Thursday, July 7, 2011

Julie's kongsi kasih sayang di Harvest Centre


Kakitangan Julie's bersama-sama mendendang lagu tentang kasih sayang bersama kanak-kanak di Harvest Centre.


SETIAP orang mempunyai definisi yang berbeza tentang kasih sayang. Kasih sayang tidak hanya bermakna cinta kepada seseorang malah ia lebih daripada itu.

Dengan hanya memberi makanan kepada seseorang yang memerlukan juga sebagai cara menunjukkan rasa prihatin dan sayang.

Apa yang sangat mengharukan tentang berkasih sayang ialah, lebih banyak anda memberinya, lebih banyak anda akan dapat merasainya.

Bak kata penceramah motivasi terkenal negara, Datuk Dr. Mohd Fadzillah Kamsah: "Untuk mendapatkan kasih sayang harus dimulakan dengan memberinya."

Sebagai menggalakkan masyarakat memupuk kasih sayang antara sesama insan, Julie's baru-baru ini melancarkan kempen yang dipanggil Kongsi Kasih Sayang.

Medium utama kempen ini tentulah penghasilan lima buah lagu bertemakan Kongsi Kasih Sayang.

Ia telah direkodkan secara istimewa dan diberikan bersama biskut Julie's kepada mereka yang bergelar hero tidak didendang.

Memang tidak berunsurkan keuntungan, orang ramai boleh mendapatkan lagu-lagu yang menghiburkan tersebut dengan memuat turun menerusi laman web www.sharethelove.my.

Pengarah urusan Julie's, Su Chin Hock berkata, kempen itu sebagai satu tanda mereka membantu dan memberikan kasih sayang dengan cara yang tersendiri.

"Di Julie's kami percaya kasih sayang dan sikap ambil berat antara majikan dan pekerja adalah sama seperti kasih sayang yang diberikan buat ahli keluarga kami sendiri.

"Malah kasih sayang kami sebenarnya dizahirkan menerusi biskut yang kami hasilkan.

"Ini juga bersesuaian dengan tagline kami iaitu bake with love, di mana tentunya kami memilih hanya ramuan terbaik dan berkhasiat untuk menghasilkan biskut yang akan dinikmati oleh setiap manusia yang berkasih sayang," ujarnya pada majlis pelancaran kempen di pusat perlindungan kanak-kanak Harvest Centre, baru-baru ini.

Pusat perlindungan yang terletak di tengah-tengah bandar Sentul, Kuala Lumpur, itu dipilih kerana merupakan satu pertubuhan bagi membantu kanak-kanak yang tercicir sekolah untuk meneruskan pelajaran mereka.

Bermakna kanak-kanak yang tidak mempunyai surat beranak, tiada kad pengenalan diri dan tiada sokongan ditempatkan di sini dan berpeluang mendapat hak pendidikan seperti kanak-kanak lain.

Pada majlis tersebut, hadirin diperdengarkan dengan lagu ciptaan lima pemuzik tempatan yang dicipta atas dasar kasih sayang dan keikhlasan.

Pemuzik tempatan yang dimaksudkan ialah Lab The Rat, Prema Yin, Asmidar, Bihzhu dan Jasemaine Gan.

Dalam masa yang sama, kempen itu diharap dapat menyampaikan mesej daripada 700 kanak-kanak yang kurang bernasib baik yang dahagakan kasih sayang daripada ahli masyarakat.

Sebelum itu, kempen berkenaan telah berlangsung di sekitar 17 lokasi di Lembah Klang dengan mengadakan lawatan ke tempat kerja hero yang tidak didendang seperti bomba, jururawat, para wartawan yang bekerja shif malam, penghantar surat khabar dan pengumpul sampah.

Mereka dikejutkan dengan dendangan nyanyian, pemberian biskut dan air.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: