![]() |
| CHERYL Samad berjaya membentuk karakter Deena Jones dalam acuannya sendiri. |
BAGI mereka yang hadir menonton malam pratonton teater muzikalDreamgirls di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, minggu lalu, pasti akan bersetuju dengan kenyataan bahawa Dina Nadzir merupakan bintang yang paling menyerlah pada malam itu.
Sehinggakan bintang dari Broadway, New York, Amerika Syarikat yang diimport untuk teater itu, Kris Coleman juga ditenggelamkan oleh Dina yang mendapat tepukan gemuruh malam itu.
Memang tidak dinafikan, watak Effie White oleh Dina dalam pementasan itu merupakan watak yang bukan mudah dibawakan.
Apatah lagi, untuk peminat Dreamgirls, watak berkenaan sudah dibentuk dengan kemas oleh Jennifer Hudson yang menzahirkan Effie White dengan cukup cemerlang dalam versi filemnya.
Memang tidak adil untuk membandingkan Jennifer dan Dina tetapi sebagai seorang yang begitu hijau dalam dunia teater muzikal, Dina berjaya membuktikan kehebatannya menjayakan watak ikonik itu.
Sebagaimana impak besar yang terhasil menerusi lakonan Jennifer, begitulah yang diberikan Dina yang sebelum ini hanyalah pelakon gantian untuk watak itu.
Luahan emosi Dina sebagai seorang yang menjadi mangsa diskriminasi hanya kerana tidak memiliki pakej lengkap untuk menjadi penghibur cukup terkesan sehinggakan ada yang mengalir air mata.
Lebih-lebih lagi untuk babak penting lagi dramatik sewaktu Effie ditinggalkan selepas dipermainkan oleh kekasihnya, Curtis Taylor Jr. sekali gus melantunkan lagu keramat dalam naskhah Dreamgirls iaitu Am I Telling You I'm Not Going.
Bahasa tubuhnya serta lontaran dialog yang jelas juga memancarkan spektrum lakonan Dina sehingga dia berjaya menyakinkan penonton bahawa dia sebenarnya adalah Effie White.
Pengalamannya sebagai seorang penyanyi juga banyak membantu Dina untuk tampil berkeyakinan di pentas tanpa kelihatan canggung bersama barisan pelakon lain.
Ternyata percaturan Joanna Bassey selaku pengarah dan Broadway Academy sebagai penerbit muzikal ini untuk menaikkan pangkat Dina sebagai pelakon utama tepat sekali.
Maaf kalau ada mencebik mahupun terasa dengan pujian ini, tetapi ini adalah fakta dan realiti yang harus diterima.
Pujian terhadap Dina bukan dari penulis seorang tetapi juga daripada penonton yang memenuhi setiap ruang dalam panggung untuk menyaksikan malam pratonton itu.
Sudah tiba masanya Dina atau nama sebenarnya, Faradina Mohd. Nadzir terus diberi peluang untuk mempamerkan kehebatan bakatnya kepada khalayak yang sebelum ini hanya memandangnya sebelah mata sahaja.
Tetap hebat
Barisan pelakon Dreamgirls yang lain juga sebenarnya tidak kurang hebat seperti Azura Zainal yang kelihatan begitu sesuai membawakan watak Lorrell Robinson.
Pemilihan Cheryl Samad sebagai Deena Jones pula sememangnya menepati karakter yang pernah dibawakan oleh Beyonce Knowles dalam versi filemnya.
Namun, memang tidak adil untuk membandingkan Beyonce dan Cheryl tetapi sebagai seorang yang cukup berpengalaman, Cheryl berjaya membentuk Deena dalam acuannya sendiri.
Sesuatu yang mengejutkan dan berjaya membuka mata ramai pihak adalah Dafi yang juga memberikan lakonan cemerlang sebagai CC White.
Siapa sangka, bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima itu mampu membawakan watak tersebut dengan penuh penghayatan yang sangat mendalam.
Berkat latihan dan disiplin yang ketat telah menuai hasil yang cukup lumayan untuk Dafi yang telah menampakkan kematangannya sebagai seorang pelakon dan penyanyi.
Pelantun lagu Bila Terasa Rindu itu langsung tidak kelihatan kekok untuk bersama barisan pelakon lain di atas pentas.
Jika ada yang skeptikal dengan bakat Dafi sebelum ini, nampaknya anda perlu membuangnya jauh kerana Dafi membuktikan dia memiliki bakat yang mampu membawanya lebih jauh.
Tidak cukup 'mahal'
Harus diakui, di awalnya penulis dan beberapa rakan media yang lain meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat 'kemegahan' Dreamgirls di pentas bertaraf dunia.
Kemegahan yang dimaksudkan itu lebih tertumpu kepada aspek tata rias, kostum dan juga penataan seni bagi menghidupkan lagi zaman kegemilangan muzik dari era 60-an hingga 70-an.
Untuk sebuah muzikal yang mengambil era itu, memang tidak dapat dinafikan elemen-elemen itu memainkan peranan cukup penting dalam menghidupkan perjalanan cerita.
Bukan Dreamgirls versi Malaysia ini tidak bagus tetapi perasaan kecewa itu sedikit dirasai apabila melihat ada sesetengah rekaan set pentas dan kostumnya kelihatan tidak begitu 'mahal'.
Dari aspek lain pula, tertanya juga mengapakah pementasan itu tidak menggunakan kemudahan di panggung bertaraf dunia itu sepenuhnya.
Walhal, Panggung Sari mempunyai panggung bertingkat yang mampu digunakan oleh pihak Broadway Academy untuk mencantikkan lagi pementasan.
Mungkin, mereka ada jawapan tersendiri berhubung perkara berkenaan terutama soal kos dan bajet yang pasti menjadi kekangan utama dalam mana-mana pementasan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: