Friday, July 29, 2011

Amaran daripada Amy Winehouse


ANTARA ribuan peminatnya yang memberi penghormatan terakhir kepada penyanyi tersebut.


LADY GAGA menyifatkan kejayaan dirinya menjadi bintang tersohor hari ini adalah kerana seorang wanita. Penyanyi terkenal British, Adele pula menyifatkan wanita yang sama seperti yang disebut Gaga itu sebagai individu yang bertanggungjawab merintis jalan buat dirinya dan seorang lagi penyanyi British terkenal, Duffy untuk turut mencipta nama di Amerika Syarikat.

Wanita yang dimaksudkan Gaga dan Adele itu ialah Amy Winehouse. Namun bermula Sabtu lalu, tiada lagi figura yang cukup dikenali dengan fesyen rambut 'sarang tebuan'nya yang unik itu. Meninggal dunia atas sebab yang belum dapat dipastikan dari segi perubatan buat masa ini, dia menghembuskan nafas yang terakhir pada usia yang masih muda.

Namun, apa yang mengejutkan adalah Winehouse sendiri sememangnya telah menjangka dia akan meninggal dunia pada usia 27 tahun dan menyertai 'Kelab 27' yang mana 'ahli-ahlinya' terdiri daripada ikon muzik tersohor yang meninggal dunia pada usia 27 tahun termasuklah Jimi Hendrix, Janis Joplin dan vokalis Nirvana, Kurt Kobain.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Rehab itu ditemui sudah tidak bernyawa oleh pengawal peribadinya, Andrew Morris pada pukul 4 petang, 23 Julai lalu di kediamannya di Camden yang terletak di bahagian selatan London.

Dia dikatakan kali terakhir menghubungi pengawal peribadinya pada pukul 10 pagi dan sehubungan itu, timbul desas-desus mengatakan Winehouse sudah meninggal dunia enam jam sebelum kematiannya itu disedari Andrew.


WINEHOUSE meninggal dunia pada usia 27 tahun, sama seperti vokalis Nirvana, Kurt Cobain dan Jimi Hendrix.


Menurut laporan akhbar Britain, The Sun, punca kematian penyanyi itu tiada kaitan dengan dadah tetapi berkemungkinan disebabkan keracunan alkohol, namun perkara itu belum dapat dipastikan kesahihannya.

Biarpun punca kematiannya belum dapat dipastikan, namun ia jelas boleh dikaitkan dengan personalitinya yang dikatakan agak obses terhadap dadah, alkohol dan makanan.

Sahabat Winehouse yang pernah tinggal bersamanya buat seketika dahulu, Alex Foden memberitahu akhbar Britain Daily Mirror: "Malang sekali, dia mempunyai personaliti yang sangat obses. Dia melakukan semua perkara secara ekstrem, khususnya apabila berkaitan makanan, dadah dan alkohol."

Tambahnya: "Dia sangat suka makan. Dia akan makan dengan banyak dan kemudiannya berlari ke tandas untuk memuntahkannya semula atau dia tidak akan makan selama empat hingga lima hari tetapi hanya makan dadah, gula-gula dan minum arak dalam tempoh tersebut."

Menurut Alex lagi, Winehouse selalu memberitahunya, dia akan meninggal dunia pada usia muda dan bakal menyertai 'Kelab 27'. Dia mendakwa bahawa masalah dadah yang dialami rakannya itu berada pada tahap ekstrem apabila Winehouse kadang-kadang sanggup membelanjakan sehingga 1,000 pound sterling (RM4,857) untuk satu malam bagi membeli dadah untuk dinikmati bersama semua kawan-kawannya.


PEMERGIAN Winehouse amat mendukacitakan peminatnya.


Katanya: "Dia sangat pemurah dan suka belanja kawan-kawannya untuk menikmati dadah, biasanya dari jenis heroin dan kanabis. Paling teruk, dia pernah membelanjakan sebanyak RM4,857 membeli dadah untuk dihabiskan dalam tempoh satu malam bersama kawan-kawannya. Namun, dia biasanya tahu jumlah dadah yang diambilnya."

Namun, apa yang positif tentang pemenang lima Anugerah Grammy itu adalah dia seorang yang sangat pembersih. "Winehouse sangat mementingkan kebersihan dan memastikan kediamannya sentiasa berada dalam keadaan kemas. Dia akan memasak dan menjemput ahli keluarga dan rakan-rakannya untuk menikmati hasil masakannya itu. Mendiang Amy hanyalah seorang gadis yang mahu disayangi oleh semua orang."

Apa yang ditakdirkan berlaku terhadap Amy yang akhirnya dikebumikan di Golders Green Crematorium, di utara London pada 26 Julai lalu itu sesungguhnya menjadi peringatan dan amaran keras buat bintang-bintang rock ternama lain yang 'seangkatan' dengannya iaitu yang juga menghadapi masalah ketagihan dadah dan alkohol.

Seperti kata pemain gitar bass band Blur yang juga sudah bertahun-tahun menghidap masalah ketagihanan dadah dan arak, Alex James, 42, ketika bercakap kepada akhbar The Sun: "Apa yang dialami Amy Winehouse itu dengan mudah sahaja boleh juga dialami oleh saya pada peringkat umur yang sama!"

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: