NAMANYA sahaja sudah membangkitkan kenangan masa lalu yang telah hilang. Masa-masa kehidupan glamor Elizabeth Taylor kini dibangkitkan semula label Variante menerusi koleksi terbarunya Diamonds Are Forever yang disuntik dengan elemen klasik dan sofistikated serta ditaburi berlian yang merambangkan mata.
Koleksi kali ini bukan sahaja mewah dengan warna-warna klasik, bahkan ia tampil dengan corak eksotik bersama perincian hiasan berkerawang yang menyerlahkan kelembutan fabrik sifon dan suteranya.
Ia semestinya koleksi klasik yang meraikan kehidupan dan pengaruh yang ditinggalkan oleh Taylor dan penghormatan kepada keindahan gaya feminin.
Setiap garis dan lekuk kewanitaannya diraikan Diamond Are Forever menerusi pelbagai batu berliah yang ditatahkan di atas busana yang mencipta perincian kontras seperti merah delima, hijau garland, biru, merah hati, putih jernih dan hitam.
Setiap butir perincian membangkitkan memori hari-hari yang elegan dan meraikan wanita yang tampil dengan perbezaan dan keunikan masing-masing.
Koleksi oleh Variante itu memenuhi cita rasa feminin dan mereka yang cintakan kelembutan yang sensual. Setiap pergerakan dan isyarat pemakainya membayangkan siluet yang tersembunyi.
Busana kaftan dalam rona hijaunya sarat dengan corak liar yang rumit. Dengan butiran kristal yang memperincikan bahagian lengan dan pinggang, ia menyerlahkan lekuk tubuh apatah lagi ia mendedahkan sebelah bahu, sekali gus menyuntik elemen nakal.
Dres pendek rona birunya pula menangkap pandangan mata yang memandang ketika ia melambai di tubuh pemakainya, tanpa menyerlahkan penampilan seksi yang keterlaluan.
|
|
Hiasan emas dan berlian serta padanan seluar putih bersama blaus rona turquoise pula menggamit kenangan lirikan mata biru violet milik Taylor. Busana hijau lemon pula dipadankan dengan warna coklat menggoda dan perincian manik rumit. Pemakainya pasti disuluh gemerlapan di bawah sinaran matahari.
Namun, selepas seharian bekerja dan bermain, pilihan dres hitam yang sarat perincian bercahaya, pasti mencipta kecantikan dan elegan yang sukar ditandingi tatkala disarungkan di badan.
Inilah magis jenama Variante dalam koleksi Diamonds Are Forever kali ini. Seperti Elizabeth Taylor yang bergemerlapan bak berlian, ia juga tidak akan padam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: