|
|
WANITA ini cukup dikenali menerusi wataknya dalam filem Santau arahan Azahari Zain. Siapa lagi kalau bukan Puteri Mardiana Zainal Abidin, 30, pelakon yang lebih mesra dipanggil Nina ini.
Kalau dibilang, hampir tiga tahun berada di bawah syarikat produksi MIG, sudah banyak juga filem dan drama yang melibatkan Nina sebagai pelakon.
Tak kisahlah jika watak yang diberikan itu sebagai heroin atau sekadar pelakon pembantu.
Pokoknya, Nina dilihat banyak menyumbangkan keringatnya sebagai pelakon meski tempoh berada di MIG masih belum matang.
Namun begitu, ada cerita kurang menarik melibatkan pelakon ini yang berjaya ‘ditangkap’ oleh Pancaindera.
Dengarnya, anak kelahiran Setiawan, Perak ini tidak lagi tinggal sebumbung dengan MIG.
Didakwa baru sahaja angkat kaki meninggalkan syarikat tersebut sejak 18 Julai lalu, tindakan Nina itu sudah tentulah memberi kejutan.
Lebih parah apabila ada segelintir pihak cuba mengaitkan tindakan Nina untuk keluar dari MIG kerana berlakunya masalah dalaman antara dia dan syarikat kendalian David Teoh itu.
Berpeluang bertemu muka dengan empunya diri, Nina ketika diajukan pertanyaan selagi boleh tidak mahu membuka mulut mengenai hal tersebut.
Dalam rendah diri, kata Nina, semuanya dilakukan kerana dia tidak mahu menyakiti hati sesiapa.
Namun, apalah daya seorang wanita untuk menyimpan segala yang terbuku di hati sedangkan dia sebenarnya hidup dalam kepayahan waktu ini.
Mencurahkan isi hatinya kepada Pancaindera, Nina dalam susun katanya mengaku bahawa hal ini bukan sekadar khabar angin.
Menurut Nina, dia telah bertindak menamatkan kontrak bersama MIG pada tarikh tersebut selepas membuat pertimbangan sejak awal tahun lalu.
Malah, tanpa berselindung, Nina juga memberitahu keputusan itu dibuat selepas merasakan ada kepincangan dalam pentabdiran MIG di mata kasarnya.
“Ya, saya mengaku memang ada masalah dengan MIG. Merajuk? Adalah juga sikit.
“Terus-terang saya sebenarnya agak kecewa dengan cara pentadbiran mereka. Kalau nak cerita memang banyak dan saya pun malas nak sebut satu-satu.
“Cuma apa yang saya boleh katakan, kekecewaan saya yang paling utama adalah terhadap bagaimana cara mereka membayar harga seseorang pelakon itu,” katanya.
Menurut Nina, secara peribadi, dia melihat syarikat kendalian David Teoh tersebut gagal memberikan bayaran setimpal kepada pelakon sepertinya biarpun dia seringkali meletakkan lakonannya pada tahap kualiti yang terbaik.
“Mungkin ada orang akan kata saya ni tak sabar dan lagipun baru tiga tahun saya berada di bawah MIG.
“Hakikatnya, saya dah cukup bersabar selama ini. Begitu juga soal tawaran lakonan. Sebagai seorang pelakon di bawah MIG, bayangkan untuk sepanjang tahun ini, cuma dua buah filem yang ditawarkan kepada saya.
“Macam mana saya nak hidup dengan hanya bersandarkan bayaran untuk dua filem sahaja? Berapa sangat bayaran yang saya dapat?
“Itu belum tolak itu ini lagi oleh pihak syarikat lepas bayaran diluluskan. Akhirnya nanti berapa banyaklah sangat yang saya dapat?
“Lebih menyedihkan kerana saya juga seorang ibu tunggal. Ada tiga anak kecil yang perutnya perlu diisi. Kalau bayaran pun sikit, macam mana saya nak teruskan hidup?” jelasnya kesal.
Tak main politik
Mengaku tidak terbit sedikitpun penyesalan di hatinya, kata Nina, dia sudah bersedia dengan segala kritikan orang padanya.
Malah, dia berpendapat, jika keputusan itu tidak dibuat sekarang, dia bimbang semakin lama akan merasa tercengkam di bawah naungan syarikat tersebut.
Apalagi, kata Nina, dia tidak seperti orang lain yang mungkin sudah terbiasa naik bermain politik kotor semata-mata untuk kesenangan sendiri.
“Minta maaflah. Saya memang tak pandai main politik di tempat kerja. Kaki bodek ke, kaki kipas ke, itu bukan diri saya.
“Kalau ikutkan ramai dah keluar dari MIG dan saya rasa tindakan ini adalah tepat demi untuk menyelamatkan diri.
“Kalau ikutkan ada saja tawaran yang saya dapat dari produksi lain, tetapi disebabkan MIG tak benarkan artisnya berbuat demikian, maka banyaklah yang terlepas.
“Walhal tawaran lakonan dengan MIG pun bukannya selalu ada. Jadi macam mana saya sebagai artis nak cari makan dan sara diri?” ujarnya.
Tidak akan berundur dari prinsipnya, kata Nina, keputusan untuk keluar daripada MIG juga merupakan satu petanda buat artis-artis lain untuk tidak terus terlena di dalam zon selesa.
Bagi Nina, ini kerana kehidupan artis meski nampak glamor dan mewah, namun secara realitinya ia tidak seindah yang disangka.
Lebih-lebih lagi buat artis-artis di Malaysia, katanya.
“Ini yang berlaku pada saya, sedangkan semakin hari semakin banyak bakat-bakat baru yang berlandaskan rupa akan muncul mewarnai industri seni.
“Saya sedar umur pun sudah masuk 30 tahun. Sekurang-kurangnya kalau saya keluar dari MIG sekarang, saya punya banyak peluang untuk cuba bidang lain pula.
“Kalau boleh saya mahu cari kerja yang mempunyai gaji tetap. Sekarang ni saya hanya fikir nak cari duit sahaja.
“Dulu mungkinlah saya ingat jadi pelakon ni boleh buat banyak duit. Tapi bila jadi begini, macam tak boleh pergi jauh saja.
“Bertambah tersentuh hati bila kadang-kadang saya tak dapat nak sediakan keperluan terbaik buat anak-anak dek kerana kekangan kewangan. Hati ibu mana yang tak terasa bukan?” ujarnya.
Tak bergaduh
Menyedari mungkin ada pihak yang salah faham dengan tindakannya, kata Nina, dia terlebih dahulu menyusun maaf agar tidak ada yang tersinggung dengan perbuatannya.
Malah, menurut Nina, dia juga tidak mahu ada yang mengaitkan keputusannya untuk berundur dari MIG gara-gara dia bergaduh dengan David sendiri.
Jelas Nina, pengundurannya juga telah dibuat dalam suasana damai antara dia dan David meski akui Nina dia tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya terhadap pengurusan syarikat tersebut.
“Sebelum ini pun kami pernah berbincang. Tak mengapalah, mungkin setakat ini saja yang saya boleh sumbangkan untuk syarikat itu.
“Saya akan kuatkan semangat dan saya harap ini adalah kali pertama dan terakhir saya keluarkan kenyataan.
“Saya pun tak mahu panjangkan cerita, yang penting saya tak bergaduh dengan dia, ” katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada Alia Wirdani, 8, Amir Firman, 6, dan Airell Zuhair, 5, ini berkata, dia akan sentiasa mengingati jasa baik David.
Kata, Nina, sebagai orang pertama yang bertanggungjawab memperkenalkan dirinya kepada dunia lakonan selepas memenangi pertandingan World Championship Performing Arts 2009 (WCOPA), Los Angeles, budi David tidak akan dilupakan.
“Dia adalah orang pertama yang nampak bakat saya dalam bidang lakonan bermula dengan filem Santau kemudiannya Ngangkung, Damping Malam, Kongsi dan lain-lain.
“Namun, keputusan tetap keputusan dan saya akan pegang pada prinsip saya untuk berundur,” katanya.
Sementara itu, Nina yang kini tidak lagi terikat dengan mana-mana produksi merancang untuk mencari pengalaman kerja dalam bidang lain yang bersesuaian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: