Thursday, July 7, 2011

Hutan simpan mangsa pencuri kayu bakau


PENCURI bakau sangat teliti memotong batang bakau kerana hanya pokok matang sahaja yang dipilih.


MINGGU lalu, Jabatan Perhutanan Selangor dengan kerjasama Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kayu bakau Hutan Simpan Pulau Klang dan Hutan Simpan Pulau Ketam. Sebanyak 500 batang pokok bakau berjaya dirampas dengan nilai kerugian lebih RM50,000. “Amat sukar untuk menentukan jumlah keluasan hutan simpan yang terlibat. “Ini kerana mereka hanya memilih pokok-pokok yang matang dan kebanyakannya berada di celah-celah pokok,” ujar Penolong Pengarah Kanan Perhutanan Negeri (Penguat Kuasa Hutan), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Mohd. Yussainy Mohd. Yusop ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Kes kecurian kayu bakau yang dikesan oleh Jabatan Perhutanan Selangor di hutan simpan menunjukkan peningkatan yang mendadak sejak tahun 2010 iaitu sebanyak 38 kes berbanding tahun 2009, sebanyak 12 kes dan hanya lapan kes pada tahun 2008. “Sementara itu, Laporan Audit Negara 2010 pula melaporkan sebanyak 54 kes kesalahan hutan direkodkan melibatkan kayu bakau sepanjang tiga tahun tersebut. “Rampasan kayu bakau yang dibuat adalah sebanyak 184,218 batang, manakala kerugian ditafsirkan berjumlah RM1.9 juta,” ulasnya lagi. Harga pasaran kayu bakau matang lebih kurang RM18 sebatang dan untuk kayu mentah pula kira-kira RM10 sebatang.

Lesen tamat

Krisis tersebut semakin berleluasa dan tidak terkawal selepas lesen pengusaha kayu bakau telah ditamatkan oleh Jabatan Perhutanan sejak 1 Julai 2010. “Jabatan Perhutanan pernah mengeluarkan 23 lesen pengusaha hasil bakau di Hutan Tanah Kerajaan Pulau Ketam antara tahun 1994 hingga 2000. “Bagaimanapun, hanya tujuh lesen yang aktif merangkumi keluasan hutan seluas 927.7 hektar tetapi, semuanya telah ditamatkan pada bulan Julai tahun lalu. “Ia berlaku kerana kawasan yang terlibat telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal pada 4 Jun 2009 di bawah Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984,” ulas Mohd. Yussainy lagi. Penamatan semua lesen pengusaha hasil bakau dan permintaan yang sentiasa mendapat sambutan menyebabkan kegiatan mencuri bakau semakin meruncing berdasarkan laporan tangkapan dan jumlah hasil rampasan.

Dari Indonesia

Pelbagai cara yang digunakan oleh pencuri bakau bagi mengaburi mata pihak berkuasa seperti mengisytihar hasil bakau tersebut dari Indonesia. “Lebih 70 peratus bekalan kayu mentah bagi keperluan industri berasaskan kayu jaras bakau datang dari Selangor walaupun ia diisytiharkan sebagai kayu import. “Kayu-kayu import dari Indonesia tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dari Pemerintah Indonesia yang menyatakan tempat asalnya. “Bot-bot mereka pula bebas memasuki perairan Malaysia, ia menyukarkan lagi pihak jabatan bagi menguat kuasa Akta Perhutanan Negara 1984,” kata Mohd. Yussainy.

Kayu bakau biasanya digunakan sebagai pancang pada ternakan ikan dalam sangkar, zon perindustrian berdekatan pelabuhan, pembinaan kawasan pangkalan nelayan dan tapak gudang kontena. Banyak usaha telah dilakukan bagi membanteras aktiviti mencuri kayu bakau seperti Kerajaan Negeri Selangor pernah menulis surat kepada Menteri Kehutanan Indonesia bagi merungkai kemelut tersebut. “Walaupun mengalami kekurangan dari segi kakitangan dan logistik, pihak kami mengadakan operasi bersepadu secara berterusan dengan APMM dan Pasukan Gerakan Polis Marin Selangor. “Jabatan Perhutanan juga mendapat kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memantau kecurian kayu bakau daripada terus berlaku,” ulasnya lagi.

Selain itu, penguat kuasa perhutanan turut meningkatkan pengawalan di perairan Klang memandangkan kawasan kecurian dilakukan di kawasan kepulauan, 20 batu nautika dari tanah besar. Hutan simpan kekal di negeri Selangor mempunyai keluasan 18,088 hektar yang telah diwarta sejak tahun 1904 lagi. Seluas 4,442 hektar hutan paya laut lagi dikategori sebagai hutan tanah kerajaan atau beri milik dengan jumlah keseluruhan hutan paya laut seluas 22,530 hektar. Itu menjadikan, hutan paya laut di negeri perindustrian itu yang kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Hutan Paya Laut Matang, Perak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: