Friday, July 29, 2011

Sajian sihat di Malaya Steambot


Pelbagai jenis sos untuk disesuaikan dengan cita rasa stimbot.


MELIHAT pada namanya, pasti ramai tertanya-tanya apa istimewanya stimbot di premis Malaya Steamboat yang terletak di Prima Sri Gombak, Batu Caves, Selangor, itu.

Seperti yang tertera pada namanya, sudah pasti restoran ini menjadikan stimbot sebagai menu utamanya.

Apa yang menjadikan restoran ini lebih istimewa, ia dimiliki sepenuhnya oleh usahawan bumiputera yang tidak perlu diragui status halalnya.

Sudah pasti penggemar-penggemar masakan tersebut yang terdiri daripada kalangan masyarakat Melayu dapat menikmati hidangan tersebut tanpa was-was.

Menurut pemiliknya, Datin Rabiah Othman, 60, perniagaan tersebut baru dibuka penghujung tahun lalu dan sudah pasti ia dibuka untuk memenuhi selera masyarakat tempatan terutamanya masyarakat Melayu.

Memilih Malaya sebagai awalan nama restorannya, jelas Rabiah ia tidak membawa sebarang maksud yang tersirat malah perkataan tersebut hanya melambangkan negara Malaysia selain Melayu.

"Sebelum ini dapat dilihat kebanyakan restoran yang berkonsepkan sebegini dipelopori kaum Cina. Sudah pasti apabila saya sebagai seorang anak Melayu membuka perniagaan ini, saya inginkan kelainan dan memberitahu orang ramai bahawa restoran ini pemiliknya Melayu.

"Untuk itu sudah pasti ia disasarkan kepada pengunjung-pengunjung Melayu di mana mereka boleh makan sepuasnya tanpa rasa ragu-ragu.

"Yang pasti, di sini para pengunjung boleh dapati apa yang turut dijual di restoran-restoran stimbot yang lain," ujarnya ketika ditemui di premisnya di No. 69 & 70, Jalan Prima Sg3, Prima Sri Gombak, Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Rabiah memberitahu, dia dan anak-anak memang menggemari hidangan stimbot tetapi menjadi masalah untuk mencari yang halal.

Ini kerana menurut Rabiah, selain tidak banyak orang Melayu yang mengusahakan perniagaan tersebut di samping dia juga merupakan seorang yang amat cerewet mengenai bab makan, sudah pasti dia akan mencari yang halal dan dimasak oleh orang Melayu sahaja.

Apabila susah untuk mencari tempat menikmati hidangan tersebut selain diusahakan oleh orang Melayu, akhirnya timbul idea untuk Rabiah membuka restoran stimbot sendiri.

Setelah mendapat kata sepakat bersama anak-anak dan setahun mengambil masa melakukan kajian dan penyelidikan, akhirnya ia dapat direalisasikan.

Tambahnya, selain stimbot, restorannya turut menyediakan hidangan lain seperti nasi goreng, mi goreng, nasi putih dan dua jenis lauk sebagai pilihan.

Dibuka dari hari Isnin hingga Khamis mulai pukul 5 petang hingga 12 tengah malam, Malaya Steamboat yang mampu memuatkan 250 tetamu pada satu-satu masa menjadi pilihan terutama bagi penduduk dan pengunjung di sekitar kawasan tersebut.

Sementara itu untuk hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, restoran ini akan beroperasi sehingga pukul 1 pagi.

Jelas Rabiah lagi, harga set stimbot yang disediakan di Malaya Steamboat amat berpatutan iaitu RM25 untuk dewasa dan RM11 untuk kanak-kanak yang boleh dinikmati bersama sup dan tomyam.

Istimewanya, sup dan tomyam yang dihasilkan adalah resipi dan dari air tangan Rabiah sendiri.

Selain itu, ada lebih 70 jenis pilihan makanan laut, bebola dan sayur-sayuran yang dijamin halal dan segar di samping 10 jenis pelbagai sos yang boleh dinikmati bersama stimbot tersebut.

Sempena Ramadan ini, Malaya Steamboat turut beroperasi sama seperti hari-hari biasa.

Sehubungan itu, mereka yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi talian 03-61842319.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: