Wednesday, July 20, 2011

Ketengahkan estetika seni fiber


Sebahagian karya seni fiber yang dipamerkan di Pameran dan Simposium Seni Fiber Asia Malaysia 2011 di UiTM Seri Iskandar, baru-baru ini.


SERI ISKANDAR 19 Julai - Seramai 36 pengkarya dari Asia berhimpun di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar bagi menghadiri Pameran dan Simposium Seni Fiber Asia (AFA) Malaysia 2011.

Pameran dan simposium kali kelapan itu bermula 13 Julai hingga 7 Ogos dan merupakan penganjuran kali pertama di negara ini.

Naib Pengerusi AFA, Zaharah Jaafar berkata, lebih 100 hasil karya artis luar dan tempatan dipamerkan.

Katanya, antara artis luar yang terlibat dalam pameran tersebut adalah dari Jepun, Korea, China, Indonesia dan Thailand.

"Pameran ini bertujuan mengetengahkan hasil-hasil karya terpilih pengkarya dari Asia selain bertukar-tukar pandangan dan pengalaman berkaitan seni fiber.

"Melalui pameran ini, diharap mampu meningkatkan penghayatan masyarakat tempatan terhadap nilai estetika seni fiber," katanya selepas perasmian AFA yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan, Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Dr. Noor Saadah Ismail.

Zaharah memberitahu, pemilihan karya untuk pameran tersebut berdasarkan aspek karya seni sezaman dari konteks global.

"Dalam konteks seni, fiber merupakan salah satu bahan dalam penghasilan karya namun, di Malaysia ia kurang popular berbanding seni catan dan seni arca," katanya.

Sementara itu, Pengerusi AFA, Suzuki Noyubasu berkata, penganjuran AFA memberi banyak pengalaman yang bagus kerana ia membolehkan artis-artis berkongsi idea bagi membantu meningkatkan nilai karya mereka selain merangsang pengkarya baru menghasilkan karya yang bermutu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: