|
|
PENDUDUK Kampung Dadong, Air Putih Kemaman, Terengganu berhak untuk berasa teruja dan gembira kerana tanggal 29 Julai ini sekumpulan artis-artis popular dari Kuala Lumpur akan berkampung di halaman mereka untuk menjayakan Pesta Mengemping sempena dengan musim menuai padi.
Program untuk merapatkan rakyat dengan kelompok artis ini dikendalikan oleh artis popular tanah air Hattan. Seperti yang diketahui ramai Hattan adalah antara artis tempatan yang sering mengadaptasikan kehidupan desa dalam karya seninya jadi bertepatan dia menganjurkan program sebegini.
Niat murni Hattan bersama rakan-rakan artis untuk mendekati masyarakat desa tidak keseorangan kerana Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Chik telah menyatakan persetujuan untuk bersama turun padang demi mendekati denyut nadi rakyat di desa.
Antara nama-nama besar dalam industri hiburan tempatan yang telah mengesahkan untuk bertandang ke Kampung Dadong ialah Ramli Sarip, Black Mentor, Lina AF 9, Zarina AF, Yus Maharajalawak, Achong dan Rudy Kristal.
"Program Pesta Mengemping diisi dengan aktiviti bertemu penduduk, sukan rakyat dan berakit. Motifnya hanya satu iaitu mendekatkan artis dengan penduduk desa dan pada masa yang sama mendengar dan mengambil pendapat mereka mengenai apa jua isu semasa.
"Bagi saya program sebegini boleh merubah persepsi negatif terhadap artis yang selama ini dilabelkan sebagai pengejar populariti, selain artis dikatakan kurang mesra dengan peminat di desa. Dengan ada program sebegini diharap artis tidak dipandang serong lagi," jelas Hattan mengenai motif program anjurannya itu.
|
|
Tambah penyanyi itu lagi: "Program ini juga ingin mendekati anak-anak muda demi membetulkan hala tuju mereka. Kalau mereka berminat dengan bidang seni, kami akan memberi panduan yang betul. Kelas gitar juga akan diadakan pada hari tersebut dan ia akan dikendalikan oleh Rudy dari kumpulan Kristal."
Artis-artis yang bertandang ke Kampung Dadong akan dilibat sama dalam acara sukan rakyat dan acara-acara lain yang dianjurkan sempena dengan Pesta Mengemping ini.
Hattan juga berterima kasih kepada Shabery Chik yang kebetulan merupakan Ahli Parlimen Kemaman kerana memberi sokongan kepada program yang dianjurkannya ini.
Kemuncak program Pesta Mengemping nanti ialah Konsert Rakyat, di mana persembahan para artis akan dilakukan di dalam sawah padi. Orang ramai yang menonton konsert ini nanti tidak akan dikenakan sebarang bayaran.
"Motif pemilihan sawah sebagai tapak konsert adalah untuk mengingatkan artis yang dibawa, bahawa tanah sawah inilah yang menjadi punca rezeki penduduk Kampung Dadong. Konsert ini dipersiapkan seperti mana konsert berbayar di Kuala Lumpur bezanya tiada bayaran dikenakan," jelas Hattan lagi.
Penyanyi kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan ini juga merancang untuk mengadakan program sebegini di beberapa negeri lagi. Hattan juga mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama untuk menjayakan program sebegini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: