Friday, July 15, 2011

Henry Golding Terokai Pulau-Pulau Malaysia

Menyebut nama Henry Golding, pasti ramai yang masih belum mengenali siapa dia sepenuhnya, mungkin ada yang beranggapan lelaki kelahiran Sarawak ini bukan orang Malaysia. Namun bagi pengacara 8tv Quickie ini, biarpun dia masih belum lancar bertutur bahasa Malaysia, namun dirinya masih kuat dengan jati diri negara.

Lahir di Sarawak, Henry kemudiannya dibawa keluarga menetap di Survey sebuah lokasi di selatan London semenjak usianya 2 hingga 4 tahun. Selepas itu, Henry pulang ke Malaysia dan menetap di Dungun, Terengganu selama enam tahun sebelum kembali semula ke Survey.

Sekembalinya dia ke tanah air kira-kira,tiga tahun yang lalu, Henry memulakan kerjayanya dibidang pengacaraan selepas terbabit dengan program 8tv Quickle. Dan kini, dia diberi tanggungjawab besar untuk mengacarakan sebuah program travelog, Without Boundaries yang akan disiarkan di 8TV setiap Rabu, mulai 13 Julai yang lalu.

Mengakui masih belum berkesempatan menjelajah bumi Malaysia sepenuhnya, Henry sangat bersyukur apabila program ini membawanya ke tempat yang belum pernah dilawati sebelum ini.

"Penggambaran sudah tamat dijalankan dan ia mengambil masa selama tiga bulan. Setiap minggu kami dibawa melancong di pulau-pulau yang menarik dan diberi pengalaman baru.Saya gembira menjadi pengacara untuk rancangan ini, lebih-lebih lagi saya diberi peluang pulang ke Terengganu setelah 15 tahun saya tidak pulang ke sana,"jelas Henry.

Memuatkan 10 episod yang padat dengan info dan aktiviti-aktiviti yang menarik sepanjang berada di pulau dan pantai, episod ini akan singgah ke destinasi-destinasi seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang, Tenggol, Lang Tengah,Pulau Tioman, Pulau Rawa, Cherating, Langkawi, Pangkor Laut, Sipadan dan Mabul.

Tidak hanya berseronok, Henry juga terlibat dalam kerja-kerja amal sepanjang produksi berlangsung antaranya membantu menyelamatkan penyu-penyu, batu karang, dan menjaga kebersihan pantai.

Memiliki wajah yang kacak, jelas Henry, dia masih bujang dan masih menumpukan soal kerjaya berbanding soal peribadi.

"Usia saya baru 24 tahun dan masih membujang. Saya lebih suka tumpukan kepada satu perkara dalam satu masa, jadi untuk saat ini, saya sedang memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya saya.

"Saya berminat dengan lakonan, dan masih dalam percubaan untuk ke bidang itu, tetapi untuk nyanyian, saya rasa ia mungkin hanya boelh dilakukan didalam bilik air sahaja,"jelasnya berseloroh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: