Wednesday, July 20, 2011

Mahasiswa UM juara Pertandingan Pidato Kepenggunaan


Dari kiri, Yusri Hidrus, Muhammad Azzairy Rosle dan Maryam Jamielah Ab. Manaf bersama trofi dan replika cek masing-masing di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 19 Julai - Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Muhammad Azzairy Rosle muncul johan Pertandingan Pidato Kepenggunaan Mahasiswa hari ini, sekali gus membawa pulang hadiah wang wang tunai sebanyak RM3,OOO, sijil penghargaan dan trofi kemenangan.

Pelajar berusia 22 tahun itu yang membawa tajuk Transformasi Malaysia ke Arah Ekonomi berkata, dia pada mulanya tidak menyangka akan memenangi pertandingan tersebut kerana mendapat saingan hebat daripada peserta lain.

"Saya hanya mempunyai masa selama tiga hari untuk membuat persediaan bagi menyertai pertandingan itu kerana pada masa yang sama, saya sedang menjalani latihan praktikal," kata pelajar jurusan undang-undang itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas diumumkan sebagai johan pertandingan tersebut di Dewan Serbaguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe.

Pidato anjuran KPDNKK itu diadakan sempena Bulan Pengguna Kebangsaan 2011.

Lian Hoe berkata, penganjuran pertandingan seperti itu secara tidak langsung dapat membawa kesedaran kepada pengguna khususnya generasi muda.

"Ini terserlah melalui kupasan idea-idea yang dipamerkan oleh para peserta yang menyampaikan hujah serta kupasan yang menarik.

"Aktiviti berpidato adalah wadah pencetus idea-idea baru yang dapat memberi kritikan membina kepada kementerian untuk membangunkan kumpulan pengguna generasi baru," katanya.

Sementara itu, naib johan dimenangi oleh mahasiswi jurusan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Maryam Jamielah Ab. Manaf yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000, sijil penghargaan dan trofi.

Tempat ketiga dimenangi oleh mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yusri Hidrus yang turut mengambil jurusan undang- undang dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000, sijil penghargaan dan trofi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: