Wednesday, July 13, 2011

Shoyuemi permainan online Facebook


CHENG KENG (lima dari kiri) bergambar bersama-sama dengan peserta yang menyertai flash mob.


MASIH ingatkah lagi pada awal tahun 90-an, makanan ringan berjenama Tam Tam dan Mi-Mi keluaran Snekku memang popular dalam kalangan kanak-kanak.

Seiring dengan masa berlalu, Snekku telah pun mengeluarkan pelbagai produk baru seperti Shoyoemi, keropok berasaskan tepung gandum dengan salutan lapan perisa yang berbeza pada tahun 2006.

Bulan lalu, Snekku melancarkan permainan dalam talian dalam laman sosial Facebook dengan menggunakan karakter Shoyoemi sebagai watak utama.

Shoyoemi merupakan seekor penyu yang tidak mempunyai cengkerang, berwarna kuning dan kelihatan comel dan manja.

Permainan dalam talian itu boleh diakses dengan membuka laman www.facebook.com/snekku. Pelayar perlu mengklik butang like untuk menyertai permainan tersebut.

Menurut Pengurus Jualan dan Pemasaran Snekku, Hing Cheng Keng, 53, tujuan permainan tersebut dilancarkan adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap produk keluaran mereka.

"Diharap, Shoyoemi dapat mengurangkan tekanan masyarakat bandar yang bekerja keras setiap hari.

"Selain itu, permainan Facebook kini menjadi trend golongan remaja dan kanak-kanak. Setiap orang pasti pernah bermain Facebook," ujar Cheng Keng pada majlis pelancaran permainan itu di Sunway Pyramid.

Cari peket tersembunyi

Katanya lagi, permainan Syoyuemi dalam laman Facebook mengambil masa lebih sebulan untuk direka bermula dengan pembinaan konseptual idea.


MAJLIS pelancaran permainan oleh Snekku diserikan dengan persembahan flash mob yang diketuai kumpulan Wakaka Krew.


"Kemudian, ia perlu melalui peringkat kesesuaian dengan laman Facebook dan disusuli dengan kaji selidik serta meneliti maklum balas orang ramai," ujarnya lagi.

Terdapat empat peringkat tahap kesukaran dalam permainan itu. Pelayar Facebook perlu melakukan penyiasatan menggunakan kanta pembesar untuk mencari peket makanan Shoyumie yang tersembunyi.

Dengan menggunakan latar tempat yang berbeza iaitu taman, ruang tamu, dapur dan pejabat, bilangan paket yang perlu dicari akan meningkat seiring dengan peningkatan tahap kesukaran.

Selain bermain, pelayar Facebook juga berpeluang menyertai pertandingan yang diadakan selama tujuh minggu dari 25 Julai hingga 20 Ogos 2010.

Setiap minggu, pemenang yang berjaya mengumpul mata tertinggi dalam masa yang singkat akan mendapat alat penyimpan memori USB (thumb drive) berkapasiti empat gigabait selain hamper barangan Snekku.

Pemenang juga berpeluang memenangi hadiah utama berupa iPhone 4, Samsung Galaxy Tab dan Nikon CoolPix L120 pada minggu terakhir nanti.

Walaupun pertandingan tamat pada bulan Ogos ini, orang ramai masih lagi boleh bermain permainan Shoyoemi di laman Facebook tersebut.

Majlis pelancaran yang diadakan di pekarangan pintu masuk Sunway Pyramid bahagian Oren diserikan dengan persembahan tarian Break Dance. Pemberian hadiah kepada orang ramai yang dapat menjawab soalan dengan tepat juga diadakan.

Ketika majlis berlangsung, orang ramai turut dikejutkan dengan persembahan flash mob yang diketuai oleh ahli kumpulan Wakaka Krew.

Kira-kira 100 orang penari yang terdiri daripada penari profesional dan separa profesional menyertai flash mob tersebut dengan menyertai Wakaka Krew secara berperingkat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: