Wednesday, July 13, 2011

The Good Wife ubah segalanya


WATAK Kalinda Sharma telah mengubah hidup Archie Panjabi.


SEDARI kecil, dia sudah menanam impian untuk bergelar seorang pelakon kerana minatnya yang mendalam.

Walaupun dia sedar dengan latar belakangnya yang dilahirkan sebagai seorang Asia akan menyukarkan impiannya itu menjadi realiti, namun, ia bukan satu halangan buat Archie Panjabi.

Apa yang penting baginya adalah untuk terus mencari peluang bagi merealisasikan cita-citanya sehingga pada satu ketika kelak, dia akan memastikan masyarakat di seluruh dunia akan mengenali siapakah dirinya.

Kata Archie, untuk membina nama dan profilnya sebagai seorang aktres memang bukan cukup mudah. Lebih-lebih lagi sebagai seorang Asia, pandangan skeptikal itu sering kali dilemparkan kepada orang sepertinya.

Berdasarkan pengalamannya sebelum ini, pada pandangan sesetengah pihak terutama masyarakat di Barat, orang Asia tidak mampu berjaya dan berdiri setanding dengan mereka.

"Bagi saya, itu hanyalah tanggapan lapuk yang perlu dibuang jauh kerana sekarang ini semuanya sudah berubah. Tidak kisah orang Asia atau apa jua latar belakang seseorang itu, jika anda memiliki disiplin kerja yang terbaik, anda akan diterima tanpa prejudis.

"Apa yang saya lalui sebelum ini untuk mencapai tahap sekarang seperti hari ini bukanlah semudah yang disangka. Saya perlu berdepan dengan persaingan yang cukup sengit dengan orang Barat.

"Saya pernah ditolak mentah-mentah sewaktu mahu menghadiri uji bakat hanya kerana saya seorang Asia. Tetapi, saya tidak pernah berputus asa. Segala cabaran itu saya ambil untuk membina kekuatan saya sehingga dapat mencapai apa yang saya diidamkan," luah Archie panjang lebar apabila mengenangkan kembali laluan seninya.

Archie atau nama sebenarnya, Archana Panjabi itu ditemui dalam satu pertemuan eksklusif bersama media tempatan yang diatur oleh pihak Arcis Communications di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ubah pandangan

Jika disingkap diari seni anak kelahiran London itu, dia memulakan kariernya pada usia 23 tahun apabila ditawarkan berlakon dalam sebuah filem televisyen, Under The Moon.

Perlahan-lahan, dia membina namanya dengan mencari peluang meluaskan bakat lakonannya sehinggalah Archie membintangi filem Bend It Like Beckham bersama Keira Knightley, Parminder Nagra dan Jonathan Rhys Meyers.

Populariti filem itu sedikit sebanyak telah memperkenalkan nama Archie kepada khalayak filem dunia sekali gus membuka mata penerbit dan pengarah filem terutama di Hollywood.

Bintangnya terus bersinar apabila Archie diberi peluang untuk membintangi filem The Constant Gardener di samping Rachel Weisz dan Ralph Fiennes.

Tidak cukup dengan itu, Archie seterusnya mendapat tawaran berlakon filem A Mighty Heart bersama aktres tersohor dunia, Angelina Jolie pada tahun 2007.

Ternyata filem itu membawa tuah buat Archie apabila lakonannya sebagai Asra Nomani mendapat pujian ramai sehingga dia berjaya menerima The Chopard Trophy bagi kategori Bintang Harapan pada Festival Filem Cannes pada tahun yang sama.

Namun, sesuatu yang membuatkan Archie kurang selesa apabila satu demi satu watak yang diterimanya seolah-olah seperti tempelan dan watak sokongan sahaja.

Tiada satu pun watak yang baginya begitu kuat bagi membuktikan dia boleh melakukan lebih daripada apa yang ditawarkan kepadanya.

"Bukan mahu mendabik dada dan menunjukkan saya seorang yang hebat. Tetapi, sampai bila untuk orang Asia diberikan watak yang hanya dilihat sebagai penyendal dan sekadar mengisi kekosongan watak semata-mata.

"Saya tidak mahu watak wanita atau gadis India yang tipikal seperti mana yang sering ditonton. Bukankah zaman sudah berubah dan kita mampu melakukan lebih daripada itu.

"Apa yang saya katakan ini bukanlah mahu menunjukkan saya tidak bersyukur atau kesal dilahirkan sebagai orang Asia. Tetapi, semuanya perlu diubah sekarang ini untuk memberi peluang kepada pelakon Asia lain dalam mengembangkan bakat mereka.," jelas anak kepada pasangan Govind dan Padma Panjabi itu dalam nada yang sedikit tegas namun penuh diplomasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: