![]() |
| Ardy Shafiq Arshad berkarya melalui lukisan graffiti. |
DI bawah terik mentari, kelihatan seorang pelukis graffiti sibuk menyiapkan karyanya pada dinding papan lapis ketika Pesta Youthnity di Taman Tasik Titiwangsa di sini, baru-baru ini.
Ardy Shafiq Arshad, 24, yang lebih dikenali sebagai Damis di arena graffiti berpengalaman enam tahun dalam seni itu.
Minat beliau mula berputik ketika zaman persekolahan lagi, di mana seni graffiti banyak dipertontonkan dalam video muzik hip-hop, genre muzik kegemarannya.
"Dalam hip-hop ada empat elemen utama - emcee, deejay, b-boy dan graffiti," kata Ardy yang berasal dari Parit Buntar, Perak.
Katanya, ramai lebih cenderung menceburi bidang emcee, deejay atau b-boy.
Hanya segelintir mempunyai minat mendalam terhadap graffiti.
Tamat persekolahan, Ardy berpindah ke Kuala Lumpur untuk merealisasikan impian menjadi pelukis graffiti. Katanya hanya di ibu negara beliau dapat bertemu pelukis graffiti terbaik di Malaysia yang boleh membantunya berjaya dalam bidang itu.
Senario seni graffiti di Malaysia bermula sekitar 1998 di Batu Pahat, Johor.
Ia dimulakan oleh satu kumpulan (dalam senario graffiti dipanggil crew) dikenali PhobiaKlik. Setelah minat terhadap seni ini kian bercambah, popularitinya mula tersebar ke negeri lain.
Di Kuala Lumpur satu crew yang menamakan diri mereka SWS (Sembur With Style) turut mempopularkan seni ini, sekaligus menjadikan ibu negara sebagai hab pelukis graffiti di Malaysia. Seperti Ardy, ramai yang berpindah ke Kuala Lumpur dari kampung halaman demi minat menceburi seni graffiti. Selain daripada PhobiaKlik dan SWS kini terdapat ramai lagi crew terkenal di negara ini, yang antaranya Super Sunday, Medium Touch, TLG dan Phiberwryte.
Menurut Ardy, komuniti graffiti terutama di ibu negara dilihat berjaya memperkasakan taraf seni itu daripada sebagai melakukan kemusnahan terhadap harta benda awam kepada seni yang kini diterima umum.
Ini dilakukan menerusi pelbagai program dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Belia dan Sukan.
"DBKL adalah rakan baik kami. Buktinya boleh dilihat di tebing Sungai Klang dan berdekatan stesen LRT Pasar Seni di mana mereka bukan sahaja membenarkan kami melukis graffiti di situ, malah menggalakkannya," kata Ardy merujuk kepada barisan lukisan graffiti yang 'menghidupkan' tebing sungai itu.
Katanya, hasil jalinan baik dengan DBKL adalah Festival KUL Sign yang diadakan Disember tahun lepas, di mana antara tarikan utamanya adalah pertandingan graffiti yang memaparkan pelukis graffiti dalam dan luar negara.
Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan turut menganjurkan khemah graffiti pada tahun lepas di beberapa Kompleks Belia dan Sukan seluruh negara, sekaligus menyediakan platform bagi pelukis graffiti tempatan mendidik generasi baru seni itu.
"Kami menghargai jalinan kerjasama dan kepercayaan yang diberikan dan akan terus bekerjasama untuk manfaat ramai," katanya.
Ardy adalah ahli Phiberwryte (PW), crew graffiti terkenal di negara ini.
Menariknya, ahli mereka turut terdiri daripada warga Singapura dan Brunei Darussalam.
Selain berkarya, PW juga berusaha membimbing generasi baru pelukis graffiti.
Untuk ini mereka menyediakan program Style2Burn dengan menggunakan Facebook sebagai wadah utama.
Style2Burn mengenakan tema berlainan setiap bulan dan peserta seharusnya menyediakan karya menurut tema itu. Kemudian karya mereka akan dimuat naik ke laman Facebook untuk dinilai.
Ahli senior akan memberi penilaian, komen dan tip untuk memperbaiki bakat.
Ini membolehkan pelukis muda belajar dengan lebih pantas dan bagi yang senior, mereka dapat merapatkan hubungan di samping saling belajar dari mereka.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: