![]() |
| Masidi Manjun menyampaikan diploma kepada salah seorang graduan pada konvokesyen Institut Pendidikan Guru Zon Sabah di Kota Kinabalu, semalam. |
KOTA KINABALU 19 Julai - Seramai 296 graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) Zon Sabah dari Kampus Gaya, Kota Kinabalu; Kent, Tuaran, Tawau dan Keningau hari ini masing-masing menerima diploma pada majlis konvokesyen yang berlangsung di sini.
Mereka terdiri daripada graduan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Sekolah Rendah, KPLI j-QAF, Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) - Pengajian Cina dan KDPM - Kemas (Prasekolah).
Diploma disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.
Hadir sama Rektor IPG Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Haili Dolhan; Pengarah IPG Kampus Gaya, Salmah Abdullah; Pengarah IPG Kent, Mary Teresa Kinajil; Pengarah IPG Tawau, Masni Madat dan Pengarah IPG Keningau, Lim Sai Kiow.
Terdahulu dalam ucapannya, Musa mengingatkan para graduan supaya memberikan komitmen tinggi dan sanggup berkorban untuk bertugas di mana-mana sahaja termasuk di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman bagi menjana kejayaan dan kecemerlangan mereka.
Jelas beliau, ia amat penting bagi merealisasikan transformasi pendidikan dan memartabatkan kecemerlangan pendidikan Sabah supaya seiring dengan pencapaian di peringkat kebangsaan.
"Tanggungjawab melonjakkan kecemerlangan pendidikan dan membina bangsa adalah amanah kita bersama. Sehubungan itu, saya mengharapkan semua pihak khasnya para graduan agar terus memperkukuhkan keazaman, sahsiah, komitmen dan iltizam serta kualiti diri dalam profesion perguruan yang diceburi," katanya.
Dalam perkembangan sama, Musa berkata, kerajaan negeri sedang giat membangunkan Hab Pendidikan di Sandakan yang menempatkan pelbagai institusi pengajian tinggi, kolej, pusat kemahiran dan latihan awam serta swasta.
"Kita amat bersyukur kerana pelbagai pihak telah memberikan sokongan jitu dan padu kepada usaha ini, termasuklah Majlis Profesor Negara yang telah melawat dan memberikan pelbagai input dan pandangan bagi memastikan matlamat hab ini tercapai," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: