|
|
AHLAN wa sahlan ya Ramadan! Marhaban ya Ramadan, Taqqobalahu Minna Waminkum, Taqqobalahu Ya Karim, Marhaban Ya Ramadan Allaahumma baariklanaa fi Sya‘ban wa ballighnaa Ramadhan… Amin.”
Demikianlah doa yang dibaca oleh umat Islam setiap kali tibanya bulan Ramadan, bulan penuh berkah, yang insya-Allah akan mula disambut lusa.
Marilah kita memulakan satu perlumbaan untuk merebut ganjaran yang Allah limpahkan sepanjang bulan Ramadan ini.
Antaranya, umat Islam tidak sahaja wajib menunaikan puasa, malah bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
Perlu diingat, zakat fitrah sahaja tidak memadai bagi tujuan untuk membantu mereka yang susah ini. Ini kerana kita lebih daripada mampu.
Justeru, menjadi satu pemandangan yang cukup indah apabila kita paparkan terutamanya didada-dada akhbar anak-anak yatim dan miskin diraikan di sepanjang bulan Ramadan ini.
Mereka mendapat pemberian yang cukup lumayan daripada pelbagai pihak yang mampu membuatkan mereka tersenyum lebar.
Begitu juga dikalangan keluarga-keluarga miskin terutamanya ibu-ibu tunggal turut dipanggil untuk dirai dan menerima bantuan supaya dapat meringankan beban mereka.
Namun persoalannya, tidakkah anda mahu melihat suasana bahagia seperti itu dirasai anak-anak yatim dan keluarga miskin daripada saudara kita di Palestin?
Sanggupkah kita berbuka dengan lambakan juadah, tetapi mereka sekadar mengunyah roti kering yang dicelup dalam air kosong?
Tidakkah kita sudi untuk membantu meluputkan sedikit kesedihan balu-balu Palestin yang para suami mereka syuhada dengan menghulurkan pakaian baru walau sekadar sehelai berbanding kita di sini, sepasang baju raya tidak memadai?
Secara peribadi, adalah menjadi impian penulis untuk menatap wajah ceria anak-anak yatim dan miskin di Palestin sebagaimana yang dinikmati oleh golongan yang senasib itu di sini.
Tetapi bagaimana semua ini dapat kita jadikan satu kenyataan?!
Alhamdulillah pertubuhan NGO Malaysia yang sering menjadi jambatan menghubungkan rakyat Malaysia dengan rakyat Palestin, iaitu Pertubuhan Aqsa Syarif sedang berusaha mengumpulkan sebanyak RM1 juta untuk dibawa ke Gaza dalam misi membantu rakyat Palestin di sana.
Mereka akan bertolak pada 20 Ogos ini dan akan berada selama lapan hari di Gaza, Palestin bagi menyampaikan pelbagai bantuan daripada rakyat Malaysia sempena sambutan Ramadan dan Syawal. Bukan itu sahaja, malah mereka juga akan menyumbangkan bantuan untuk anak-anak yang masih belajar yang mana sesi persekolahan di sana akan bermula pada September ini!
“Kami berjanji akan membawa pulang foto-foto anak-anak yatim yang gembira dan ceria mendapat hadiah dan duit raya sebagaimana yang sering kita tatap di sini,”kata Pengerusi Aqsa Syarif, Profesor Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor.
Membawa pulang foto-foto tersebut menjadi sebahagian daripada misi kepada lapan anggota sukarelawan Aqsa Syarif. Mereka akan berada di sana selama 10 hari terakhir Ramadan di bumi Palestin, bumi suci umat Islam yang masih dicengkam oleh si Zionis Israel.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: