuk keluarganya berteduh di sekitar Kajang khususnya di Sungai Ramal Dalam bagi memudahkan dia pergi kerja dan menghantar anak-anak ke sekolah.
Nasib Kamruzzaman dan keluarga bagaimanapun mendapat simpati daripada Skuad Sayang Wanita UMNO Bahagian Serdang, Selangor.
Walaupun tidak mampu mengatasi kesusahan yang dihadapi keluarga itu, ia sekurang-kurang memberi harapan bahawa ada pihak yang prihatin dengan nasib mereka.
Komandan Skuad Sayang Wanita UMNO Bahagian Serdang, Norlaila Mohd. Jani berharap orang ramai prihatin dengan nasib Kamaruzzaman dan keluarganya.
Ini termasuk menawarkannya kerja yang difikirkan sesuai kepadanya dengan pendapatan yang berpatutan.
‘‘Tambahan pula dengan anak-anaknya yang bersekolah, apatah lagi bulan Ramadan yang sudah semakin hampir, inilah masanya kita menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya yang ditemui selepas menghulurkan sumbangan kepada keluarga Kamaruzzaman baru-baru ini.
Memandangkan Kamaruzzaman tidak mempunyai telefon untuk dihubungi maka segala bentuk bantuan yang ingin disalurkan boleh menghubungi talian 013-3291523 (Zainon), 017-3675791 atau 013-6723762 (Norlaila). Keluarga ini boleh dilawati di Lot 4065, Jalan Kg. Dusun, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: