Tuesday, July 19, 2011

Mahu tawan peminat tempatan dan antarabangsa

Band rock aliran indie diasaskan di Ampang, Selangor ini sudah mencecah enam tahun usia penubuhannya.

Namun, dalam kalangan peminat muzik arus perdana, Pesawat hanya membuat kemunculan pertama mereka sekitar 2008 dengan ‘single’ berjudul Mirage pantas mencuri tumpuan.

Menamakan muzik sebagai ‘indie rock with post-punk edge’ yang laju dan kuat bagaikan pesawat, lima anak muda bernama Jipie (vokalis, gitar, piano), Nizam Camel (gitar), Mann (bass), Kudux (dram) dan Danial (syhthesizer) punyai hasrat untuk terbang tinggi dan jauh.

Bersesuaian dengan nama kumpulan diinspirasikan daripada keunikan kenderaan udara itu, perjalanan karier lima anak muda ini boleh diumpamakan dengan penerbangan sebuah pesawat.

Berlepas dari landasan, kemudian terbang rendah sebelum sedikit demi sedikit membelah awan di puncak tertinggi.

Sepanjang tiga tahun, Pesawat melancarkan tujuh ‘single’ terlebih dahulu iaitu Mirage, ‘Excuse Me’, Rasional Emosional, Bingit, Mesti Mau, Hitam dan ‘Brand New Day’.

Dari situ, sedikit demi sedikit Pesawat mula mengumpul peminat sendiri yang diibaratkan sebagai ‘penumpang’ setia dibawa dalam setiap penerbangan.

Kini, Pesawat yakin untuk ‘berlepas’ sepenuhnya dengan pelancaran album pertama mereka berjudul ‘Take Off’, memuatkan tujuh ‘single’ lama dan enam lagu baru iaitu ‘Numb’, ‘Turbulence’, Rapuh, Bandar Raya Ibu Kota, ‘Jet Lag’ dan Menjelang Syawal.

Menurut Jipie, kehadiran album penuh itu umpama saksi perjalanan karier Pesawat yang semakin matang dalam menentukan hala tuju muzik mereka.

“Rasanya peminat sudah mengenali muzik Pesawat melalui tujuh ‘single’ sebelum ini, maka kehadiran album ini dengan enam lagu baru adalah sebagai pelengkap kesetiaan mereka.

“Album ‘Take Off’ ini juga istimewa kerana penghasilannya menggunakan titik peluh kami sendiri dan berjaya disiapkan walaupun setiap anggota mempunyai komitmen lain,” katanya.

Malah, album dwi-bahasa ini juga dianggap sebagai pembuka jalan untuk Pesawat ‘terbang’ merentasi benua dan menawan peminat di negara lain.

“Langkah itu sudah dimulakan apabila kami dijemput membuat persembahan di Festival Music Matters di Hong Kong dan berkongsi pentas dengan ramai artis antarabangsa seperti Jason Mraz.

“Selepas ini, kami yakin dapat meluaskan lagi pengaruh di peringkat antarabangsa terutamanya di Eropah,” kata Kudux.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: