Friday, July 29, 2011

Bergelak tawa dengan'The Hangover'

Jika anda pernah menyaksikan siri terdahulu, anda pasti kecewa kerana ia seolah-olah salinan filem yang dicetak semula.

Bagaimanapun, bagi penonton yang pertama kali menonton filem ini, mereka pasti akan terhibur dengan gelagat sekumpulan lelaki yang tersangkut dalam senario tidak disangka-sangka.

Boleh dikatakan hampir 90 peratus daripada plot filem ini serupa dengan The Hangover.

Filem sekuel ini banyak menggunakan acuan sama, sekali gus mengurangkan impak jenaka.

Antara persamaan dan perubahan wujud ialah watak monyet menggantikan harimau (The Hangover 1) sebagai penyeludup dadah, Stu (Ed Helms) mendapat tatu dan sebelum ini kehilangan gigi.

Alan (Zach Galifianakis) pula kehilangan rambut dan sebelum ini kehilangan seluar manakala lokasi pula di Thailand berbanding sebelum ini di Vegas namun masih mengekalkan lokasi hiburan popular.

Watak Mr Chow meskipun tampak berlebih-lebih dalam menterjemahkan watak Mr Chow, ia mungkin satu kelebihan untuk Ken Jeong lebih dikenali.

Biarpun klise dengan plot dan naratif hampir sama berbanding dulu, The Hangover sebenarnya masih mampu menguasai penonton untuk mengundang tawa.

Daripada segi sinematografi, ia boleh dikatakan lebih baik berbanding siri dulu. Mungkin kerana cuba membawa laluan cetusan rasa berbeza, pengarah seni cuma mencari sisi lain dalam visual.

Tambahan pula, pemilihan Thailand ternyata pilihan bijak untuk menyegarkan kembali minda peminat yang pernah mengikuti filem ini. Malah, kemunculan Mike Tyson sebagai cameo juga satu usaha untuk mencari kelainan filem ini.

Seperti filem terdahulu, The Hangover Part 2 membawa Phil (Bradley Cooper), Alan dan Doug mengembara ke Thailand untuk menghadiri perkahwinan Stu.

Selepas parti bujang penuh kelam-kabut yang diadakan di Las Vegas dulu, Stu terus berhati-hati dengan harapan majlis kali ini akan lebih selamat.

Bagaimanapun, apa dirancang tidak semestinya menjadi. Pelbagai kejadian tidak disangka berlaku selama mereka berada di Thailand. Sebaik berparti di sebuah kelab, mereka tidak sedarkan diri dan pada keesokan harinya terjaga di sebuah rumah tumpangan di tengah bandar Bangkok.

Lebih parah, mereka hilang ingatan dan tidak sedar apa berlaku pada fizikal mereka. Dalam usaha untuk keluar daripada masalah menimpa, mereka perlu mencari bukti.

Sebaik kembali ke tempat yang pernah dijejaki berdasarkan bukti yang ada, mereka bukan saja dihambat dengan masalah lebih besar, malah terpaksa menyelamatkan diri daripada musuh baru yang tidak pernah dikenali.

Filem ini mungkin bukan yang terbaik dalam susunan filem aksi komedi, namun ia harus ditonton untuk koleksi filem anda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: