|
|
Sebut sahaja nama Iwan pasti kita akan terkenang era kegemilangan irama dangdut kontemporari yang pernah mencetuskan satu fenomena dalam industri hiburan tanah air sekitar tahun 1990-an.
Bermula dari situ nama Iwan atau nama sebenarnya, Wan Syahman Wan Yunus, 50, terus meniti di bibir peminat sehingga dia digelar raja dangdut.
Simbiosis Raja Dangdut Iwan tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan Ratu Dangdut, Amelina.
Bagaimanapun, fenomena itu sekadar memori indah yang terpahat dalam hati Iwan kerana hari ini, irama dangdut telah berkubur dan nama Iwan sendiri sudah semakin jauh dari sebutan penggemar muzik tanah air.
Darah seni yang mengalir dalam diri Iwan membuatkan dia masih terpanggil untuk melahirkan album yang banyak mengandungi kata-kata nasihat.
Anggaplah kelahiran album berjudul Segalanya Allah sebagai pengubat rindu di hati Iwan dan peminat setianya, Iwan sebenarnya mempunyai misi yang mahu dilaksanakannya menerusi album tersebut.
"Dua tahun saya menyepi dan hari ini, saya tampil dengan album Segalanya Allah sebagai pengubat rindu peminat.
"Cuma apa yang berbeza, kehadiran saya kini jauh berbeza berbanding dengan zaman kegemilangan saya dahulu," kata Iwan dalam nada merendah diri.
Jika dahulu, kata Iwan, irama dangdut menjadi taruhannya kerana mempunyai pasaran yang cukup besar kini dia terpaksa mengubah haluan dengan membawa lagu-lagu berunsur nasihat yang sekali gus, dilihat lebih dekat dengan kerohanian.
"Saya tidak melihat album saya ini sebagai album dakwah kerana istilah dakwah itu membawa maksud yang lebih besar.
"Sebenarnya saya telah lama ingin menghasilkan lagu-lagu berunsur nasihat seperti ini dan alhamdulillah, Allah telah membuka pintu hati saya untuk menghasilkan karya seperti ini serta mempermudahkan jalan saya.
"Saya harap kehadiran saya kali ini akan dapat diterima oleh peminat lama dan baru," ujar Iwan ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya itu di Restoran Sri Andalus, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ternyata rindu Iwan pada irama dangdut tidak dapat dielakkan apabila lagu-lagu yang terkandung di dalam album terbarunya itu masih kedengaran melodi dangdut.
Bagaimanapun, Iwan menegaskan, naskhah terbarunya itu tetap kelihatan berbeza menerusi bait lirik kesemua 12 lagu yang terkandung dalam album tersebut.
"Tiada lagi kata-kata pujian pasangan kekasih yang mendorong kepada khayalan duniawi.
"Sebaliknya, album ini saya sifatkan sebagai album memimpin ke arah kebaikan kerana kata-kata nasihat ke arah membaiki kehidupan ada diselitkan dalam lirik lagu," jelas Iwan yang kini memilih untuk dipanggil sebagai Iwan Syahman.
Iwan menafikan penghasilan album terbarunya itu adalah rentetan daripada fenomena yang dibawa oleh penyanyi dari Timur Tengah, Maher Zain.
Jelasnya, apa yang dilakukan itu sebenarnya sudah lama dirancang dan bukan terikut-ikut dengan kehadiran penyanyi luar.
"Semuanya adalah secara kebetulan dan saya bukannya mengikut sesiapa. Apa yang saya lakukan ini adalah ikhlas untuk memberi nasihat menerusi lagu-lagu saya," jelasnya.
Terus terang Iwan memberitahu, idea untuk menghasilkan album berunsur nasihat itu tercetus ketika dia mengikut kumpulan tabligh .
"Dari situlah timbul ilham untuk menghasilkan album ini malah setiap lagu yang saya muatkan dalam album, semuanya mengingatkan kita tentang kebesaran Allah," katanya yang meletak kepercayaan kepada Warner Music Malaysia (Warner) untuk mempromosikan album Segalanya Allah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: