Monday, July 4, 2011

Suka duka Mr. Os



Mungkin nama Mr. Os, kini semakin tenggelam dek muka-muka baru yang mewarnai industri hiburan. Namun, kehebatan anak jati Kuala Kangsar, Perak, ini cukup terserlah di era 90-an ini tidak mampu ditandingi muka baru.

Memiliki bakat komedi serta ‘tuah giginya’ Mr. Os atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Adbul Hamid, mudah mencipta nama. Berkecimpung dalam industri seawal tahun 1984, Os terlebih dahulu mencuba nasib dalam lakonan.

“Saya teringin nak jadi pelakon dan saya telah menghantar sepucuk surat rasmi kepada RTM untuk memohon peluang itu. Rasa itu timbul setelah saya menonton rancangan Drama Minggu Ini dan merasakan lawak mereka tidak realistik dan saya cukup marah dengan pelakon-pelakon yang terlibat.

“Ketika itu juga, saya disindir orang tua saya. Mereka mencabar saya untuk menghadiri uji bakat sekiranya saya boleh menandingi pelakon tersebut,” katanya yang ketika itu baru sahaja menamatkan pengajian di Institut Pertanian Malaysia di Parit.

Sudah tertulis dia bakal menjadi artis, Os kemudiannya dipanggil menjalani sesi uji bakat yang berlangsung di Petaling Jaya.

“Saya diberi skrip yang memerlukan saya berlakon sebagai guru. Apabila membaca skrip itu, saya tidak puas hati kerana dialognya banyak mengulangi perkataan ‘Ahh’. Saya minta juri memberi kelonggaran pada saya untuk membawa watak itu.

“Namun, rezeki berpihak kepada saya apabila ditawarkan untuk menjadi pelakon dan sitkom Santan Belada merupakan penglibatan pertama saya dalam dunia lakonan,” katanya.



Tuah nama

Menurut Os, menerusi sitkom Santan balada, itulah dia mendapat ilham untuk menukar namanya dari Osman kepada Os, dan siapa sangka nama itu banyak memberikan tuah kepadanya.

Bermula dengan watak tambahan dalam filem Balik Kampung, dia kemudiannya menerima peranan lebih besar menerusi filem Mr. Os. pada tahun 1987. Malah kerana filem itulah Os semakin dikenali dan mengecap populariti yang tinggi.

“Pada tahun 1988, saya menandatangani kontrak bersama SV Production dan menjayakan empat filem dalam masa dua tahun iaitu Hero, Adik, Kembar Siam dan Ok.

“Sememangnya saya dilahirkan untuk Mr. Os. Jadi, dan nama itu membawa banyak tuah dalam hidup saya. Sehingga kini pun saya selesa dengan panggilan ini,” katanya yang pernah mencetuskan kontroversi apabila menolak membintangi filem Jejaka Perasan di samping Liza Abdullah.

Mengimbau kembali kejayaannya, Os pernah mencipta nama di arena perfileman Hollywood menerusi filem Beyond Rengoon dan Fifty Fifty. Selain itu dia turut membintangi beberapa filem Indonesia seperti Bisikan Arwah, Omong Besar dan Jodoh Boleh Diatur.



Kegemilangan sementara

Zaman kegemilangan Os hanya bertahan sementara selepas aktor ini membuat keputusan untuk menyepi dalam industri lakonan. Ketika itu, ramai yang menyangka Os sudah hilang taringnya.

“Apabila tamat kontrak bersama SV Production, saya tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat dan berlakon jika ada tawaran. Kebetulan ketika itu, saya mendapat tawaran bekerja di Lembaga Pertubuhan Peladang, Shah Alam dan tumpuan saya lebih kepada kerjaya baru itu.

“Bermula awal 1990, saya sudah berjinak-jinak dengan perkhidmatan teksi di sekitar ibu kota dan memandu jika mempunyai masa lapang. Ada penumpang yang kenal dan ada juga yang tidak kenal saya, walau apa pun pandangan orang, saya tetap seronok bawa teksi,” katanya yang kini ligat menjalankan perniagaan penginapan chalet di Kuala Kangsar dengan nama Chalet Di Kampung Mr. Os.

Tidak pernah jauh hati dengan industri seni, Os kini, rancak merencana karier seninya selain kembali di layar perak dengan dua filem, Ops Pocot dan Toyol Nakal, Os juga dengan album solo, ‘Berkenan Benor Teman’.

Selain itu, Os juga bakal bergelar DJ Radio tidak lama lagi.

“Tawaran jadi DJ dah ada. Tapi saya masih belum putuskan perkara ini kerana ingin mencari ‘feel’ sebagai DJ itu dulu,” katanya yang masih merahsiakan stesen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: