Monday, July 11, 2011

Sama cantik sama bergaya




MEREKA sama cantik dan sama menawan. Kejelitaan yang dimiliki terserlah dengan rambut ikal mayang dan panjang mengurai. Apatah lagi diserikan kuntuman senyuman yang kerap singgah di bibir mungil mereka.

Memiliki kulit wajah mulus dan cerah pula merupakan bonus terbaik buat pasangan adik-beradik yang bernama Noor Cahaya Ahmad Rashid, 21 dan Noor Qalisha, yang menginjak usia 20 tahun pada 15 Julai ini.

Bagi anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu kecantikan yang dimiliki merupakan anugerah Tuhan yang tinggi nilainya. Seboleh-bolehnya mereka berusaha menjaga anugerah itu sebaik mungkin agar tidak tercela.

“Ibu selalu berpesan kecantikan bukan sahaja dinilai daripada paras rupa tetapi, ia bermula dari hati. Jika hati kita luhur dan bersih maka kecantikan sejati jelas terserlah pada wajah secara natural. Sebab itu, ibu menasihati agar kami menitikberatkan soal keperibadian dan tata rias diri.

“Lazimnya, kami menjalani rawatan diri dari hujung rambut hingga hujung kaki secara tradisional di rumah. Biasanya ibu yang akan sediakan bahan-bahan yang diperlukan,” tutur Noor Cahaya yang mesra disapa Cahaya sambil meletakkan kepingan timun di kelopak mata adiknya, Qalisha.

Petua kecantikan Arab

Dilahirkan dalam keluarga berdarah kacukan Arab, Pakistan dan Afghanistan (sebelah ibu), manakala Pakistan, Melayu dan Bugis (sebelah bapa), secara langsung membuatkan mereka berdua terdedah kepada diet dan rawatan kecantikan tradisional turun-temurun nenek moyang yang berketurunan Arab.

Cahaya yang merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu memberitahu, sejak kecil dia sekeluarga kerap menikmati hidangan pulut kuning yang dimakan begitu saja tanpa juadah sampingan.

“Bagi masyarakat Arab pulut merupakan agen terbaik untuk melembut dan menghaluskan kulit badan. Boleh dikatakan hari-hari kami menjamah pulut kuning. Selain itu, seminggu sekali kami akan lulur badan menggunakan serbuk beras yang dikisar bersama taufu.


QALISHAH mengakui dia peminat tegar sepatu dan aksesori yang unik serta funky.


“Kemudian, ia disusuli pula dengan mandian santan yang bercampur susu. Proses ini bertujuan memudahkan lulur beras tadi meresap ke dalam lapisan bawah kulit,” terang Cahaya yang turut mengamalkan mandi bunga dan melumur badan dengan buah tomato.

Menyentuh mengenai rambutnya yang lebat dan bermaya, penuntut jurusan pengurusan perniagaan di Taylor’s College, Subang Jaya, Selangor itu memberitahu rahsianya: “Setiap malam sebelum tidur kami menyapu minyak zaitun, balut dengan tuala dan biarkan ia semalaman. Esok pagi bilas dengan air bersih. Amalan ini membantu mengilat dan menguatkan rambut.”

Berkongsi cita rasa

Sementara itu, celah Qalisha pula, rahsia mereka mengekalkan rambut sihat adalah dengan cara tidak melakukan sebarang teknik penyambungan, mengerinting, melurus atau mewarna.

“Ayah melarang kami berambut pendek dan mewarnakan rambut. Ini disebabkan bahan kimia yang terkandung dalam pewarna akan merosakkan setiap helaian rambut.

“Jika ibu cenderung pada kecantikan luaran, ayah pula menekan kesihatan dalaman badan. Bergelar chef profesional menyebabkan ayah mementingkan menu makanan yang berkhasiat,” jelas Qalishah yang kurang gemar pada makanan manis dan air berkarbonat.

Bicara Qalisha yang juga penyanyi baru di bawah naungan Wake The Baby itu, selain berkongsi petua tradisional dia dan Cahaya turut mempunyai persamaan terutamanya dalam bab stail dan fesyen. Pada masa terluang mereka berdua kerap membeli-belah di gedung Pavilion KL, Suria KLCC ataupun 1Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Memiliki saiz badan yang hampir sama membuatkan mereka berkongsi barangan dan pakaian. Ujar Qalisha: “Jika kakak saya gemar membeli blaus, saya pula membeli pelbagai aksesori. Ini disebabkan saya penggemar tegar aksesori.

“Jika melancong ke luar negara khususnya Dubai, Bahrain dan Abu Dhabi saya tak akan lepaskan peluang membeli koleksi aksesori yang dijual pada harga yang murah, cantik dan unik,” jelas Qalishah yang gemar mengumpul sepatu.

Bukan bersandar pada rupa

Dalam pada itu, selebriti Maya Karin Roelcke, 32, juga antara individu bertuah kerana memiliki seorang adik perempuan yang anggun dan bijaksana. Perbezaan jarak usia empat tahun antara Maya dan Irina Melati, sedikit pun tidak menjejaskan hubungan mereka berdua.


SETIAP hujung minggu pasangan adik-beradik ini akan melakukan rawatan secara tradisional di rumah.


“Malah, hubungan kami amat akrab dan mesra bagaikan kembar. Sejak kecil saya cukup mengagumi Maya. Dia bukan saja individu yang baik budi pekerti malah, komited pada kerja dan cantik,” jelas Irina yang pernah muncul dalam komersial McDonald’s, Avon dan Hazaline.

Berbicara mengenai anak kelahiran Pulau Pinang itu, Irina kini berkhidmat di London sebagai peguam korporat. Meskipun pernah memasang impian untuk menjadi pelakon tetapi, anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu terpaksa melupakan hasrat tersebut demi pelajaran.

“Selepas tamat pengajian di Universiti London dalam Ijazah Undang-Undang dan Sijil Amalan Guaman, saya bekerja sebagai kakitangan awam di London sebelum beralih pada kerjaya sekarang.

“Pernah segelintir individu mempersoalkan mengapa perlu bersusah payah belajar sehingga ke luar negara, sedangkan saya boleh memperoleh pendapat dalam bidang modeling dan lakonan. Jawapan saya, kejayaan peribadi bukan hanya terletak pada kecantikan semata-mata sebaliknya ia perlu disusuli dengan ilmu di dada,” tegas Irina, 28, yang kini merupakan wajah dan bakat baharu untuk produk kecantikan Revitalift White jenama L’Oreal.

Celah Maya Karin, pelakon filem Cun dan Pisau Cukur itu, dia teruja kerana diberi peluang bergandingan bersama adiknya dalam promosi L’Oreal Paris Revialift White.

“Sebelum ini Irina selalu bertanya bagaimana ingin memiliki kulit wajah cerah sekata dan awet muda. Kini Revitalift White memberikannya jawapan. Krim terbaharu ini bukan sahaja mencerahkan kulit malah melembapkan kulit wajah dalam tempoh yang lama,” ujar Maya ketika ditemui Stailo.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: