Tuesday, July 19, 2011

Muzik FM sasar 1.25 juta pendengar


Barisan penyampai wanita Muzik FM tampil dengan persembahan istimewa ketika Majlis Minum Petang Sambutan Ulang Tahun Muzik FM Ke-36 di Seri Kembangan, baru-baru ini.


SETELAH 36 tahun menyemarakkan dunia muzik tanah air dengan memutarkan lagu-lagu nyanyian artis tempatan tanpa diskriminasi, stesen radio Muzik FM dilihat antara medium hiburan yang paling berpengalaman dalam industri muzik tanah air.

Justeru, selaku stesen radio paling senior dalam kalangan stesen-stesen radio lain, sasaran sebanyak 1.25 juta pendengar yang dianggarkan pada tahun depan dilihat begitu realistik.

Tambahan pula, keyakinan itu dikuatkan lagi berdasarkan peningkatan jumlah pendengar kepada 1.17 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 1.08 juta tahun lalu.

Pada Majlis Minum Petang Sambutan Ulang Tahun Muzik FM ke-36 di Mines Wellness Hotel, Seri Kembangan, baru-baru ini, Pengurus Muzik FM, Zainal Abidin Asri Abd. Wahid berkata, pihaknya telah merangka pelbagai program turun padang untuk bertemu pendengar.

Katanya, perancangan tersebut amat diperlukan bagi memenangi hati pendengar terutamanya golongan remaja dan dewasa.

"Sokongan padu daripada dua golongan tersebut merupakan tulang belakang yang memastikan stesen radio ini boleh bertahan hingga ke hari ini sejak ia ditubuhkan pada 1975.

"Tanpa melupakan sokongan daripada golongan lain, program turun padang yang akan diadakan di beberapa lokasi pilihan sebagai terima kasih Muzik FM kepada pendengar.

"Dengan cara itu, penyampai Muzik FM boleh melakukan kajian secara terus dengan pendengar mengenai cita rasa mereka terhadap muzik tempatan," katanya.

Pada masa yang sama, ujar Zainal Abidin, beberapa usaha dirancang untuk meningkatkan prestasi stesen radio itu.

Antaranya menambah baik isi kandungan program bersesuaian dengan tema 'memasyarakatkan' penduduk pelbagai bangsa dan agama di negara ini.

"Selain menyajikan hiburan dengan memainkan lagu-lagu terkini dan berkualiti, Muzik FM juga sentiasa menyalurkan maklumat semasa kepada pendengar," tambah Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Zainal Abidin menjelaskan, segmen Rock Selamba yang ke udara pada setiap Isnin hingga Jumaat selama tiga jam merupakan segmen yang mencatatkan peningkatan jumlah pendengar yang memberangsangkan.

"Sementara itu, segmen Pilihan Bersama yang disiarkan pada setiap hari pukul 9 malam hingga 1 pagi masih menjadi segmen paling ramai pendengar setakat ini," ujarnya tanpa mendedahkan rating pendengar yang dikendalikan oleh AC Nielsen itu.

Majlis yang diadakan secara sederhana itu diserikan dengan persembahan artis seperti Dayang Nurfaizah, Lan Kristal, Naizle dan Iqa Mentor 5 serta dirasmikan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhayati Ismail.

Sejak enam tahun lalu, Muzik FM berjaya merekodkan beberapa kejayaan peribadi termasuklah empat lakaran sejarah dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila melakukan siaran tanpa henti selama 25 jam di puncak Menara Kuala Lumpur pada 2005.

Selain itu, Muzik FM turut bersiaran tanpa henti selama 50 jam di Tanjung Piai, Pontian, Johor.

Para penyampai Muzik FM juga pernah membuat rekod apabila bermain boling di Ampang Superbowl, Berjaya Times Square selama 33 jam tanpa henti dan menjadi stesen radio pertama yang mempunyai setem korporat edisi terhad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: