Thursday, July 7, 2011

Budaya Cuba di bumi Hang Tuah


CUBA sarat dengan nilai budaya hasil pengaruh Sepanyol, Afrika dan Amerika Utara.


CUBA, sebuah negara yang terletak di kepulauan Caribbean cukup dikenali dengan perusahaan pembuatan pelbagai jenis cerut yang bermutu tinggi.

Bagaimanapun, ramai yang masih kurang mengetahui bahawa negara itu mempunyai keindahan dan keunikan budaya hasil daripada pengaruh budaya gabungan masyarakat Afrika, Sepanyol dan Amerika Utara.

Keindahan dan keunikan budaya Cuba itu dapat dilihat melalui kepelbagaian makanan, muzik, sastera dan seni lukisan yang dihasilkan oleh masyarakat negara itu.

Inilah yang hendak ditonjolkan Kedutaan Republik Cuba di Malaysia dengan menubuhkan Casa Cuba, sebuah galeri pameran di Bukit Peringgit, Melaka.

Galeri yang ditubuhkan pada Jun 2007 itu ditempatkan di sebuah bangunan bekas kediaman pegawai kanan kerajaan Melaka pada era pemerintahan British dan kawasan itu diisytihar sebagai kawasan bersejarah di Melaka.

Setiausaha Kedua (Hal Ehwal Politik) Kedutaan Republik Cuba di Malaysia, Nestor Tores berkata, Casa Cuba mempunyai peranan penting sebagai hab memperkenalkan budaya masyarakat Cuba kepada rakyat di Malaysia.

Keindahan seni

“Kami menempatkan pelbagai jenis bahan seni hasil karyawan dari Cuba antaranya lukisan, seni jenis cetakan dan seramik,” katanya.

Beliau berkata, kedutaan itu mempamerkan lebih 80 lukisan daripada pelukis terkemuka Cuba antaranya seperti Nelson Dominguez, seorang pelukis yang hasil karyanya cukup dikenali di seluruh dunia.

Tidak ketinggalan Ayon atau nama penuhnya Belkis Ayon Manso ialah seorang pelukis yang menghasilkan karya hasil pelbagai inspirasi masyarakat Cuba antaranya Afro-Cuba. Dia meninggal dunia pada September 1999 pada usia semuda 32 tahun.

Sejak pemergiannya, Cuba mengisytiharkan hasil karyanya suatu peninggalan sejarah untuk tatapan generasi muda seluruh dunia. Menariknya, Casa Cuba mempamerkan beberapa hasil karya pelukis itu untuk tatapan rakyat di negara ini.

Memasuki ruang pameran utama galeri itu, penulis tertarik dengan lukisan potret bekas Presiden Cuba Fidel Castro dan lukisan generasi muda Cuba bermain bola lisut iaitu antara sukan yang popular di negara itu.

Selain lukisan, galeri tersebut juga mempamerkan pelbagai jenis hasil seni jenis cetakan antaranya cetakan di atas skrin kain sutera.

“Di Malaysia, kesenian tradisi jenis tekstil paling digemari ialah batik, sama juga kami di Cuba, seni cetakan di atas kain sutera satu kesenian tradisi kami gemari,” kata Tores.

Tambah beliau, galeri itu juga mempamerkan patung kecil yang menggambarkan suasana kehidupan masyarakat Cuba antaranya suasana di sebuah kilang cerut tradisional dan aktiviti masa lapang masyarakat Cuba.

Tarikan pelancong


SEORANG pengunjung galeri Casa Cuba di Bukit Peringgit tertarik dengan karya dan bahan bacaan yang dipamerkan di galeri itu.


Ketika ditanya mengapa memilih Melaka sebagai tempat menubuhkan Casa Cuba, jawapan Tores amat mudah, kerana Melaka mempunyai industri pelancongan yang berkembang pesat.

Beliau berkata, dengan meletakkan Casa Cuba di Melaka diharap galeri itu dapat dikunjungi ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Tores memberitahu, selain memperkenalkan budaya Cuba, galeri itu juga berperanan sebagai tempat penganjuran pelbagai aktiviti kedutaan tersebut bagi merapatkan hubungan antara Cuba dan Malaysia.

“Kami sedang berusaha mempopularkan lagi galeri ini dan antara aspek yang kami usahakan adalah membawa lebih ramai pelancong ke galeri ini. Kerajaan Negeri Melaka juga berusaha ke arah ini dan kami amat berterima kasih kepada mereka,” katanya.

Bukit Antarabangsa

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata Bukit Peringgit yang mempunyai banyak bangunan bersejarah sejak zaman kolonial lagi amat sesuai dijadikan lokasi tarikan pelancong.

“Jika boleh saya mahu semua kedutaan di negara ini membina ‘casa’ sendiri di sini. Selain jadi galeri mereka boleh anjurkan pelbagai program menarik untuk memperkenalkan negara mereka. Dengan populariti itu kemudian mungkin kita akan kenali bukit ini sebagai Bukit Antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, Casa Cuba adalah satu inisiatif yang merapatkan lagi hubungan antara rakyat Malaysia dan rakyat Cuba melalui pertukaran budaya.

Selain pertukaran budaya, persahabatan yang erat itu diharap dapat membuka jalan bagi kerjasama yang erat antara Melaka dan Cuba seperti pertukaran saintis dan doktor pada masa hadapan.

Casa Cuba dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang kecuali Sabtu dan Ahad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: