
TUMPAT 19 Julai - Program baktisiswa, siswa masuk kampung dan sebagainya merupakan medium terbaik bagi menambah pengetahuan dan mendedahkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dengan kerja-kerja amal serta khidmat komuniti kepada masyarakat.
Program itu merupakan satu proses pembelajaran di luar bilik darjah yang mampu membina jati diri seseorang mahasiswa.
Menyedari hakikat itu, Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan dengan kerjasama Persatuan Belia Bakti Kampung Menjual (PBBKM) dekat sini, berkampung selama tiga hari dua malam bagi menjayakan Program Mereka Keluarga Angkatku di kampung berkenaan baru-baru ini.
Penyelaras Program yang juga pensyarah UiTM Kelantan, Siti Aswani Mohd. Ghazali berkata, program tersebut melibatkan 30 pelajar yang tinggal bersama 15 keluarga angkat sekitar kampung berkenaan.
"Alhamdulillah, setelah hampir tiga hari berkampung di sini, saya lihat program ini telah mencapai objektifnya iaitu untuk mengeratkan silaturahim antara pelajar dengan masyarakat, serta memupuk semangat kerjasama untuk membantu memajukan kawasan luar bandar terutama melalui program motivasi kepada anak-anak desa.
"Melalui cara ini, para pelajar kita dapat berkongsi maklumat dan menceritakan pengalaman mereka sehingga berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Ia secara tidak langsung akan membakar semangat anak-anak desa untuk mengikut jejak langkah abang dan kakak angkat mereka berjaya dalam pelajaran," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Siti Aswani memberitahu, perasmian program tersebut disempurnakan oleh Pengarah UiTM Kelantan, Prof. Dr. Mohd. Shukri Omar dengan penyerahan anak angkat kepada masyarakat Kampung Menjual sebagai simbolik perasmian majlis tersebut.
Hadir pada majlis tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar dan timbalannya, Datuk Mohd. Rosdi Abd. Aziz.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: