|
|
SETELAH senyap seketika daripada isu rumah tangga, sekali lagi pasangan bekas suami isteri, Norman Hakim dan Abby Abadi menggegarkan dunia seni dengan kisah perselisihan faham mereka gaa-gara anak dan Memey.
Baru-baru ini, Abby meluahkan rasa tidak senang hati setelah mendapat tahu dua anak perempuannya, Marissa Damia Hakim, 6, dan Maria Danisha Hakim, 3, dibawa ke satu majlis tanpa ditemani oleh bekas suaminya itu.
Abby tidak dapat menafikan beliau berkecil hati dengan tindakan, Norman, 35, membenarkan Memey Suhaiza Suhaimi, 23, membawa anak-anak mereka ke majlis yang tidak sesuai dihadiri oleh kanak-kanak.
Kesempatan berjumpa dengan Norman dan Memey di Restoran Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini, Hits mendekati pasangan kekasih tersebut untuk mendapatkan komen mereka pula.
Menurut Norman, dia tidak menyangka perkara tersebut dijadikan isu kerana menganggap apa yang dilakukan Memey adalah atas niat meringankan bebannya.
“Saya faham, Abby berhak untuk menyuarakan pendapatnya. Tapi jika saya berada di pihak dia (Abby), saya akan berterima kasih kepada Memey kerana sudi menjaga anak-anak saya daripada ditinggalkan di rumah tanpa sebarang pengawasan,” ujarnya.
Menurut Norman, Abby tidak seharusnya cepat melatah sebelum mengetahui perkara sebenar yang terjadi pada hari tersebut.
“Sebenarnya, pada hari tersebut, saya menghadiri satu majlis sukan di sekolah Danish pada sebelah pagi yang turut ditemani Abby.
“Dalam hari yang sama juga, Dania pun terlibat dengan aktiviti sekolahnya pada tengah hari. Tetapi Abby tidak dapat hadir kerana mahu ke luar negara.
“Saya akui, saya tidak cukup tangan untuk menjaga anak seorang diri. Jadi saya berbincang untuk membahagikan tugas menjaga anak-anak dengan Memey.
“Saya terpaksa buat begitu kerana malam itu saya ada penggambaran filem Tanda Putera yang diarahkan Datuk Paduka Shuhaimi Baba di Studio Finas, Hulu Klang,” katanya.
Setelah berbincang, Norman membawa anak lelakinya bersama ke lokasi manakala dua anak perempuannya bersama Memey yang secara kebetulan diundang menghadiri satu majlis di Damansara.
“Setelah menghantar mereka ke Damansara, saya dan Danish kemudiannya ke Hulu Klang pula,” katanya.
Norman mengakui, untuk menjadi ayah yang sempurna bukan mudah. Namun dia tidak pernah berhenti mencuba menjadi yang terbaik.
“Bermula dari hari pertama saya azankan anak-anak saya, janji saya adalah untuk menjadi seorang bapa yang baik dan saya sentiasa mencuba ke arah tersebut,” katanya penuh semangat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: