Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Pepatah Melayu yang luas maknanya ini termasuk dalam hal-hal menimba ilmu.
Sememangnya menimba ilmu adalah hak untuk semua insan walau di mana saja waima kepada penghuni penjara juga - segalanya bergantung kepada kemahuan dan usaha.
Dalam usaha memupuk semangat tersebut Jawatankuasa Peguam Amalan Jenayah Kuala Lumpur baru-baru ini telah menyerahkan 3,000 buah buku dan majalah kepada Penjara Sungai Buloh.
Kesemua buku tersebut akan ditempatkan di perpustakaan penjara untuk kegunaan penghuninya sekali gus membantu mencetuskan keinginan untuk mencari ilmu di kalangan banduan.
Menurut Pengarah Penjara Sungai Buloh, Timbalan Komisioner Penjara Narander Singh, kempen tersebut telah dilaksanakan selama sebulan bermula 25 April hingga 25 Mei lalu.
Ia bertujuan untuk membina minda di kalangan banduan-banduan selain mengisi masa lapang yang terluang.
"Kempen ini walaupun telah berakhir kami masih mengalukan-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyumbangkan bahan bacaan untuk Penjara Sungai Buloh.
"Walaupun kempen ini merupakan kali pertama dianjurkan, kami amat berharap agar ia merupakan satu kempen yang berterusan agar setiap banduan mendapat manfaat.
"Secara tidak langsung, bahan bacaan yang disumbangkan dapat menjadikan banduan-banduan di setiap penjara seorang yang berilmu," ujarnya ketika ditemui pada majlis penyerahan buku dan majalah di Penjara Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Peguam Amalan Jenayah, Datuk Baljit Singh Sidhu, ketika ditemui berkata, kempen tersebut selain dianjurkan oleh pihaknya, ia turut mendapat kerjasama Karangkraf, Hotel Maluri, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad, Xixili Intima Sdn. Bhd. dan banyak lagi.
Tambah beliau, apa yang dilakukan adalah usaha untuk membantu banduan-banduan membaiki diri di samping menjadi warga yang berguna.
Katanya lagi, kempen tersebut merupakan langkah awal pihaknya membantu warga penjara dan selepas ini kempen tersebut akan dikembangkan.
"Untuk Penjara Sungai Buloh ini, kami berjaya mengumpul lebih 3,000 buah buku dan majalah. Kempen sebegini merupakan satu kempen bersama di mana ia adalah usaha murni masyarakat setempat untuk membantu mereka yang memerlukan.
"Kami akan meneruskan lagi kempen ini pada masa akan datang dan memastikan ia tidak hanya terhenti setakat ini sahaja," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: