Wednesday, July 6, 2011

Nur Nazuha tinggalkan zon selesa


Nur Nazuha Zohor Ali


SUDAH enak di kerusi empuk tambahan pula bergelar majistret - satu jawatan yang cukup dipandang tinggi di dalam masyarakat - pasti sukar untuk dilepas begitu sahaja.

Tetapi keselesaan bukan jaminan untuk seseorang itu kekal pada sesuatu kerjaya.

Itu yang dilakukan oleh Nur Nazuha Zohor Ali, 28, apabila bertekad meninggalkan kerjaya yang disifatkan sudah lama menyediakan 'zon selesa' untuk dirinya.

Lulusan pengajian undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu mengakui sepanjang bertugas sebagai penjawat awam sebaik tamat pengajian telah memberikannya pengalaman yang cukup berharga.

Bagaimanapun pilihannya untuk menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang Harta Intelek (HI) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuka ruang baru untuknya meneroka bidang yang lebih mencabar.

''Itupun keputusan untuk belajar ini mendapat dorongan yang kuat daripada suami. Di mana saya telah mendaftar sebagai siswa ketika masih di dalam pantang lagi,'' ujarnya ketika ditemui di Pasifica Coffee House, Hotel Grand Pasific, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Daripada situ juga Nur Nazuha sedar bahawa bidang HI sebenarnya sudah lama di kuasai oleh kaum lain termasuk perkhidmatan berkaitan dengan Cop Dagangan yang amat penting dalam pengeluaran sesuatu produk.

Sebaik tamat pengajian pada Julai 2009, Nur Nazuha kemudiannya meletakkan jawatan sebagai majistret.

Beliau memilih untuk berkhidmat di sebuah syarikat swasta yang mengendalikan bidang HI selama hampir setahun bagi mencari pengalaman.

Kini Nur Nazuha bergelar Ketua Pegawai Operasi (COO) di AsicoNextech Sdn. Bhd., di Batu Caves, Selangor.

''AsicoNextech Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada tahun 2010 di mana saya menggunakan kepakaran dalam HI dan dua rakan lagi dalam bidang industri dan undang-undang,'' katanya.

Beliau memberitahu, AsicoNextech merupakan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan dalam bidang harta intelek iaitu berkaitan cap dagangan, hak cipta, khidmat sokongan bagi mengendalikan kes-kes mahkamah melibatkan harta intelek dan sebagainya.

''Selain perkhidmatan harta intelek, kami juga menawarkan perkhidmatan khidmat nasihat perniagaan dan penyedia program latihan berkaitan harta intelek, pengkomersilan dan penjenamaan bagi memberi nilai tambah kepada syarikat-syarikat,'' katanya.

Jelas Nur Nazuha, apa yang penting matlamatnya sekarang adalah untuk menyedarkan golongan usahawan bumiputera mengenai pentingnya Cap Dagangan atau jenama bagi produk yang dikeluarkan.

''Kita tidak mahu penat lelah seseorang usahawan untuk mengeluarkan sesuatu produk tiba-tiba ada pula pihak ketiga yang terlebih dahulu memohon Cap Dagangan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),'' katanya.

Berikutan itu ujar Nur Nazuha dia tidak mahu menunggu sahaja di pejabatnya untuk menjadi 'bos' sebaliknya suka turun padang untuk mencari pelanggan.

''Inilah sikap saya yang sebenar iaitu suka berjumpa dengan orang ramai. Cara ini akan memudahkan saya menerangkan dengan lengkap mengenai HI,'' katanya.

Katanya, ini memandangkan ramai di kalangan rakyat di negara ini masih tidak jelas mengenai HI sekalipun pernah mendengar perkataan itu.

''Di sinilah letaknya perjuangan saya untuk menyedarkan rakyat khususnya di kalangan usahawan yang semestinya harus tahu mengenai HI dengan lebih jelas,'' katanya.

Sehubungan itu, kata Nur Nazuha, beliau melibatkan diri dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya dapat mendekati golongan usahawan bagi menyebarkan mengenai HI dengan mudah.

Dia juga sanggup memberikan khidmat nasihat secara percuma demi untuk memastikan nasib usahawan IKS di negara ini terbela dengan jenama produk sendiri.

''Sebenarnya usahawan bumiputera masih tidak arif mengenai HI. Sedangkan peniaga kaum lain telah lama tahu akan kepentingan Cap Dagangan atau jenama sesuatu produk ini,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, dia berpuas hati kerana hasil ceramah yang diberikan setakat ini telah berjaya menimbulkan kesedaran mengenai HI kepada usahawan bumiputera.

Katanya, mungkin usahawan tidak nampak ia penting kerana ada yang tidak yakin atau memberikan alasan perniagaan tidak akan sampai ke mana.

''Jangan diikirkan soal ini kerana apa yang penting telah ada jenama sendiri kerana ia memberikan hak ke atas produk itu untuk kepentingan di dalam perniagaan pada masa depan,'' katanya.

Katanya, kalau jenama produk itu amat penting kerana ia yang akan membolehkan seseorang pengguna untuk membezakan sesuatu produk ketika membuat pilihan untuk membeli.

Berikutan itu, katanya, seorang usahawan itu tidak perlu rasa rugi memperuntukkan perbelanjaan menguruskan proses permohonan mendapatkan Cap Dagangan.

Pada peringkat ini, katanya, beliau perlu banyak berinteraksi dengan pelanggan khususnya yang berkaitan dengan jenama produk.

''Ini kerana pada setiap bulan, ribuan usahawan akan membuat permohonan Cap Dagangan dan ini menunjukkan di sini sudah bermulanya persaingan di dalam perniagaan,'' katanya.

Bagaimanapun jelas ibu muda itu, sedikit sebanyak pengalamannya di dalam undang-undang memang banyak membantu kelicinan tugasnya yang membabitkan Harta Intelek ini.

''Biasanya setelah Cap Dagangan pelanggan diluluskan, kita akan memantau setiap permohonan baru selama dua bulan supaya bantahan dibuat jika mempunyai persamaan dengan jenama pelanggan,'' katanya.

Malah katanya, dia juga perlu menjalankan penyiasatan jika pelanggan memberitahu ada pihak yang cuba meniru jenama mereka.

Nur Nazuha memberitahu, sesiapa yang ingin mendapatkan khidmat nasihat mengenai perkara ini boleh menghantar emel kepada info@asiconextech.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: