Sunday, July 24, 2011

Farahdhiya punya sebab jadi kebal...




BIARPUN ada mulut-mulut yang bercakap di belakang tentang masalah sikapnya, namun dia sikit pun tak hairan. Ada yang mengata Farahdhiya bermulut laser, berlagak diva, cerewet dan macam-macam lagi tanggapan negatif ditujukan buatnya.

Namun, ini komen ringkasnya berhubung perkara itu: “Alah, itu semua perkara kecil. Sikit pun tak jadi kudis”.

Baginya, manusia itu tidak sempurna. Begitu juga dengan dirinya sebagai figura awam yang banyak terdedah dengan macam-macam anasir. Tak kiralah sama ada yang ingin memburuk, menjatuhkan atau menjulang namanya ke puncak.

“Sudah tujuh tahun lamanya saya bekerja dalam industri ini. Apa yang boleh saya simpul bahawa orang seni tak boleh terlalu sensitif. Terlalu mengambil hati dengan apa yang orang di sekelilingnya berkata tentang dirinya sendiri.

“Sebaliknya, dia perlu jadi kuat dan serap apa saja orang nak bercakap tentangnya. Jangan sesekali melatah dan buat sesuatu yang memalukan diri.

“Sebab itu juga saya sering mengingatkan diri sendiri. Jangan sesekali memancing rasa simpati atau suka di kalangan orang ramai. Sebab perkara ini juga akan buat kita disalah tafsir satu hari nanti,” dedah Farahdhiya tentang pengalaman lampau.

Atas alasan kukuh itu, pemilik nama Farahdhiya Mohd. Amin ini tak hairan kalau ada pihak yang melabelkan dirinya sebagai artis ‘berani mati’. Tidak takut untuk menegakkan kebenaran andai itu adalah hakikatnya.

“Saya bukan manusia kejam cuma jujur saat berbicara. Apa yang diucapkan berdasarkan pertimbangan peribadi saya.

“Kalau ada orang yang tak suka dengan ketulusan itu, saya minta maaf. Tapi itu tak mengubah persepsi saya pada orang yang berkata tersebut,” sambungnya lagi.

Ditanya adakah Farahdhiya tidak bimbang tentang kesan selepas kata-kata yang diungkapkan itu bakal mengguris hati pihak kedua, wanita berusia 27 tahun pada 28 April lalu ini menggelengkan kepala.

Dedahnya, dia dilahirkan dalam keluarga yang cukup tegas dalam soal pendirian. Didikan ayah, Mohd. Amir Zubir dan ibu, Aishah Abdullah yang berasal dari Portsmouth, England menjadikan dia lantang saat berbicara tentang apa yang disukai atau tidak.

“Silang budaya antara Barat dan Timur sejak kecil menghasilkan Farahdhiya pada hari ini. Tegas saat berbicara tentang prinsip atau apa yang melibatkan diri. Hitam kata saya, maka hitamlah jawapannya.

“Lagi pun tak salah andai kalau kita berkata yang benar. Tapi janganlah salah sangka dengan buat andaian sendiri. Tak payah cakap belakang kalau terasa. Terus terang di hadapan saya sebab itu lebih baik,” ulas Farahdhiya berhubung ada dakwaan mengatakan dia seorang yang suka mendesak.

Jawab soal seksi

Berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Farahdhiya yang dilahirkan di Sarzana, Itali menjadikan fizikal wanita ini secara zahirnya cukup sempurna.

‘Pakej’ itu diakui kadangkala mengundang kontroversi tatkala wanita ini begitu yakin menyarungkan pakaian mendedahkan kulit terutama ketika menghadiri majlis berprestij.

“Tiada siapa yang boleh menyuruh saya memakai apa yang patut saya pakai. Saya yang buat pilihan sendiri.

“Kalau ada orang salahkan pereka baju kerana menyediakan pakaian mereka, tetapi tidak buat saya. Sebab saya cukup cerewet dalam soal melibatkan imej diri,” tegasnya.

Jadi tidak hairanlah pada sesi fotografi penghias kulit Pancaindera di Muzium Telekom, Jalan Raja Chulan Kuala Lumpur, Farahdhiya memilih pakaiannya sendiri. Dua busana berwarna merah jambu dan hitam itu lengkap diperaga bersama aksesori dan kasut tinggi milik sendiri.

Menyentuh persoalan adakah imej seksi lebih dekat dengan dirinya agar kelihatan lebih sofistikated, wanita ini punya alasan tersendiri.

“Setiap manusia punya pilihan tersendiri. Tak semestinya kita berpakaian singkat sebegini menunjukkan betapa singkatnya minda kita ini. Orang di luar sana pun ada yang berpakaian singkat tapi tak pernah digembar-gemburkan seperti saya.

“Isu pakaian seksi ini tak perlu diperbesar-besarkan sebenarnya. Asalkan saya tak menghilangkan kepercayaan kedua ibu bapa dengan buat benda yang tak senonoh, itu sudah memadai,” hujahnya.

Cinta & menyintai

Rasanya tak sempurna andai tidak menanyakan soal hati kepada penyanyi lagu Bertakhta Di Hati ini. Wanita ini cukup terbuka tatkala berbicara soal tersebut biarpun kelihatan ada raut sedih di wajahnya.

“Saya tak ada kekasih sekarang. ‘Single’ selepas berpisah dengan teman lelaki sembilan bulan lalu. Dia memang orang biasa saja dan kami sudah ‘dating’ kira-kira empat tahun lamanya.

“Bercinta lama ini banyak risiko, buat saya serik tau. Tapi kehidupan mesti diteruskan. Dan saya kini sedang menikmati saat-saat belum punya kekasih ini,” dedahnya.

Tidak mahu membiarkan Farahdhiya dihimpit rasa sedih berterusan, lantas diajukan persoalan kriteria lelaki idamannya.

“Saya cukup prihatin dalam soal kebersihan. Tak suka lelaki pengotor dan pemalas. Saya juga sukakan lelaki romantik sebab saya anak bongsu. Dia tak boleh bertindak kasar sebab perbuatan itu cukup pantang buat saya.

“Paling penting adalah latar belakang keluarga dia. Sebab ramai yang tak boleh terima kerja anak seni ini. Saya juga percaya bahawa satu-satu hubungan itu perlu mendapat restu untuk berkekalan,” katanya terus terang.

Jawapan diberikan tersebut mengundang persoalan sasaran umur Farahdhiya untuk menamatkan zaman bujang. Bagaimanapun, jawapan yang diberikan penyanyi single terbaru berjudul Kau Telah Pergi ini cukup memeranjatkan.

“Saya cadang nak berkahwin tahun depan. Itu adalah rancangan awal. Setiap hari saya berdoa agar dimakbulkan hajat saya ini. Segera dapat berjumpa dengan lelaki bujang. Tak kisahlah sama ada dia pernah berkahwin atau tidak, asalkan bukan hak orang,” katanya.

Ditanya tentang kerisauan kedua orang ibu bapa pelakon drama Puteri Santubong untuk RTM ini yang belum melihat anak kesayangan mereka itu di jenjang pelaminan, Farahdhiya hanya tersenyum saja.

“Mereka tak kisah sebab saya masih muda lagi. Lagi pun, kalau saya kahwin awal, tentu mereka sunyi. Sebab keluarga saya tak ramai. Kesempatan masih bujang ini adalah rahmat buat kami secara tak langsung,” jelasnya sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: