Monday, July 25, 2011

Nilai eksklusif Anuar Zain


ANUAR ZAIN berharap dapat membuat persembahan konsert solo di Istana Budaya.


ANUAR ZAIN, satu nama yang cukup besar dalam industri seni suara tempatan, letakkan dia di mana-mana persembahan pasti tiket laris dijual. Begitu juga halnya dengan persembahannya baru-baru ini Up Close and Personal With Anuar Zain yang berlangsung selama dua hari di Menara Kuala Lumpur.

Persembahan sempena dengan Festival Kuala Lumpur 2011 itu dilihat berjaya apabila peminat setia Anuar Zain memenuhi segenap ruang Mega View Banquet Hall meskipun tiket persembahan bermula daripada RM500 sehingga RM1300, satu harga yang cukup mahal.

Kata Anuar yang ditemui selepas persembahannya selesai, dia bersyukur dan berterima kasih buat peminat yang sanggup hadir ke persembahannya kerana sedar harga tiket bukannya murah.

"Saya beri sepenuh hati saya untuk menyanyi malam ini kerana peminat yang hadir membayar harga yang cukup tinggi, jadi saya harus memberikan sebuah persembahan yang berbaloi dengan wang dilaburkan mereka," ujarnya.

Meskipun persembahannya bermula tepat pada pukul 10 malam, lewat setengah jam daripada jadual asal, bukannya satu masalah besar buat peminat dan Anuar sendiri. Sebelum Anuar menguasai pentas, penonton terlebih dahulu dihiburkan dengan celoteh Afdlin Shauki yang cukup mencuit hati.

Anuar membuka tirai persembahan dengan lagu Ku Berjanji Karna Cinta dan seterusnya menyanyikan lagu Kau Bunga Cintaku, Ketulusan Hati serta Kaulah Satunya.

Peminatnya tanpa diminta turut serta menjadi penyanyi latar secara percuma. Bukan itu sahaja, jika sudah namanya Anuar Zain tidak sah setiap persembahannya dia tidak dikerumuni peminat.

Kemudian, bagi memberi kelainan dalam persembahnnya kali ini, Anuar menyanyikan semula lagi dendangan asal penyanyi Sohaimi Mior Hassan iaitu lagu Epilog Cinta Dari Bromley dan Tiada Maaf Bagimu daripada Datuk Sharifah Aini dan sebuah lagu Inggeris, Cry Me A River dengan gubahan muzik baru.

"Kesemua lagu-lagu yang saya nyanyikan malam ini dipilih oleh saya sendiri dan saya sengaja buat kelainan dengan menyelitkan lagu-lagu lama yang saya minati. Begitu juga dengan barisan lagu-lagu saya yang jarang didendangkan dalam persembahan pentas, selalunya peminat sudah dapat tahu susunan lagu saya tetapi hari ini berbeza," katanya.

Selain itu Anuar turut mendendangkan lagu Suria & Siarra, Semua Untukmu dan lagu berhantunya buat masa ini Sedetik Lebih sebagai lagu penutup. Rasanya terlalu pantas masa berlalu kerana Anuar hanya mendendangkan 10 buah lagu secara keseluruhannya.

Namun, apa yang pasti peminatnya pulang dengan perasaan puas kerana dapat menatap wajah penyanyi pujaan dari jarak dekat selain mendengar secara langsung vokal mantap daripada Anuar.


ANUAR ZAIN sentiasa dikerumuni peminat dalam setiap persembahannya.


Album

Apabila disoal mengenai perkembangan terbaharunya, Anuar memberitahu dia kini sibuk dengan proses menyiapkan album terbaharu selepas empat tahun tanpa sebarang album.

Menegaskan dia mahu kualiti dan lagu yang terbaik dimuatkan dalam album itu, masa yang panjang serta pelaburan yang besar terpaksa diharungi demi kepuasannya serta peminat yang mendengar album itu kelak.

"Album keempat saya memang sudah siap sepenuhnya tetapi saya tidak puas hati dengan proses adunan dan mastering album itu.

"Buat masa ini, saya dan pihak pengurusan sedang menilai semula album itu untuk meneliti masalahnya. Saya mengakui kos penerbitan album ini sudah meningkat sehingga boleh menerbitkan dua buah album lagi. Jika semuanya berjalan lancar, saya harap ia dapat dipasarkan dalam tahun ini juga," tuturnya.

Melihat barisan tenaga kreatif yang terlibat dalam album baharunya, nampaknya Anuar lebih percaya kepada komposer seberang kerana daripada lapan buah lagu yang terkandung dalam album itu hanya dua daripada merupakan hasil kerja komposer tempatan.

Bagaimanapun, Anuar ada alasannya sendiri mengapa dia memilih enam buah lagu daripada komposer Indonesia.

"Saya pilih enam lagu daripada Indonesia kerana mereka ada bunyi yang saya mahukan. Bukan saya kata Indonesia lagi bagus daripada Malaysia, sebenarnya ada bunyi yang mereka ada tetapi kita tidak ada, begitulah sebaliknya.

"Ada juga komposer kita yang lebih hebat daripada mereka, cuma untuk album saya, saya selesa bekerja dengan mereka tambahan lagu-lagu yang dibikin mereka sesuai untuk saya itu sahaja, selain kos pembikinan lagu di sana jauh lebih murah daripada Malaysia," terangnya lagi.

Anuar juga memberitahu pada 30 September depan, dia dan kakaknya Ziana Zain bakal membuat sebuah konsert khas sempena raya di Esplanade, Singapura.

Dalam pada itu, Anuar juga menyimpan impian untuk mengadakan sebuah konsert solonya.

"Kalau bercakap tentang konsert solo memang tidak habis-habis, cuma masalahnya kita masih mencari penaja, kalau ada rezeki saya akan lakukan," katanya yang teringin membuat konsert di Istana Budaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: