Friday, July 29, 2011

Misi penuh risiko


Hasil sumbangan rakyat Malaysia sebanyak RM600,000 telah membolehkan sebuah kilang roti didirikan dan beroperasi di Jabalia, Palestin.


Aqsa Syarif telah memutuskan penghantaran Konvoi Misi A2G2 seramai 12 orang sukarelawan yang diketuai oleh Profesor Madya Mohd. Zin Kandar sebagai salah satu misi penting di bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Mereka akan menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia untuk bantuan kemanusiaan dan projek-projek kritikal di Gaza, Palestin.

Kerjasama dengan beberapa buah organisasi tempatan di sana, The Welfare Association for Palestin & Lebanese Families (WAFRAH) dan Takaful for Child Welfare (Takaful) mereka mengenalpasti lebih daripada 2,700 anak-anak yatim dan keluarga miskin yang tinggal di Palestin sebagai kumpulan sasar yang bakal menerima bantuan sumbangan daripada rakyat Malaysia.

Aqsa Syarif dalam usaha untuk mengumpulkan sebanyak RM1 juta untuk dibawa ke sana dalam misi kali ini bakal melalui sempadan di Mesir, iaitu dari pintu masuk Rafah.

Sebelum ini, Aqsa Syarif telah berkerjasama dengan pelbagai pihak tempatan di Palestin bagi mengusahakan pelbagai projek ekonomi dan sosial bagi membantu penduduk Palestin. Bantuan diberikan kerana mereka hilang punca pendapatan akibat tekanan rejim Israel termasuk serangan yang telah menyebabkan Gaza pernah menjadi mangsa serangan pada Disember 2008.

Orang ramai, khususnya umat Islam masih berpeluang untuk menjayakan misi ini dengan menghulurkan sumbangan mereka melalui;

1) SKIM ANAK YATIM

l Pembiayaan RM170 sebulan

untuk seorang anak yatim Palestin

2) SKIM KELUARGA MISKIN

l Pembiayaan serendah RM35

sebulan untuk sumbangan kepada

keluarga miskin.

Segala maklumat mengenai penajaan dan pembiayaan ini boleh diperolehi melalui laman web http://www.aqsasyarif.org.my atau menelefon talian 03-87334636

Sehingga kini menurut Pengerusi Aqsa Syarif, Dr. Hafidzi Mohd. Noor seramai 700 individu dan keluarga di Malaysia telah bersetuju untuk menaja perbelanjaan anak-anak yatim Palestin dan 300 individu lagi untuk menaja keluarga miskin di sana.

"Manakala tidak ada jumlah yang tertentu bagi sesiapa yang ingin membantu menjayakan projek kilang roti, ternakan lembu, ikan air tawar dan lain projek-projek yang masih memerlukan dana besar bagi memenuhi keperluan rakyat Palestin," katanya.

Melalui misi ini, setiap umat Islam di negara ini tanpa mengira strata ekonomi, kaya atau miskin berpeluang untuk memperoleh ganjaran atau saham akhirat dengan membantu saudara mereka yang teruk tertindas di Tanah Suci Palestin ini.

"Sepanjang Ramadan ini juga pihak Aqsa Syarif bersedia menerima sebarang undangan dan jemputan untuk sama-sama berkongsi maklumat mengenai misi ini dan situasi yang begitu memerlukan bantuan di Gaza itu.

"Jemputan untuk sesi penerangan ini merupakan antara tazkirah-tazkirah yang dikira sangat bermanfaat untuk mengisi masa-masa terluang semasa rehat tengahari, sebelum berbuka puasa dan selepas menunaikan solat sunat Terawikh!" kata Dr. Hafidzi.

Tidak dinafikan misi ini bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran yang getir dan mengancam keselamatan.

"Tetapi insya-Allah setiap langkah adalah umpama jihad dan semua ahli konvoi telah menanamkan niat-niat suci mereka untuk menyampaikan bantuan kepada umat Islam di Gaza.

"Disamping hendak mengambil keberkatan untuk 10 hari-hari terakhir Ramadan, kita percaya ganjaran yang menanti atas setiap sumbangan yang diberi adalah berlipat kali ganda dan tidak mungkin peluang seperti ini boleh diperolehi lagi," katanya.

Tambah beliau, setiap keluarga rakyat Palestin adalah mereka yang diharapkan agar terus kekal menetap di tanah suci itu walaupun mereka teruk menderita sehingga kini.

"Mungkin untuk keluar dari penderitaan ini, mereka boleh berhijrah ke negara lain atau menjadi pelarian.

"Tetapi jika akhirnya semua akan keluar meninggalkan tanah suci, maka siapa yang akan tinggal dan menguasai setiap inci bumi yang begitu suci.

"Maka sebab itu, sumbangan dari rakyat Malaysia sangat besar maknanya bagi memastikan bumi Palestin tetap didiami oleh para pejuang yang akan berjuang sehingga Masjid Al Aqsa bebas dan seluruh Palestin kembali kepada pemilik yang sebenar, iaitu umat Islam," kata Dr. Hafidzi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: