Monday, July 4, 2011

Animasi menyerlah berbanding cereka


IMUDA (kanan) menyanyikan sebuah lagu bertemakan animasi sambil diiringi petikan gitar uplugged Mior Sarkat.


DALAM bidang perfileman tanah air, filem cereka dan animasi merupakan dua produk yang paling mendapat perhatian para penerbit tempatan kerana ia mempunyai pasaran yang luas sama ada di dalam atau luar negara.

Bagaimanapun antara dua produk itu, filem animasi paling mudah mendapat sambutan di luar negara berdasarkan kejayaan yang telah diraih oleh filem Geng: Penggembaraan Bermula dan siri kartun Upin dan Ipin baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) , Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi, pencapaian dua produk terbitan Les' Copaque Production itu membuktikan bidang animasi lebih luas berbanding filem cereka.

"Sebagai contohnya filem Geng: Penggembaraan Bermula telah ditayangkan di Indonesia dan siri kartun Upin dan Ipin juga mencetuskan fenomena di negara tersebut. Ini membuktikan produk animasi mampu menembusi pasaran dunia.

"Sebab itu, Finas memberi perhatian terhadap bidang animasi termasuklah dengan menganjurkan Anugerah Karyawan Animasi Malaysia 2011," katanya sewaktu merasmikan anugerah tersebut.

Pada anugerah yang diadakan di Finas, Hulu Klang, Selangor itu, sebanyak 16 anugerah telah diberikan kepada para pemenang berdasarkan filem-filem animasi yang diterbitkan sepanjang tahun lalu dan tahun ini.

Anugerah yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Persatuan Animasi Malaysia dengan kerjasama Finas itu bertujuan menggalakkan lebih banyak penerbitan filem animasi untuk pasaran dalam dan luar negara.

Beliau menambah, siri kartun Upin dan Ipin misalnya turut menebusi pasaran negara seperti Singapura, Turki, Thailand, Hong Kong, Filipina, Vietnam dan Kemboja di mana secara tidak langsung ia turut mempromosikan negara ini.

"Selaras dengan Dasar Perfileman Negara tahun 2005 dan Dasar Pembangunan Filem Dokumentari dan Animasi turut menjadi fokus kerana produk-produk ini bersifat sejagat dan mampu merentasi sempadan negara.

"Justeru, bagi menjana kepada pembangunan industri filem animasi pelbagai langkah telah diambil oleh Finas termasuklah daripada segi bantuan modal, latihan, pemasaran dan infrastruktur bagi membantu karyawan terbabit.

"Sebagai contoh, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menyediakan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta dan RM100 juta daripadanya telah pun dipohon oleh mereka yang layak," ujarnya.

Anugerah Karyawan Animasi 2011 menyediakan hadiah berupa trofi dan wang tunai RM1,000 buat para pemenang yang terdiri daripada karyawan di sebalik tabir pembikinan filem animasi yang telah ditayangkan dalam dan luar negara.

Hadir sama pada majlis anugerah itu ialah Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim dan Presiden Persatuan Animasi Malaysia, Kamarudin Ismail.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: