Tuesday, July 12, 2011

Khasiat makanan untuk warga emas


Michaeal Toh (kanan) menyampaikan sumbangan oleh Wyeth Nutrition kepada Persatuan Hopsis Kasih yang diwakili oleh Dr. Siow Chih Peng (kiri).


BERSYUKURLAH jika anda masih berselera untuk makan. Biasanya seseorang itu akan mula menghadapi masalah tidak berselera makan apabila mula menginjak usia tua.

Ia juga berlaku ke atas seseorang yang disahkan menghidap penyakit kronik seperti kanser, sakit jantung dan sebagainya. Lebih teruk apabila pesakit sudah tidak mampu untuk menelan makanan atau pun air.

Pada ketika ini bukan sahaja selera makan berkurangan malah perbuatan yang mudah seperti menyuap makanan ke mulut, mengunyah dan menelan telah menjadi satu perkara yang sukar untuk dilakukan oleh pesakit.

Pengurus Perhubungan Perubatan Pemakanan Wyeth, Dr. Shree Jacob berkata, biasanya penurunan selera makan akan berlaku ke atas individu yang berusia 65 tahun ke atas.

Sehingga kini, katanya, perangkaan di Malaysia pada tahun 2009 menunjukkan lebih 1. 28 juta atau 4.71 peratus daripada populasi penduduk adalah terdiri daripada golongan tua.

''Pada usia ini deria rasa, menghidu, penglihatan dan percakapan orang tua akan menjadi semakin lemah,'' katanya.

Selain itu, katanya, air liur yang berkurangan, pereputan gigi dan pemakaian gigi palsu juga menjadi punca selera makan berkurangan.

''Pada masa ini juga orang tua akan menghadapi masalah gastrousus iaitu berkaitan dengan penghadaman dan penyerapan makanan yang boleh menyebabkan masalah sembelit,'' katanya.

Sehubungan itu, kata Dr. Shree, pemakanan tambahan amat diperlukan oleh golongan ini untuk mendapatkan tenaga, protein dan juga mikronutrien.

''Ini menunjukkan pentingnya penambahbaikan dalam pemakanan supaya dapat memperbaiki lagi kualiti kehidupan,'' katanya.

Namun katanya, keperluan makanan tambahan ini berbeza mengikut kumpulan iaitu bagi orang tua memerlukan penghidratan yang mencukupi, kandungan fiber yang tinggi dan nilai pemakanan.

''Keperluan bagi mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kanser, sakit jantung pula berbeza kerana mungkin baharu selesai menjalani rawatan kimoterapi atau pembedahan yang memerlukan tahap pemakanan yang berbeza,'' katanya.

Menurut beliau, golongan ini digalakkan mengambil makanan yang kurang lemak atau rendah kolesterol tetapi perlu dibanyakkan pengambilan protein, vitamin dan garam galian.

Biasanya, cara memberikan makanan kepada golongan ini boleh dilakukan dengan cara menyuapkan ke mulut pesakit atau melalui tiub makanan.

Katanya, sekalipun dengan menyuap makanan ke mulut pesakit akan mengambil masa tetapi ia sebenarnya dapat menyokong secara fizikal dan pemulihan psikologi.

''Seringkali juga berlaku salah faham di kalangan penjaga di mana akan memberikan pesakit dengan makanan yang lembut, senang ditelan dan selalunya dimasak dengan begitu lama,'' kata Dr. Shree.

Beliau berkata, ia bukanlah satu penyelesaian yang betul kerana kebanyakan nilai pemakanan di dalam makanan termusnah dalam proses itu.

Berikutan itu baru-baru ini Wyeth Nutrition telah menyumbangkan lebih 100 tin Enercal Plus kepada Persatuan Hopsis Kasih (KHCS) di Petaling Jaya, Selangor, sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.

Wyeth Enercal Plus adalah makanan tambahan berkhasiat yang membekalkan 1.5 kkal/ml kalori dan menyediakan 100 peratus Cadangan Pengambilan Nutrien Malaysia (MRNI) untuk protein, vitamin dan mineral di dalam empat hidangan.

Sumbangan Wyeth disampaikan oleh Pengurus Besarnya bagi Malaysia, Singapura, Brunei dan Vietnam, Michaeal Toh kepada Naib Presiden KHCS, Dr. Siow Chih Peng.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: