Monday, July 11, 2011

Khurafat The Series yakin lulus LPF


(DARI kiri) Raqim Ahmad, Yusof Haslam, Ismail Yaakob, Nora Danish, Zahiril Adzim, Amar Baharin dan Zack Taipan selepas pelancaran Khurafat The Series di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SKOP Productions telah menerbitkan banyak filem dan drama bersiri televisyen sejak 20 tahun lalu. Ia menyebabkan syarikat produksi itu seakan-akan faham dengan setiap peraturan yang dikenakan dalam bidang penerbitan.

Sebagai penerbit, Datuk Yusof Haslam yakin untuk menyiarkan drama bersiri, Khurafat The Series di Astro Ria walau pun penggambaran drama itu masih belum tamat sepenuhnya.

Beliau antara lain cukup memahami peraturan-peraturan yang dikenakan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) apatah lagi ia membabitkan drama seram seperti Khurafat The Series yang mempunyai 13 episod itu.

"Isu potongan LPF saya rasa tidak timbul kerana saya faham apa yang boleh dan tidak boleh dalam pembikinan drama dan filem. Kami sudah mengkaji setiap adegan yang dipaparkan tidak akan melanggar peraturan LPF.

"Khurafat The Series setakat ini baru habis penggambaran lima episod walaupun keseluruhannya ada 13 episod. Kalau hendak buat 13 epsiod serentak memang susah. Jadi, kami tayangkan dulu epsiod yang sudah siap.

"Pada masa sama, stesen televisyen seperti Astro Ria juga mengejar masa. Saya rasa LPF pun faham juga masalah penerbit dan stesen televisyen," katanya sewaktu pelancaran Khurafat The Series di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Khurafat The Series arahan Ismail Yaakob diadaptasi daripada filem Khurafat yang mengutip kutipan tiket RM8 juta itu bukan yang pertama di angkat ke layar kaca, sebaliknya sudah menjadi kebiasaan buat syarikat produksi tersebut.

Sungguhpun begitu, menurut Yusof, Khurafat The Series tidak sama seperti Khurafat kerana ia bukan sahaja menampilkan pengarah dan pelakon yang berbeza, tetapi jalan ceritanya juga diolah baru khusus untuk siaran Astro Ria.

"Ini bukan kali pertama Skop Productions mengadaptasi filem menjadi drama. Contohnya sebelum ini kami pernah mengadaptasi filem Janji Diana menjadi drama bersiri. Semuanya berbeza termasuklah pelakon dan jalan ceritanya.

"Ia cuma mengambil aura atau permulaan jalan cerita yang kemudiannya dikembangkan menjadi sebuah cerita yang baru. Saya sengaja tidak mengekalkan Syamsul sebagai pengarah drama ini bagi mencari kelainan.

"Pada masa sama, saya turut memperuntukkan bajet yang munasabah iaitu sekitar RM35,000 untuk setiap episod drama ini di mana ia mampu menghasilkan sebuah produk yang sesuai untuk disiarkan di televisyen," ujarnya.

Astro Ria selaku penyiar Khurafat The Series turut menaruh kepercayaan terhadap drama bersiri baru itu berdasarkan pengalaman Skop Productions dan juga populariti filem Khurafat yang berjaya menarik perhatian para penonton.

Wakil Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, pihaknya juga berharap pengalaman syarikat produksi itu dalam berdepan dengan peraturan-peraturan LPF tidak menganggu tayangan Khurafat The Series yang disiarkan menerusi slot seram stesen itu.

"Ini adalah kerjasama pertama antara Skop Productions dan Astro Ria. Kami yakin dengan prestasi dan pengalaman mereka dalam menerbitkan drama bersiri seperti ini sebelum ini di stesen-stesen TV lain," ujarnya.

Sementara itu, pelakon utama Khurafat The Series, Nora Danish berkata, dia juga berasa teruja melakonkan watak Mastura dalam drama itu yang belum pernah dilakonkannya sebelum ini termasuklah menerusi filem.

"Sebelum ini, saya hanya diberikan watak gadis-gadis yang comel, tetapi kali ini watak yang saya lakonkan lebih serius dan mendalam. Ini adalah watak lakonan saya yang paling menarik sejak 10 tahun lalu.

"Saya dapati konsep cerita sebegini yang satu genre dengan drama seperti The Ghost Whisperer yang bukan sahaja mencabar minda penonton tetapi juga para pelakon," ujarnya.

Khurafat The Series mengisahkan tentang Mastura yang mengikat perjanjian sehidup semati dengan Johan tetapi akhirnya segala apa yang dipersetujui itu telah menghantui pasangan kekasih terbabit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: