KATA orang, bahasa badan menjadi cermin personaliti seseorang. Ini kerana tubuh badan ditakrif sebagai bayangan penjagaan kesihatan seseorang.
Jika wanita mahukan tubuh badan langsing untuk cantik, kaum Adam pula memasang angan-angan memiliki tubuh badan berotot untuk kelihatan lebih maskulin.
Namun, mendapatkan bentuk tubuh badan yang kekar bukanlah satu perkara yang mudah. Bagaimanapun, bagi sesetengah lelaki, obses mereka lebih daripada membina badan sasa apabila ada yang berusaha memiliki otot six pack pada bahagian perut.
Selain menambahkan lagi kecantikan susuk tubuh badan, membentuk enam otot di bahagian perut juga menjadi lambang kesungguhan mereka saat berpenat lelah di pusat kecergasan.
Seorang jejaka, Mohd. Zafir Abdul Karim tidak menolak kebenaran tergolong dalam individu yang obses terhadap six pack. Bagaimanapun akuinya, dengan mengikuti disiplin yang ketat dan betul, impiannya itu tercapai dalam tempoh tiga bulan sahaja.
“Saya mempunyai bentuk badan yang amat kurus. Walaupun saya makan dalam kuantiti yang banyak tetapi, berat badan saya tetap tidak naik.
“Setelah saya menyertai Muay Thai dua tahun lalu, saya mula memandang serius untuk mendapatkan tubuh badan yang berotot.
“Ahli Muay Thai memerlukan perut yang kuat kerana ia merupakan kawasan serangan lawan. Jadi secara tidak langsung ia memaksa saya fokus membina otot pada bahagian perut,” jelas lelaki berusia 26 tahun itu.
Formula six pack
Mungkin ramai beranggapan senaman menjadi taruhan utama akan tetapi, formula asas bagi mendapatkan six pack adalah menitikberatkan kepada cara pemakanan.
Menurut anak kelahiran Perak itu, seseorang individu boleh makan apa sahaja dengan syarat mereka tahu jumlah kalori yang diambil serta mengambil inisiatif membakar kalori tersebut bagi mengelakkan lebihan lemak dalam badan.
“Tidak salah bagi seseorang itu bersarapan dengan nasi lemak tetapi, mereka perlu mengira jumlah kalori yang ada dalam kandungan menu tersebut. Sepinggan nasi lemak kebiasaannya mempunyai 300 hingga 400 kalori, jadi mereka perlu melakukan aktiviti yang mampu membakar jumlah kalori tersebut.
“Misalnya, berjoging selama dua jam mampu membakar jumlah kalori yang sama banyak dengan sepinggan nasi lemak tetapi, ia terpulang kepada individu itu bagaimana memilih untuk membakar kalori,” katanya.
Bagi mendapatkan six pack dalam tempoh singkat, Zafir menyediakan jadual pemakanan khusus dengan hidangan sebanyak enam kali sehari dalam kuantiti kecil bagi setiap hidangan.
Rahsia air
Pengambilan air yang diminum juga memainkan peranan penting bagi mendapatkan otot perut yang pejal serta mengekalkan six pack yang dimiliki.
Setiap kali bangun daripada tidur, Zafir akan meminum air masak secukupnya (beberapa gelas mengikut keadaan). Selain itu, dia juga hanya akan minum selepas 45 minit pengambilan makanan berat.
Secara purata, lelaki yang kini bertugas sebagai jurulatih kecergasan bagi Persatuan Muay Thai Malaysia itu akan minum sekurang-kurangnya dua botol besar air mineral setiap hari.
Menerjah dimensi senaman, Zafir memberitahu pada awal proses membina six pack, dia melakukan minimum 100 kali bangkit tubi hampir setiap hari.
Rutin senamannya merangkumi aktiviti joging sejauh lima kilometer yang dilakukan dua kali seminggu bermula pukul 6.30 pagi.
Pada sesi petang, Zafir akan menjalani latihan Muay Thai, manakala pada sebelah malam dia akan meluangkan masa selama dua jam di gim melakukan aktiviti seperti angkat berat dan lain-lain.
Suplemen
Tidak lengkap jika seorang lelaki yang memiliki six pack tidak mengambil sebarang suplemen bagi membantu mengekalkan otot-otot tersebut dalam keadaan baik.
Bagi Zafir, suplemen penting walaupun ada segelintir menyifatkan bahan tersebut tidak diperlukan sekiranya telah mengikuti diet serta senaman yang betul.
Suplemen seperti serbuk minuman protein berguna buat individu yang mahu mengekalkan six pack kerana kandungan dalam bahan itu lengkap dengan kesemua protein mengikut kuantiti yang diperlukan badan.
Selain itu, pengambilan sebiji pil multivitamin setiap pagi dikatakan dapat membekalkan nutrisi serta tenaga bagi menjalankan aktiviti harian.
Tambah Zafir, mereka yang banyak melakukan aktiviti senaman berat di gim perlu mengambil pil asid amino sebelum dan selepas senaman bagi memulihkan kembali tisu otot yang koyak ketika bersenam.
“Secara keseluruhan, saya menghabiskan RM300 hingga RM500 sebulan bagi perbelanjaan suplemen,” katanya yang menjadikan Kevin Zahri sebagai idola.
Sementara itu, jurulatih persendirian Elements Gym, G Tower Kuala Lumpur, Abdul Razak Jalil memberitahu, kandungan suplemen terdiri daripada 100 peratus makanan harian cuma keistimewaannya ia lengkap dengan nutrisi yang diperlukan badan.
|
|
Razak atau lebih mesra disapa sebagai Jack menyatakan suplemen mampu membantu individu yang mahukan kesan pantas membina six pack.
Jika tidak, seseorang itu hanya perlu mengurangkan pengambilan makanan berminyak serta mengelakkan makanan dengan kandungan gula yang tinggi.
Sama seperti Zafir, sebagai individu yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam bidang bina badan, Jack meletakkan 60 peratus pada pemakanan dan 40 peratus pada senaman sebagai faktor utama mendapatkan six pack.
Jelasnya, badan seorang dewasa hanya boleh menerima sebanyak 1,200 hingga 1,600 kalori sahaja sehari tetapi, dalam konteks masyarakat Malaysia, ia telah melebihi paras normal.
“Masyarakat Malaysia sukar menjaga pemakanan mereka, jadi bukan sesuatu yang mengejutkan apabila mendapat tahu kandungan kalori mereka mencecah 2,500 hingga 3,000 kalori.
“Menambah kepada masalah tersebut, mereka tidak bersenam bagi membakar kalori tersebut yang akhirnya menyebabkan lemak terkumpul dalam badan,” ujar anak kelahiran Johor itu.
Mitos bangkit tubi
Menyentuh soal senaman, Jack berpesan kepada mereka yang ingin memiliki six pack agar tidak percaya kepada mitos bangkit tubi yang perlu dilakukan sebanyak 2,000 hingga 3,000 sehari.
Menurut Jack, bagi mendapatkan six pack, seseorang itu hanya perlu melakukan 200 hingga 300 bangkit tubi sehari dan mengulangi aktiviti tersebut selama tiga kali seminggu.
“Otot kita perlu rehat, jangan lakukan senaman secara melampau, biar berpada-pada dan lakukan secara perlahan-lahan serta hasilnya akan menjadi lebih baik.
“Jumlah 200 bangkit tubi yang dimaksudkan di sini juga bukanlah dilakukan sekali gus, anda boleh lakukan sebanyak 25 kali dan berhenti untuk 30 saat sebelum menyambung semula.
“Aktiviti ini juga perlu dilakukan setiap pagi sebelum sarapan dan selepas santapan terakhir pada waktu malam,” tambahnya lagi.
Sementara itu, aktor popular tanah air yang terkenal sebagai individu yang memiliki tubuh badan kekar, Jehan Miskin pula menyifatkan dirinya beruntung kerana tidak banyak berpantang soal makanan.
Memiliki bentuk badan ektomorf iaitu kerangka badan yang kecil dan panjang, Jehan memberitahu keseimbangan pemakanan serta senaman penting bagi pembentukan otot.
“Setiap individu mempunyai bentuk badan berbeza jadi mereka perlu melakukan senaman serta amalan diet mengikut kesesuaian badan mereka.
“Disiplin dan tidur yang cukup juga penting bagi mendapatkan tubuh badan yang mantap,” kata pelakon berusia 32 tahun itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: