RESTORAN The Chicken Rice Shop tampil dengan sajian terbaharu iaitu ayam serai wangi hasil air tangan chef selebriti, Ismail Ahmad atau lebih dikenali sebagai Chef Ismail.
Menurut Pengurus Komunikasi Pemasaran The Chicken Rice Shop Restaurant Sdn. Bhd., June Song, promosi untuk hidangan istimewa itu akan berlangsung sepanjang bulan Julai ini.
"Selepas ayam percik, ayam masak merah, kerabu kacang panjang dan lain-lain, kini kami tampil dengan menu baharu yang pastinya dapat memenuhi selera orang ramai," katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan menu baru itu di The Curve, Damansara, Selangor di sini baru-baru ini.
Tambah June, resipi ayam serai wangi adalah hasil cetusan idea Chef Ismail setelah mengambil kira cita rasa masyarakat Malaysia. Beliau juga adalah duta jenama The Chicken Rice Shop.
"Beliau menggunakan teknik masakan secara tradisional dan hanya menggunakan ramuan-ramuan yang segar dalam masakannya seperti daun limau purut, lengkuas dan banyak lagi. Kami yakin ayam serai wangi ini menjanjikan kelazatan dan kesempurnaan untuk dimakan dengan nasi ayam atau pun nasi putih," ujarnya.
Resipi itu juga mampu dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat ekoran rasanya yang tidak terlalu pedas.
Ayam serai wangi Chef Ismail boleh dinikmati sebagai sajian ala carte pada harga RM7.90 sahaja. Terdapat juga pelbagai pilihan sajian kombo untuk seorang hingga lima orang yang berharga bermula RM9.90 hingga RM53.90.
Ketika ini, The Chicken Rice Shop mempunyai 55 buah cawangan di seluruh negara dan juga dua buah restoran di Singapura yang diuruskan oleh TCRS Restaurant (Singapore) Pte. Ltd. termasuk sebuah di Filipina.
Mereka juga bakal meluaskan operasinya di Taiwan pada penghujung bulan ini. Pada masa sama, jika segalanya berjalan lancar, Brunei adalah sasaran syarikat itu pada tahun hadapan.
Untuk maklumat lanjut tentang menu terbaharu dan perkembangan bisnes The Chicken Rice Shop, sila layari laman web www.thechickenriceshop.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: