Wednesday, July 13, 2011

Mesej sihat kempen Do Life


DAVIS pernah hidup tertekan dan kemurungan akibat obesiti.


SATU ujian telah diadakan pada 22 Jun lalu dengan mengumpulkan 75 peserta yang tidak mengenali antara satu sama lain di Washington, Amerika Syarikat (AS) dan menghabiskan larian sejauh lima kilometer (km) di mercu tanda taman National Mall.

Semangat luar biasa peserta-peserta yang mengikuti kempen berkenaan adalah untuk menghilangkan 612.3 kilogram (kg) secara kolektif, berhenti merokok, berubah kerjaya, menghindari hutang, menamatkan ketagihan alkohol dan dadah.

Ia hanya permulaan awal jelajah mengelilingi 31 buah negeri pada musim panas bagi mewujudkan satu rangkaian sokongan untuk orang yang sedang mencuba mengubah semula kehidupan mereka dalam negara berdepan masalah ketagihan dan berat badan.

Selepas empat jam, menghabiskan larian dan menikmati hidangan makan malam dengan ikatan kasih sayang, peserta-peserta kemudian meninggalkan majlis tersebut sebagai kawan.

Bermula dengan blog kesihatan

Mereka merupakan ahli pergerakan Do Life diasaskan Ben Davis yang menggunakan kesihatan sebagai platform mencari kebahagiaan, berhubung bersama keluarga dan rakan-rakan serta memulakan perhubungan seumur hidup.

Davis, 25, telah membangunkan blog Ben Does Life pada Disember 2008 untuk mendokumenkan perjalanan pengurangan berat badan yang dilakukannya.

Menariknya, dia telah melalui transformasi daripada seorang mempunyai berat badan 162 kg yang tertekan dan memiliki sikap memendam rasa kepada pelari maraton dan atlet Ironman.

Tidak ketinggalan dengan kehilangan 104 kg dia juga mampu menjadi pemidato di depan khalayak sekali gus menjadi inspirasi kepada ribuan orang di seluruh dunia.

Aktiviti positif atasi masalah

Bagaimanapun, Davis dan peserta lain yang mengambil bahagian dalam larian tersebut menekankan, Do Life merupakan konsep universal.

"Bukan semua orang yang ingin mengurangkan berat sehingga 58 kg. Sesetengah orang mempunyai ketagihan lain malah, bergelut dengan pelbagai masalah lain dalam kehidupan.

"Anda perlu mengetahui cara untuk menggantikan pelbagai masalah dibelenggu kehidupan dengan sesuatu yang positif," katanya.

Pelajar Universiti George Washington, Estee Gabel, yang mengikuti kempen berkenaan selepas menonton video YouTube Davis telah mengaplikasikan moto tersebut dalam kehidupannya.


GAYA hidup Davis kini menjadi inspirasi kepada jutaan individu lain.


"Melakukan Do Life seperti mendayung, latihan yang biasa saya lakukan untuk menenangkan fikiran dan fokus dalam kehidupan," katanya.

Dalam pada itu, individu lain, seperti Avi Kempler, telah menyertai Weight Watchers pada tahun 2007 selepas bapanya didiagnos menghidapi kanser.

"Saya berasa malu untuk bersama keluarga kerana tidak mahu mereka mengetahui saya sangat besar.

"Saya sangat merindui memori indah bersama ayah dan nenek yang meninggal dunia selang lima bulan antara mereka," ujarnya sambil menyeru agar orang ramai melakukan aktiviti yang menggembirakan diri sambil menghargai kehidupan.

Bagi Kempler, menjalankan Do Life adalah memikul tanggungjawab untuk membuat keputusan dan melakukan perubahan dalam pelbagai aspek dalam kehidupan.

"Ia tidak penting kalau anda ingin menurunkan berat badan seperti kata Davis atau cuba menghindari ketagihan dadah dan alkohol.

"Semuanya bermula dengan langkah pertama. Sebelum ini, saya mempunyai berat badan mencecah 180 kg. Saya juga berhutang sebanyak AS$20,000 (RM60,110). Saya merupakan seorang perokok tegar.

Kini saya tidak mempunyai hutang kad kredit, berat telah turun kepada 104 kg dan tidak merokok sejak tiga tahun lalu," katanya.

Bagi menyebarkan gerakan tersebut, Davis bersama bapa, John dan adiknya, Jed telah menubuhkan Do Life Inc. pada Januari lalu.

"Sesiapa sahaja boleh memperoleh mesej yang cuba disampaikan dan menggunakan dalam kehidupan mereka. Oleh itu, kami telah menukar Ben Does Life kepada Do Life.

"Ia telah menjadi mesej dan moto digunakan dalam kehidupan seharian mereka dengan mengatakan ini merupakan cara kehidupan saya. Mungkin saya tidak akan berlari dalam maraton tetapi saya berada di luar sana setiap hari bersama anak-anak sambil berjalan dan berjoging," ujar Davis.

Pada musim panas ini, tiga beranak itu akan mengembara sejauh 19,312 km merentasi AS dan Kanada bagi menganjurkan Jelajah Do Life pertama bermula 18 Jun hingga 27 Julai ini.

Jelajah tersebut merupakan siri percuma, larian atau berjalan sejauh lima km di 31 bandar untuk menarik orang ramai bersua dan bersenam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: