Wednesday, July 6, 2011

UiTM reka dua kereta lumba


SAHOL Hamid Abu Bakar (kiri) melepaskan pasukan pelajar UiTM yang akan menyertai pertandingan Shell Eco Marathon Asia 2011, di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM 5 Julai - Sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini berjaya mereka cipta dua kereta lumba berkuasa hidrogen bagi menyertai pertandingan Shell Eco Marathon Asia 2011 selama empat hari bermula esok di Litar Formula 1, Sepang.

Majlis pelancaran pelepasan dua kereta lumba yang dinamakan, Lipas Motive 2 dan Belacak itu disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Sahol Hamid Abu Bakar dalam satu majlis ringkas di perkarangan Bangunan Canselori di sini, hari ini.

Mahasiswa daripada jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektrik dan Sains Gunaan UiTM itu telah mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan rekaan dua buah kereta lumba tersebut.

Pengurus pasukannya, Mohd. Hadi Anuar Mohd. Fakharuzi berkata, mereka akan berentap dengan 120 universiti di Asia dengan 25 kereta mewakili Malaysia.

"Ini kali kedua UiTM menyertai pertandingan seumpama ini dan kami jangka berhadapan dengan saingan hebat daripada peserta lain. Tahun ini kita mempertaruhkan hasil rekaan yang telah mengalami penambahbaikan sebanyak 50 peratus berbanding tahun lalu," katanya di sini hari ini.

Selain menggunakan kuasa hidrogen, beliau turut memberitahu, kelebihan rekaan kereta lumba pasukan UiTM kali ini adalah ia lebih ringan berbanding rekaan pada tahun lalu.

"Tahun ini kami meletakkan sasaran untuk menduduki tangga 10 teratas dengan jangkaan pasukan Singapura akan memberikan saingan hebat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: