![]() |
| Abd. Jalil Borham (kiri) bersalaman dengan pelajar Northern Illinois University yang mengikuti program Bahasa Melayu di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, baru-baru ini. |
KUANTAN 19 Julai - Seramai lapan pelajar Northern Illinois University (NIU), Amerika Syarikat (AS) yang mengikuti program Bahasa Melayu di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini menyifatkan projek itu dapat meningkatkan kefahaman mereka terhadap bahasa dan adat budaya masyarakat Melayu.
Seorang pelajar NIU, Brett Mccabe berkata, dia bertuah apabila dipilih menyertai program perintis itu yang sarat dengan pengalaman yang sukar dilupakan.
Melalui program pertukaran pelajar itu, katanya, pengalaman tersebut terlalu istimewa buat diri dan rakan-rakannya.
''UMP dan keluarga angkat banyak memberi sokongan dan tidak pernah jemu melayan kerenah kami sepanjang berkampung di sini.
''Pengalaman ini dapat membantu kelab yang ditubuhkan bagi menyebarkan maklumat dan pengetahuan terhadap bahasa Melayu iaitu Malay International Language Organization (MILO) di NIU yang baru ditubuhkan dua bulan lalu," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis tamat latihan program Bahasa Melayu anjuran Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK) UMP di sini hari ini.
Majlis penyampaian sijil disempurnakan Dekan PBMSK, Prof. Dr. Abd. Jalil Borham di Bilik Persidangan Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UMP.
Hadir sama, Pengarah Pusat Kajian Asia Tenggara NIU, Prof. James T. Collins, Dekan Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian UMP, Prof. Madya Dr. Jasni Mohamad Zain dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri UMP, Prof. Mashitah Mohd. Yusoff.
Sepanjang program selama sebulan itu, pelajar tinggal bersama keluarga angkat di Felda Lepar Hilir dekat sini dan berpeluang menyertai pelbagai program termasuk gotong-royong kenduri kahwin, lawatan ke kilang keropok, aktiviti pasar malam dan melawat sekitar bandar ini.
Sementara itu, Abd. Jalil memberitahu, sembilan pelajar UMP yang dilantik sebagai fasilitator banyak membantu peserta program yang kebanyakannya mempunyai latar belakang akademik dalam bidang antropologi, sains politik, sejarah dan pengajian muzik.
Sepanjang program itu, katanya, pelajar didedahkan dengan model pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu termasuk memahami sejarah kesultanan Melayu, adat resam, kepelbagaian makanan, agama dan budaya yang diamalkan di negara ini.
Dalam pada itu, seorang ibu angkat program tersebut, Rahimah Hamzah, 62, dari Felda Lepar Hilir berkata, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya apabila terpaksa berpisah dengan anak angkatnya, Joann Losavio, 27.
Katanya, Losavio yang kini meminati makanan pedas semakin pandai memasak masakan tradisional iaitu ayam masak rendang selain menghadiahkan lima pasang baju kurung sebagai kenang-kenangan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: