UMPAMA serampang dua mata apabila aktiviti yang kita lakukan dapat melangsaikan dua perkara yang diimpikan dalam masa serentak.
Begitulah perkara yang dialami oleh penyanyi dan pencipta lagu yang berbakat, Ana Raffali kerana dia bukan sahaja dapat menunaikan impiannya untuk membuat busking atau persembahan jalanan di stesen-stesen komuter, malahan dapat beramal bagi mengumpul dana Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) untuk membantu golongan miskin menyambut bulan Ramadan menerusi program Sinar Kasih Ramadan.
Program yang berlangsung pada 21 Julai lalu, memerlukan Ana dan kumpulannya, Marhaens menaiki komuter dari Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) ke Seremban, Negeri Sembilan sebelum memulakan busking amal tersebut.
Ana tampil semata-mata untuk menarik lebih ramai orang awam tampil beramal membantu golongan yang memerlukan bantuan tersebut.
Pengalaman mengikuti program amal tersebut sememangnya tidak dapat dilupakan apabila dapat melihat sendiri Ana menyanyi dengan penuh semangat di setiap stesen terpilih walaupun dia sebenarnya tidak sihat pada ketika itu.
Persembahan yang termasuklah di stesen KTM Seremban, Bangi, UKM, Kajang, Mid Valley dan KL Sentral itu sebenarnya telah memerlukan Ana melakukan pengorbanan memandangkan keadaan kesihatannya ketika itu.
“Walaupun tidak beberapa sihat sejak kebelakangan ini kerana demam, namun amanah yang diberikan oleh YBK perlu saya tunaikan kerana sudah lama saya nantikan program sebegini.
“Pelbagai persediaan telah dibuat untuk menjayakan program ini seperti mengambil vitamin C serta makanan tambahan lain agar saya tetap bertenaga untuk meneruskan aktiviti hari ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Impian termakbul
Ana ternyata berpuas hati kerana impiannya untuk membuat persembahan di stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) tercapai apabila KTM Berhad (KTMB) telah memberi kerjasama menyediakan tempat sepanjang program tersebut berlangsung.
Dia yang popular dengan lagu Kalau Berpacaran berkata, keinginannya untuk membuat persembahan secara langsung di stesen komuter mula timbul sejak masih belajar lagi.
“Sudah lama saya nak buat persembahan nyanyian di sini kerana waktu belajar dulu saya agak kerap menggunakan komuter untuk berulang-alik dari rumah ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam,” katanya.
Ana amat bersyukur, apabila peluang kali ini datang berganda kerana bukan sahaja impiannya tercapai malahan Ana Raffali juga dapat beramal untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik khususnya golongan miskin.
“Berterima kasih pada KTMB kerana bagi peluangnya menyempurnakan program Sinar Kasih Ramadan untuk membuat persembahan serta pada masa yang sama dapat beramal.
“Saya harap dengan cara ini, lebih ramai orang akan mengenali program tersebut pada masa yang sama dapat beramal,” ujarnya.
Aktiviti dii bulan Ramadan
Sering mencari idea-idea baharu untuk meningkatkan kualiti persembahan nyanyian, Ana seperti tidak pernah kenal erti letih kerana sanggup meluangkan hampir waktu sehariannya bersama pengguna KTM semata-mata untuk mendekati pendengar dengan lebih dekat.
“Membuat persembahan secara busking dapat mendekatkan diri kepada pendengar kerana tiada pentas yang menjadi penghalang antara pendengar dengan penyanyi,” katanya.
Tambahnya, melakukan persembahan tersebut juga dapat mengeratkan hubungan dengan ahli kumpulan Marhaens serta memantapkan lagi komunikasi antara mereka khususnya ketika melakukan persembahan nyanyian.
Sementara itu, ditanya perancangan aktiviti sepanjang bulan puasa yang bakal tiba kelak, Pengurus Pemasaran Korporat About The Letter A Sdn. Bhd., yang juga pengurus peribadi Ana, Azlie Halim berkata, ia bergantung kepada jadual harian Ana kerana aktivitinya masih dalam perancangan.
“Jadual Ana sepanjang bulan Ramadan masih dalam perancangan, kemungkinan ada persembahan di majlis-majlis amal seperti Majlis Amal Ramadan di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: