![]() |
| |
ANAK-ANAK kecil bakal pewaris negara masa depan. Sebagai persediaannya, mereka perlu diasuh mengikuti pola pemakanan yang lengkap supaya setanding dengan pembangunan ke arah negara maju.
Setakat ini di Malaysia masih belum ada kajian yang menyeluruh mengenai tahap pemakanan kanak-kanak yang melibatkan pelbagai kaum.
Berikutan itu, peneraju produk tenusu di Malaysia, Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady) memperuntukkan RM2 juta bagi menjalankan kajian pemakanan terbesar dan mendalam mengenai kanak-kanak di negara ini.
Dutch Lady telah menjalankan kajian itu dengan kerjasama Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ia bermatlamat mengenal pasti keperluan pemakanan harian yang penting bagi kanak-kanak dan juga mempertingkatkan kandungan maklumat sedia ada dalam bank data pemakanan semasa bagi negara ini.
Kajian melibatkan 4,000 kanak-kanak seawal usia tiga bulan hingga 12 tahun yang tinggal di negeri-negeri di sebelah Utara, Tengah, Selatan, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun kajian itu telah dilakukan sejak Mei 2009 dan dijangka akan siap pada tahun depan.
Pakar Pemakanan Kanan Dutch Lady Malaysia, Loo Mei Fong berkata, usaha itu dilakukan memandangkan setakat ini tiada maklumat terkini dan mendalam mengenai tahap 'misi' pemakanan kanak-kanak di Malaysia.
''Misi korporat kami adalah untuk membantu rakyat Malaysia terus maju dalam kehidupan dengan tenusu yang dipercayai serta mempunyai nilai pemakanan yang luar biasa dan membentuk bahagian yang penting dalam diet yang sihat,'' katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik UKM, Prof. Madya, Dr. Poh Bee Koon berkata, kajian itu akan menjadi panduan kerana Malaysia yang akan mencapai status negara maju sedang mengalami perubahan cara hidup yang mana akan turut memberi kesan kepada pemakanan penduduknya.
Kajian tersebut akan dijalankan secara terperinci dan meliputi beberapa kategori iaitu berhubung dengan profil diet dan pengambilan khasiat ini termasuk soal selidik pengambilan makanan dan tabiat pemakanan.
Selain itu, katanya, kanak-kanak tersebut juga akan dipantau dari segi aktiviti fizikal.
''Ini dilakukan dengan meletakkan pedometer ke tali pinggang khas kepada kanak-kanak tersebut di mana alat ini akan merekodkan maklumat seperti berapa langkah yang diambil dalam sehari,'' katanya.
Katanya, kemampatan tulang mereka juga akan turut diuji.
Ini membolehkan kanak-kanak yang mempunyai kemampatan tulang yang kurang dari rakan sebaya akan dapat dikesan.
Ujian IQ atau kepintaran juga akan dijalankan dan fakta tersebut akan dikaitkan dengan pemakanan.
Kanak-kanak ini juga menjalani ujian darah bagi mengesan jumlah kandungan zat besi, vitamin dan profil lipid dan juga tekanan darah.
Bagaimanapun, katanya, ia cuma akan dilaksanakan apabila mendapat persetujuan daripada penjaga kanak-kanak tersebut.
Kajian ini adalah langkah pertama untuk mengisi jurang maklumat dalam bidang pemakanan penduduk Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum dan kepelbagaian dalam pengambilan makanan.
Menurut Dr. Bee Koon, setakat ini kajian di Semenanjung sudah berakhir dan pihaknya akan meneruskannya di Sabah dan Sarawak.
''Kita akan berusaha untuk menyiapkan kajian ini selewat-lewatnya penghujung tahun ini sebelum cuti penggal persekolahan bermula,'' katanya.
Bagaimanapun, katanya, semua keputusan ini akan disiapkan sepenuhnya pertengahan tahun depan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: