Thursday, July 7, 2011

Kerajaan longgarkan sekatan

Ketika industri seni muzik mengalami transformasi muzik, masih ada anak muda yang nekad memperjuangkan konsep rock kapak yang kini dipandang sepi.

Kumpulan Reptilia terdiri dari empat anak muda yang berasal dari Sabah dan Selangor, iaitu Eko, Bun Aim, Adul dan Abit, optimis dengan matlamat mereka.

Ditubuhkan sejak 2007, Reptilia memperjuangkan muzik 'heavy metal' yang kini kian dipinggirkan.

“Satu masa dahulu, muzik rock berjaya mencipta fenomena sendiri. Kami adalah peminat rock dan berbekalkan bakat dan ilmu mengenai muzik yang ada, kami nekad untuk menubuhkan Reptilia. Kami percaya muzik rock tidak akan 'mati' dan ada pengikutnya tersendiri," kata Eko selaku ketua kumpulan.

Walaupun ada yang berpendapat gaya dan konsep yang mereka bawakan itu tidak kena dengan peredaran masa kini, namun Reptilia punya alasan tersendiri.

"Ini adalah salah satu usaha kami untuk menghidupkan rock dan kami tidak kisah apa sahaja pandangan orang mengenai konsep yang kami bawakan.

“Lagipun cara berpakaian tidak melambangkan keperibadian kerana masyarakat tidak boleh menilai kami berdasarkan pakaian.

“Yang penting, kami bebas dari segala anasir luar yang boleh melalaikan,” katanya yang menjadikan kumpulan Crossfire, Handyblack, Teras dan Hidayu sebagai Idola.

Menyentuh mengenai pemilihan nama 'Reptilia' yang agak janggal bunyinya, Eko berkata, ia sesuai dengan jiwa rock yang dibawa mereka bersama-sama.



Selesa bergerak sendiri

Tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman, Reptilia berjaya menghasilkan tiga lagu antaranya, Lagenda Sumaya Putih, Tragedi Palestin dan Sangkakala. Malah itulah kejayaan besar buat kumpulan 'indipendent' seperti mereka.

Demi minat yang mendalam, mereka juga sanggup mengeluarkan duit poket masing-masing dan melakukan proses rakaman sendiri.

“Kami lebih selesa bergerak sendiri daripada bernaung dengan syarikat rakaman kerana kami boleh menguruskan segala urusan kami sendiri.

“Kumpulan rock dulu-dulu sangat istimewa dan tidak dapat ditandingi oleh kumpulan rock sekarang kerana auranya yang luar biasa. Jadi dengan aura yang ada, biarlah kami cuba nasib sendiri," kata Eko.

Akui populariti mereka agak jauh ketinggalan dengan band-band sedia ada, Retilia tidak mudah berputus asa.

"Memang kami tak ada 'back-up' kuat untuk mempromosikan kami. Tapi kami bukanlah mahu kejar populariti. Kami buat semua ini pun demi kepuasan dan minat kami dalam muzik rock.
"Tanpa populariti yang tinggi, kami juga ada peminat tersendiri," katanya.



Tidak harap bayaran tinggi

Memandangkan masing-masing anggota mempunyai kerjaya sendiri, masa yang diperuntukkan untuk bersama amat terbatas.

“Saya bekerja di Shah Alam dan anggota yang lain di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Ini membuatkan kami tidak mempunyai masa yang panjang untuk berlatih bersama.

“Masing-masing ada komitmen sendiri untuk menjana pendapatan. Jadi kami jadikan kumpulan ini sebagai mengisi masa lapang sahaja,” kata Eko yang masih aktif menerima undangan persembahan.

Menurut Eko, mereka tidak mengharapkan bayaran tinggi kerana dapat menghiburkan orang ramai sudah memberikan kepuasan kepada kumpulannya yang baru muncul.

“Ibu bapa saya sebelum ini pernah melarang untuk menceburi bidang nyanyian kerana katanya, kami tidak boleh pergi jauh.

“Namun, saya kuatkan diri dan tanamkan dalam hati yang penubuhan ini hanya untuk melampiaskan minat kami dan tidak sesekali dikotorkan dengan aktiviti yang tidak bermoral.

“Pandangan masyarakat, jika rock, mesti terlibat dalam penagihan dan pengambilan ubatan merbahaya. Namun, kami bersih dan antara kami yang tidak merokok,” katanya yang juga percaya dengan kebolehan pada diri masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: