Friday, July 8, 2011

Kebolehan peserta Daisy Zon Utara


NATRAH (dua dari kini) menerima hadiah kejuaraan kategori biskut Zon Utara oleh Chef Liza (dari kiri), Stella dan Zamri pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 Sabtu lalu.


SEPERTI tidak sabar untuk menunjukkan kebolehan masing-masing dalam membuat kek dan biskut, seramai 30 peserta Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 Zon Utara tiba empat jam lebih awal sedangkan pertandingan hanya bermula pada pukul 3 petang Sabtu lalu.

Malah, ada peserta sudah bersedia dengan kelengkapan masing-masing sambil menunggu di pekarangan tingkat satu pusat beli-belah Star Parade, Alor Setar, Kedah seawal pukul 9 pagi.

Rata-rata peserta yang berentap pada pertandingan bagi Zon Utara itu datang dari sekitar Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Sebaik sahaja jam menunjukkan pukul 3 petang, setiap peserta bagi kategori kek dan biskut mengambil tempat masing-masing dan mula menunjukkan kebolehan masing-masing.

Untuk pertandingan peringkat zon itu, semua peserta dibenarkan menyediakan kek dan biskut lebih awal di rumah tetapi perlu membuat dekorasi sajian di lokasi pertandingan.

Untuk Zon Utara peserta menghias hidangan mereka selama 45 minit mengikut tema Flora.

Peserta ibu dan anak

Setiap peserta juga perlu menggunakan minyak jagung Daisy sebagai salah satu bahan wajib dalam resipi kek dan biskut mereka.

Produk yang menggunakan 100 peratus minyak jagung asli dan bebas kolesterol itu diperkaya dengan vitamin E, omega 6 dan poli lembut.

Selain gubahan biskut alam flora Daisy dan biskut brokoli Daisy, antara yang menarik perhatian ialah kek Jagung Daisy resipi dan dekorasi milik seorang suri rumah, Maizum Ibrahim, 63. Peserta dari Balik Pulau, Pulau Pinang itu mempertaruhkan kek gulung yang dihias seakan-akan jagung.

Menurut Maizum, kek Jagung Daisy ciptaannya adalah kek bahulu gulung perisa jagung yang menggunakan minyak jagung Daisy.

“Kek ini dihias seperti jagung menggunakan krim jagung berwarna kuning,” katanya yang mencuba sebanyak lima kali untuk pertandingan itu.

Menariknya dalam pertandingan itu, Maizum turut ditemani anak perempuannya, Sophia Ismail, 45, yang menyertai kategori biskut.

Sophia mempertaruhkan biskut Seri Pala Daisy pada cabaran berkenaan memandangkan buah pala terkenal di Pulau Pinang.

Katanya, serbuk pala dengan campuran gula dan ditambah dengan minyak jagung Daisy akan menjadikan biskut lebih rangup bila dimakan.

“Rasanya memang unik kerana menggunakan serbuk buah pala dan itu adalah keistimewaan biskut ini,” jelasnya.

Pesaing muda

Bagi peserta lelaki termuda, Abdul Wafriy Abdul Wahab, 23, dari Permatang Pauh, Pulau Pinang berkata, cabaran kali ini adalah sangat sengit kerana rata-rata peserta mempunyai pengalaman menyertai pertandingan lain sebelum ini.


FEEDA yang lebih dikenali sebagai Gadis Pantene kini turut bergelar penyanyi mendendangkan lagu Ku Mohon Padamu.


“Ini kali pertama saya masuk pertandingan biskut dan saya rasa amat kerdil jika dibandingkan dengan kebolehan peserta lain yang mempunyai kemahiran tersendiri.

“Tengok sahaja mereka buat dekorasi dan cara menghias biskut dan kek, saya sudah rasa gugup kerana saya masih dalam proses belajar,” katanya yang bekerja di bahagian makanan Barat di sebuah hotel di Pulau Pinang.

Abdul Wafrij mempertaruhkan biskut Bakul Seri Daisy yang menggunakan kelapa parut kering, buah-buahan campuran dan badam.

Mentor yang banyak memberi tunjuk ajar dalam penghasilan biskut tersebut adalah ibunya, Rosna Ismail, 48, yang turut hadir pada pertandingan tersebut.

Seorang lagi peserta muda bagi kategori kek, Hasniza Haris, 25, memberitahu, dia menyertai Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 Zon Utara kerana mahu menimba pengalaman daripada peserta-peserta lain.

“Saya memang minat buat kek dan hari ini saya mahu belajar daripada peserta-peserta lain mengenai resipi-resipi kek terkini.

“Nampak semua hebat-hebat belaka, hiasan mereka memang kreatif dan unik,” katanya dari Arau, Perlis.

Menurut Hasniza, dia mempertaruhkan kek Coklat Kukus yang lembab dengan menggunakan minyak jagung Daisy.

“Walaupun tidak menang, saya tetap puas hati kerana dapat bertanding bersama peserta-peserta lain yang hebat-hebat belaka,” katanya sambil memberitahu telah mencuba sebanyak enam kali untuk membuat kek itu dengan kos lebih RM300.

Sementara itu, seorang pengusaha biskut dan kek, Izawaty Kamarudin, 38, pula mencuba nasibnya pada pertandingan tersebut dengan biksut tat nanas yang dibentuk seperti bunga daisy sebelum digubah menjadi sejambak bunga di dalam pasu.

“Rasanya memang lazat kerana saya gunakan minyak jagung Daisy dan untuk dekorasinya saya hanya guna pasu bunga dan kertas berwarna yang mana bunga itu adalah biskutnya sendiri,” jelasnya yang datang dari Kuala Nerang, Kedah.

Pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 Zon Utara, seorang jururawat, Natrah Ismail, 59, dan pembantu doktor, Faisal Baharom, 36, dinobatkan sebagai juara pertandingan selepas biskut dan kek yang dipertaruhkan memikat hati para juri yang diketuai duta minyak jagung Daisy, Chef Liza Zainol.

Kejayaan Natrah diraih menerusi biskut Kana Daisy yang berjaya mendapat 308 markah, sementara Faisal pula mengungguli kategori kek dengan mempertaruhkan kek Flora Daisy Cassava dengan markah 314.


NATRAH (duduk dua dari kiri) dan Faisal (duduk tengah) diraikan sebagai pemenang Zon Utara bagi kategori kek dan biskut.


Kedua-dua peserta dilihat mengalirkan air mata sebaik nama mereka diumumkan sebagai pemenang oleh pengacara cabaran yang juga hos Selamat Pagi Malaysia RTM, Tazneem Faisal Meerangkutty.

Hadiah berupa wang tunai RM300 dan hamper disampaikan oleh Pengurus Iklan Kosmo!, Stella Abdullah, Chef Liza Zainol dan turut hadir Penolong Pengarang Rencana Kosmo!, Zamri Rambli.

Peserta yang tidak bernasih baik tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing turut mendapat sagu hati wang tunai RM100 serta hadiah daripada Daisy dan Tupperware.

Natrah dan Faisal terpilih untuk melangkah ke peringkat akhir Cabaran Daisy Sehebat Chef yang akan diadakan pada 17 Julai ini di Plaza Shah Alam, Selangor. Untuk peringkat akhir pemenang akan pulang dengan wang tunai RM5,000 dan barangan Tupperware bernilai RM5,000 bagi juara.

Pada cabaran Zon Utara tersebut juga, peserta dan pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan daripada artis Rafidah Ibrahim atau Feeda dan Nubhan selain persembahan kebudayaan daripada Starmoon Dance Group.

Selain itu seramai 42 pengunjung turut berpeluang menyertai pertandingan menghias kek cawan dan mereka mendapat cenderamata berupa buku resipi dan botol comel minyak jagung Daisy daripada penganjur.

Cabaran Daisy Sehebat Chef itu diadakan Kosmo! dengan kerjasama minyak jagung Daisy dan Tupperware.

Cabaran selepas ini akan berlangsung di Giant, Tampoi, Johor pada 10 Julai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: