Friday, July 8, 2011

Jelajah Wanita di Kuantan


CIK PUAN TENGAH DATUK ROHAYA (tiga dari kiri) merasmikan Bengkel Wanita Sayangi Diri Sayangi Keluarga sambil diperhatikan Badrul Azhar (dua dari kanan), Mukhsar (kanan), Norma (dua dari kiri) dan Vivi (kiri).


ISU mengenai hak wanita, keagamaan dan kecantikan serta senaman oleh pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah Shuib, nyata telah mewarnai bengkel Wanita Sayangi Diri Sayangi Keluarga anjuran majalah Wanita yang berlangsung di Hotel The Zenith, Kuantan, Pahang pada 18 Jun lalu.

Bengkel yang menarik hampir 200 peserta yang rata-ratanya kaum Hawa di negeri Darul Makmur itu adalah yang kelapan selepas dianjurkan di Arau, Perlis.

Merangkumi isu kecantikan, kesihatan, keagamaan, undang-undang, fesyen dan masakan, bengkel yang diadakan dengan kerjasama Klinik Thalia dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Pahang itu menampilkan barisan penceramah hebat.

Sesi pagi dimulakan dengan ceramah kesihatan oleh Dr. Shaharom Sulaiman dari Klinik Thalia yang membincang topik Pencegahan Kanser Payu Dara.

Isu kesihatan kemudian disusuli dengan demonstrasi penjagaan wajah dan solekan yang dikendalikan oleh Siti Fadzilah Mokhtar.

Menggunakan produk penjagaan wajah Alazo, jenama yang semakin popular itu ternyata berkesan mengembalikan seri wajah seorang peserta yang berani menyahut cabaran merubah rias wajahnya.


KUMPULAN peserta bengkel di Kuantan yang setia mengikuti pengisian acara hingga ke sesi akhir.


Dewan semakin gamat dengan usikan sepanjang sesi demonstrasi penjagaan barang kemas yang dibawakan jenama aksesori D'or Rue. Peserta diajar cara mengenakan aksesori, menyimpan dan membersihkannya dengan betul.

Menghangatkan bengkel, Shaharom muncul sekali lagi. Kali ini dengan topik Kecantikan Tanpa Pembedahan. Memperkenalkan pelbagai teknologi terkini dalam dunia rawatan kecantikan wajah dan tubuh sempurna, orang Kuantan semakin semangat bertanyakan soalan.

Bersambung selepas solat Zuhur dan makan tengah hari, sesi petang diisi dengan ceramah agama oleh Ahmad Husni Abdul Rahman dari Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan.

Peranan wanita

Lucu dan bersahaja. Itulah konsep penyampaian Ahmad Husni menarik tumpuan peserta dengan topik Agar Bidadari Cemburu Padamu, yang menyedarkan peranan dan tanggungjawab wanita sebagai seorang isteri dan ibu.

Pertunjukan fesyen pada acara tersebut mendapat sentuhan Safora Collection dan Sabri Saad. Membawakan warna-warna berani dalam koleksi kaftan, Safora Collection memberi nafas glamor dan setiap susunan langkah sopan seorang wanita.

Sabri Saad pula mempamerkan koleksi tradisional busana Melayu berbilang keturunan.

Meneruskan bengkel, peguam Aishah Yeop Abdul Rahman dari firma Ismail AJ & Aishah Pulau Pinang membincangkan topik Hak-Hak Wanita Dalam Islam. Bab perundangan menarik perhatian wanita sehingga soalan berkaitan rumah tangga, hak selepas bercerai dan pembahagian pusaka bertali arus menghujani Aishah.


PERTUNJUKAN fesyen turut memeriahkan atur cara bengkel.


Melegakan ketegangan, peserta diajar cara memasak oleh jenama rempah-ratus yang tidak asing lagi, Adabi. Antara hidangan yang mudah dan cepat disediakan iaitu salad menjadi resipi pilihan petang itu.

Slot penutup disempurnakan Ibu Halimah yang tampil anggun lantas memukau tetamu dengan pengalamannya menjaga kesihatan luar dan dalam seseorang wanita.

Dengan topik senaman dan menghilangkan tekanan cara tradisional, peserta tidak kering gusi ketawa bila diajak melakukan senaman ringan cara Ibu Halimah.

Menimba ilmu

Jelas sekali, peserta Kuantan menunjukkan kematangan dan keberanian menyuarakan pandangan dan soalan. Wanita di Kuantan tidak segan silu menimba ilmu dan mereka saling menyokong antara satu sama lain dengan tepukan dan sorakan kepada teman-teman peserta lain.

Selain membawa pulang sijil dan cenderamata, peserta bertuah turut membawa hadiah istimewa melalui acara cabutan bertuah yang sememangnya menjadi salah satu agenda istimewa sepanjang bengkel berlangsung.

Dirasmikan oleh Che Puan Tengah Datuk Rohaya Datuk Abdul Rahim yang juga Naib Pengerusi LKPIM Pahang, majlis ilmu itu turut dihadiri Ketua Pengarang Majalah Utusan Karya Sdn. Bhd., Badrul Azhar Abdul Rahman; Ketua Unit Komunikasi Korporat PPZ, Mukshar Harun; Pengasas Alazo, Norma Yaacob dan Puan Vivi Sumanthi dari Klinik Thalia.

Siri Jelajah Bengkel Wanita menerima tajaan PPZ, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., Jamu Mak Dara Sdn. Bhd., Alazo dan D'or Rue.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: