|
|
KUALA TERENGGANU – Juara Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 bagi Zon Timur kategori kek akan mempertaruhkan resipi yang sama pada pusingan akhir yang bakal berlangsung di Plaza Shah Alam, Selangor Ahad ini.
Mohd. Nawawi Alias, 24 (gambar), chef muda dari syarikat pembuat kek, Ziq Bakery & Cake berkata, dia akan mempertaruhkan Kek Lapis Khazanah Tradisional yang membawanya menjadi juara pada peringkat zon dengan sedikit pengubahsuaian.
Dia yang berasal dari Serada dekat sini berkata, apa yang difikirkan sekarang bagaimana untuk menampilkan warna dan corak hiasan kek agar lebih kreatif serta sesuai dengan tema Hari Raya Aidilfitri.
“Teguran dan pandangan yang dibuat oleh para juri termasuk Chef Liza pada pertandingan bulan lalu turut diambil kira agar resipi yang dihasilkan nanti memberi saingan sengit kepada peserta lain.
“Untuk itu juga, saya banyak berbincang dan bertanya dengan rakan sekerja termasuk majikan, Suzana Salleh kerana kami rasa cabaran ini bukan untuk saya secara individu malah kebolehan yang ada pada syarikat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, pengalaman selama tiga tahun di Ziq Bakery dalam pembuatan kek akan digunakan sepenuhnya termasuk dengan membuat lebih banyak rujukan pada buku-buku masakan dan melalui laman sesawang.
Katanya, walaupun sibuk dengan tugas, masa terluang selepas kerja akan digunakan untuk menambah pengetahuan dan teknik terbaharu melalui pembacaan.
“Walaupun agak sukar dan mengambil masa yang panjang, saya mahu kemahiran dan pengetahuan saya setaraf dengan seorang chef kerana saya memang tiada kelulusan walaupun di peringkat sijil dalam bidang ini.
“Sebab itulah saya kena bersedia kerana apa yang diimpikan pihak penganjur adalah mahu menghasilkan resipi bermutu dan berkhasiat sehebat seorang chef,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: