Wednesday, July 20, 2011

Lebih 2,000 hadir Program Gemilang Siswa KPYPJ di Taman Tampoi Utama


LIMA pelajar tertarik dengan ukiran ikan semasa mengunjungi Program Gemilang Siswa KPYPJ di Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 19 Julai - Lebih 2,000 pengunjung membanjiri Program Gemilang Siswa anjuran Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) di pekarangan Institut Hospitaliti YPJ, Taman Tampoi Utama dekat sini, baru-baru ini.

Program dengan kerjasama Jabatan Penerangan negeri itu bertujuan mempromosikan kursus dan jurusan yang ditawarkan selain mengeratkan silaturahim dengan penduduk setempat.

Ia terbuka kepada orang ramai tetapi lebih mengutamakan bakal calon serta lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan program tersebut diadakan selama dua hari.

Antara pengisian program itu adalah beberapa pameran, pertandingan memasak antara sekolah, sukaneka, pertandingan kuiz kenegaraan dan tayangan wayang pacak, senaman, demonstrasi ukiran ais, pertandingan gubahan pengantin, bintang patriotik dan mewarna bagi kanak-kanak.

Seorang pengunjung, Filzahna Ghafin, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Gelang Patah menyifatkan program itu memberi banyak pendedahan tentang KPYPJ.

"Melalui program ini, saya berpeluang mendengar taklimat kerjaya dan peluang melanjutkan pengajian yang ditawarkan institut dan kolej di bawah KPYPJ," katanya.

Rakan sebayanya yang hanya mahu dikenali sebagai, Siti Nurhazirah dari sekolah yang sama berkata, mereka dapat bertanya terus tentang peluang dan kursus yang ditawarkan dan syarat-syarat permohonan.

"Selain itu, program ini juga amat menarik kerana turut dimeriahkan acara seperti pertandingan membuat kek, memasak dan menyediakan minuman koktel," katanya.

Nurul Syafiqah Mohd. Nor, rakan sekelasnya pula berkata, program tersebut dapat meningkatkan semangat patriotisme melalui bahan-bahan pamerannya.

Katanya, pengunjung bukan sahaja dapat maklumat tetapi juga menyertai pertandingan yang dianjurkan terutamanya kuiz yang mampu menajamkan minda.

Amira Afiqah Mohd. Sabri pula berharap program itu akan diadakan setiap tahun di sekolah-sekolah tertentu untuk memberi informasi tentang KPYPJ.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: