![]() |
| Dr. Mashitah Ibrahim (baju merah) beramah mesra dengan penghuni Baitul Fiqh ketika melawat rumah perlindungan remaja bermasalah itu di Subang Jaya, baru-baru ini. |
SYAIR Taubat di atas adalah antara bait-bait yang dilagukan dengan penuh makna oleh para penghuni Rumah Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh, Subang Jaya ketika menyambut lawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, baru-baru ini.
Para penghuninya begitu terkesan dengan syair yang mereka lagukan sehingga ada yang menangis penuh penyesalan menyebabkan suasana majlis bertukar menjadi sebak dan pilu.
Baitul Fiqh adalah rumah perlindungan yang dikira ‘paling dicari’ pada hari ini.
Sehubungan itu menurut Yang Dipertuanya, Juhaidi Yean Abdullah, mereka tidak pernah keputusan remaja luar nikah yang ingin berlindung di Baitul Fiqh.
“Kadang kala tengah-tengah malam, tiba-tiba ada remaja seorang diri yang entah datang dari mana mengetuk pintu rumah Baitul Fiqh.
“Hendak tak hendak, kita kena benarkan remaja tersebut bermalam. Esoknya barulah kita tanya apa masalah. Rupa-rupanya remaja tersebut tersilap langkah, sedang mengandung dan meminta untuk berlindung di rumah ini,” katanya.
Ini tidak termasuk remaja yang dibawa oleh para penjaga dan ibu bapa yang tidak kira latar belakang ekonomi dan status. Termasuk anak kerabat, ibu bapa yang berstatus VIP sehinggalah remaja yang menjadi mangsa jenayah rogol dan sumbang makram datang untuk membawa diri ke Baitul Fiqh.
“Tidak menang tangan kami menangani gejala remaja hamil ini sejak dari tahun 2006 bagi menyelamatkan hampir 700 bayi daripada menjadi kes pengguguran haram dan buang bayi,” katanya.
Ini kerana daripada kajian rambang mereka, hampir setiap remaja yang hamil itu mengalami trauma teruk sehingga mereka bercadang dan terfikir untuk menggugurkan kandungan.
Sebagai aktivis masyarakat, Juhaidi Yean melihat gejala remaja hamil luar nikah dan cabang-cabang maksiat yang bersangkutan dengan gejala itu sebagai sangat tenat. Kos sosial bagi menanganinya sekarang adalah semakin tinggi.
“Bayangkan jika ada kes yang kami terima, seorang remaja perempuan yang dirogol beramai-ramai lebih daripada 20 lelaki tanpa henti dari pukul 4 petang hari ini sehingga 4 petang esoknya.
“Tuhan sahaja yang tahu betapa teruknya trauma yang terpaksa ditanggung oleh si mangsa itu.
“Namun ada juga mangsa diperkosa tetapi menjadi ketagihan kepada seks pula. Datang ke sekolah tapi rupa-rupanya dia boleh melayan lelaki sehingga lima hingga tujuh lelaki setiap hari.
“Jadi inilah yang saya katakan sudah tenat kerana kes-kes seperti ini begitu membarah dalam masyarakat atau kita boleh katakan sudah tidak terkawal di negara ini.
“Namun di Baitul Fiqh ini kita akan terus berjuang bagi membantu remaja-remaja perempuan yang hamil, yang tidak sahaja sebagai rumah transit sementara mereka mengandung dan bersalin di sini.
“Untuk mengembalikan semula mereka sebagai orang baru yang serba serbi baru, terutamanya semangat baru untuk mereka berani keluar dan membina kehidupan baru,” katanya.
Lalu pelbagai pengisian diri perlu dijalani sepanjang mereka di Baitul Fiqh. Dari seawal pukul 4.30 pagi mereka akan bangun untuk melakukan solat hajat, solat tasbih, solat taubat dan lain-lain ibadat termasuk solat dhuha, mengikuti terapi psikologi, aktiviti keusahawanan dan kemahiran.
Iaitu sesuai dengan tagline Baitul Fiqh, iaitu Remaja Iman, Negara Aman.
“Akhirnya alhamdulillah ada kalangan penghuni, yang tidak sahaja menjadi usahawan berjaya, malah ada menyambung pelajaran sehingga ke luar negeri. Yang lebih membanggakan ramai yang keluar berjaya khatam al-Quran berkali-kali di sini,” ujar Juhaidi.
Sementara itu Dr. Mashitah gembira dengan kejayaan Baitul Fiqh yang beroleh status rumah kebajikan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Febuari lalu.
“Namun kejayaan rumah ini tidak bergantung kepada bantuan daripada pihak kerajaan semata-mata tetapi seluruh anggota masyarakat yang tidak lagi boleh hanya menunjukkan simpati tetapi juga empati agar gejala ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi,” katanya.
Beliau yang melawat sambil menghulurkan sumbangan peribadi kepada Baitul Fiqh setuju jika remaja yang hamil luar nikah ini mengambil tindakan undang-undang terhadap pasangan lelaki mereka yang menyebabkan mereka ini hamil.
“Mungkin usaha ini tidak mudah untuk mengheret lelaki-lelaki yang tidak bertanggungjawab ini kemuka pengadilan, tetapi andai mereka mempunyai kes dan bukti yang kukuh, maruah dan keadilan harus dikembalikan juga kepada si mangsa,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: